Menggeledah Perpustakaan
"Buku dekat rumah pun belum habis dibaca," jelas kebanyakan orang apabila saya tanya jika mereka sudah berkunjung ke Big Bad Woolf. Di rak perpustakaan saya pun ada banyak buku yang belum habis dibaca (dan mungkin tidak akan pernah habis). Tetapi adakah kita pernah selesai membaca sebuah buku? Halaman pertama dan halaman ke-300 dalam sebuah novel berdiri sebagai tembok sempadan yang mengawal perjalanan cerita dan waktu pembacaan kita. Tidak kisahlah apa novel kita baca, kita akan rasa puas apabila kita sampai ke penghujungnya. Kemudian selepas beberapa jam atau beberapa hari, kita akan mula tertanya-tanya: adakah ceritanya berakhir di situ sahaja? Bagaimana kalau saya memanjat tembok terakhir? Bagaimana kalau saya berdiri di atasnya dan membiarkan imaginasi saya terbang dan menggelintar ke dunia tanpa batas di sebelah sana?
Tahun ini boleh dikatakan tahun paling sedikit saya membeli buku di Big Bad Woolf. Bahagian buku fiksyen dikurangkan dan ditambah meja untuk buku kanak-kanak dan buku bahasa Melayu. Saya dan Ainunl pulang dengan beg plastik kurang daripada lima. Saya belum pernah pergi ke Big Bad Woolf seorang diri. Selalunya hanya saya dan isteri saya, Ainunl (salah satu rutin tahunan kami). Kali ini saya membawa Azrin, Sufian Abas, dan Aan Mansyur. Membeli-belah buku harus dilakukan secara berjemaah kerana apabila kita melihat orang lain memasukkan buku secara pukal ke dalam troli, kita pun jadi teruja nak melakukannya.
Ini mengingatkan saya kepada haiku yang saya temui dalam buku puisi Billy Collins berjudul Aimless Love: New and Selected Poems (kebetulan memang dibeli di Big Bad Woolf). Haiku itu ditulis oleh Soshi dan ia berbunyi begini:
Walking the dog,
you meet
lots of dogs.
Sangat mudah dan sangat organik imej dalam haiku ini. Ibarat muzik yang tidak pernah berhenti berputar. Saya kira apabila saya membeli (atau membaca) buku, saya mengalami pengalaman sama dengan penyair haiku tersebut. Saya menemui seorang pengarang dan daripada seorang pengarang, saya menemui ratusan pengarang berjalan senyap di belakangnya.
Judul "Menggeledah Perpustakaan" saya pinjam daripada esei Geoff Dyer "Unpacking My Library" yang dia sendiri pinjam daripada esei Walter Benjamin dengan judul yang sama. Saya lebih menyenangi esei Dyer kerana saya tidak pernah melihat diri sebagai seorang pengumpul buku seperti Benjamin. Salah satu keseronokan menggeledah perpustakaan ialah melihat kembali - dengan rasa kagum - buku yang telah dibeli selama beberapa tahun. Dyer menceritakan keterujaan ini dalam eseinya:
"Finding myself, at last, in the perfect situation for, I don't want to do any work. I can't go for more than a few moments without sliding back my chair and gazing with massive self-love at my library. Needless to say, I have no impulse to read. Books are to be arranged and classified, shuffled around. At the very most I want to take a volume from the shelves, consult it, perhaps smell it, and replace it, carefully. Sometime in the future I may want to add a few incremental volumes but, for the moment, I just want to sit here, gazing at my life. For that's what it is, this library; it's not just the story of my life, it is my life."
Ketika menggeledah perpustakaannya, Dyer kata dia tidak ingin membaca; tetapi semakin saya menggeledah buku, semakin saya rasa ingin membaca. Terutama sekali novel yang bertahun tidak diulang baca - seperti Epitaph of a Small Winner oleh Machado de Assis, atau Don Quixote oleh Cervantes. Isteri saya baru setahun berpindah tinggal bersama saya. Koleksi bukunya sahaja pun banyak gila - bayangkanlah apabila ia bergabung dengan perpustakaan saya. Mula-mula kami campak semua buku di atas katil tetamu kerana rak tidak cukup. Kemudian apabila ada rak, kami cadang nak susun buku mengikut abjad dan kategori. Malangnya sampai sekarang kami belum buat. Apa boleh buat, buku bukanlah benda paling penting dalam sebuah perkahwinan, lebih-lebih lagi ketika harga barang runcit mahal dan harga minyak petrol naik setiap minggu.
"Buku adalah seperti hantu," kata Roberto Bolano. Dan melihat buku-buku yang bersepah di atas lantai perpustakaan ini, saya terfikir, hantu mana saya patut simpan dan hantu mana saya patut tendang masuk ke neraka?
Comments