Di Manakah Objek Dalam Novel?
Kalau nak buat perbandingan, di satu bahagian kita ada novel Georges Perec Life A User's Manual, barangkali novel paling banyak objek dalam sejarah sastera, dan di satu bahagian lagi kita ada novel Gabriel Josipovici Everything Passes, sangat minimal dan hampir tidak ada objek melainkan tingkap, dinding, dan suara manusia yang bergema. Manusia juga merupakan objek. Perec melihat keberadaan manusia dari segi hubungannya dengan objek sekeliling, malah dalam Life A User's Manual manusia bukan lagi subjek utama kerana peranan tersebut digantikan oleh sebuah apartmen serta rumah, bilik, tangga, dan perabot di dalamnya. Antara kritikan utama James Wood terhadap Perec (dan juga Eco serta Julian Barnes) adalah lambakkan detail tanpa sebarang perincian yang bermakna. Namun itu yang Wood tidak faham di sini (seperti mana dia kadang-kadang salah faham terhadap tulisan berbentuk pascamoden): lambakkan itu sendiri adalah makna penting kepada kerangka pemikiran Perec sebagai novelis, seperti mana sudut pandang terbatas dan perincian selektif merupakan kerangka pemikiran Flaubert. Perec ingin meletakkan manusia di kedudukan sama dengan objek harian kerana keberadaan kita sangat dipengaruhi oleh objek-objek lain. Meja bukan sekadar meja, kopi bukan sekadar kopi, majalah bukan sekadar majalah. Setiap satu objek ini bersifat mandiri dan saling berkaitan dalam mempengaruhi pengalaman hidup kita. Apabila manusia menjadi hero atau protagonis dalam sebuah novel, ia seolah-olah kita telah meletakkan manusia sebagai graviti kehidupan, dan alam sekeliling hanya berfungsi sebagai subset kepada sensualiti terbatas kita. Don Quixote awal-awal lagi mengingatkan pembaca bukan sahaja kepada bahaya membaca fiksyen, tetapi juga kepada bahaya mempercayai imaginasi dan prinsip moral seorang tokoh (dalam kes ini, prinsip kesatriaan seorang lelaki gila bernama Don Quixote). Saya percaya sejarah penulisan novel ialah sejarah yang terlalu optimis terhadap peranan manusia sebagai tokoh utama sebuah cerita. Ada waktu ia memang boleh memberikan inspirasi, namun apabila ia terlalu berlebihan, kita akan menjadi seperti watak dalam novel Gabriel Josipovici: kita akan bercakap sendiri dengan dinding.
Comments