Borges: Mimpi Sebuah Pembacaan


Siapakah aku dalam sebuah pembacaan? Aku ialah apa yang aku baca. Aku ialah Lahuma. Aku ialah Noboru Wataya. Aku ialah Stephen Dedalus. Aku ialah Hang Tuah. Aku ialah semua persona itu. Aku bukan sesiapa kerana aku boleh menjadi sesiapa yang aku baca ke atas diri aku. Maka aku sebenarnya tidak membaca kerana sentiasa ada persona lain yang membaca aku. Tetapi berapa persona? Banyak, sangat banyak. Aku sentiasa membaca sendirian, kerana apabila aku sendirian, aku sebenarnya larut dalam keramaian pembacaan. 

Borges ialah enigma; Borges ialah pembacaan di atas pembacaan yang datang sebelum dan selepas pembacaan Borges. Maka siapakah Borges dalam sebuah pembacaan Borges? Malam menyimpan siang seolah-olah malam menyimpan waktu dalam sakunya. Malam juga menyimpan hingar. Kita berbisik dalam gelap kerana kita tidak tahu siapa atau apa yang berbicara dalam gelap. Mata harimau yang mengintip ialah mata mimpi yang lapar. Kenapa kita takut apabila kita melihat seseorang bercakap dalam tidurnya? Kata-katanya terlalu kabur, terlalu abstrak. Kita tidak memahami konteks percakapannya kerana mimpi tidak mempunyai konteks dan sempadan. Mimpi ialah hingar; mimpi ialah kepelbagaian suara dalam gelap.

Aku bangun sendirian pagi ini tanpa suara yang aku boleh berkata. Aku buka mulut dan hanya hingar yang keluar daripada dasarnya. Aku terlalu takut untuk membisukan suaranya. Aku membiarkan suaraku lemas. Aku membaca puisi Borges "The Dream" untuk memujuk diriku supaya menjadi berani.


While the clock of the midnight hours are squandering
an abundance of time,
I shall go, farther than the shipmates of Ulysses,
to the territory of dream, beyond the reach
of human memory.
From that underwater world I save some fragments,
inexhaustible to my understanding:
grasses from some primitive botany,
animals of all kinds,
conversations with the dead,
faces which all the time are masks,
words out of very ancient languages, 
and at times, horror, unlike anything
the day can offer us.
I shall be all or no one. I shall be the other
I am without knowing it, he who has looked on
that other dream, my waking state. He weights it up,
resigned and smiling. 


Waktu sentiasa melimpah; hanya memori yang membataskannya. Dalam mimpi Borges menerima suaranya dari masa lalu dan  suaranya dari masa depan. Dalam pembacaannya: Borges tidak menjadi sesiapa kerana Borges menjadi semua yang bukan dirinya.
    

Comments

Popular Posts