Novel Kelima: Raden Mandasia Si Pencuri Daging Sapi
Jika ada satu benda saya belajar daripada pendapat penulis tentang penulisan ialah pendapat mereka selalu tidak boleh dipercayai sepenuhnya. Penulis, sama ada mereka sedar atau tidak, mengkritik karya orang lain untuk mempromosikan karya mereka. Jarang (dan hampir mustahil) kita akan temui penulis yang mampu mencipta karya dan pada masa mengkritik karya orang lain tanpa menyandar pada rekaan dan roh dalam karyanya sendiri. Ya, Henry James, Virginia Woolf, Martin Amis memang cekap membuat kritikan dan ulasan buku, tetapi mereka pun melakukan dosa apabila mengkritik buku yang mereka tidak suka (Amis, misalnya, merasakan tulisan J. M. Coetzee tidak berseni dan membosankan). Di negara kita, Shahnon Ahmad merupakan salah seorang novelis yang rajin membuat kritikan dan ulasan buku, malah antara sumbangan penting Shahnon ialah tolong menjelaskan bentuk dan gaya kepengarangan penyair-penyair kabur.
Saya sengaja membuat pengenalan panjang ini untuk mengutip salah satu pendapat Shahnon yang saya selalu ingat iaitu perbezaan antara novel yang mementingkan aksi dan novel yang mementingkan psikologi dalaman watak. Berdasarkan sejumlah besar karya Shahnon Ahmad, kita tahu psikologi dalaman adalah segala-galanya dalam dunia Shahnon. Ada waktunya psikologi itu berbaur cantik dengan psikologi alam (Srengenge, Tunggul-Tunggul Gerigis), dan ada waktunya psikologi itu menjadi terlalu gila dan melelahkan (Sutan Baginda, Patriarch, Perdana). Tidak ada satu teknik paling sempurna kerana setiap teknik hanya sempurna buat pengarang yang tahu bagaimana untuk menggunakannya. Shahnon sering mengkritik novel berbentuk aksi kerana ini ialah bentuk penulisan yang sangat asing baginya, malah saya tidak bersedia untuk membayangkan kalau Shahnon Ahmad tiba-tiba menulis sebuah novel misteri atau pengembaraan.
Maka, akhirnya, kita sampai kepada novel fokus saya iaitu Raden Mandasia Si Pencuri Daging Sapi karangan Yusi Avianto Pareanom. Apabila novel ini memenangi Kusala Sastra Khatulistiwa tahun lalu, saya sangat gembira, kerana ia bukan sahaja mengejutkan saya, tetapi ia juga antara novel pengembaraan paling memuaskan saya pernah baca. Kalau ia bukan novel fantasi/pendekar, dan ia ditulis sebagai novel sejarah, misalnya, saya tetap rasa ia novel pengembaraan yang bagus. Secara ringkas (sambil membayangkan suara rungutan Shahnon Ahmad): ini ialah cerita balas dendam yang padat dengan aksi dari halaman ke halaman. Betul, sesiapa pun boleh merekakan cerita aksi, tetapi tidak ramai rasanya yang boleh mengolah dan membina suasana ketegangan dan suspens seperti Yusi Avianto Pareanom. Kita tidak perlu pergi jauh, lihat sahaja pembukaan kepada novel ini:
"Ambillah pisau dan daging paha sapi atau paha kambing yang tergantung di dapurmu. Tusukkan pisau ke daging. Bagaimana bunyinya? Jika tak ada daging, keluarlah ke kebun, cari pohon pisang, tikam batangnya. Jika kau tak juga mendapati pohon itu, bahkan pisau pun tak punya, kau kehilangan kesempatan mendengarkan salah satu bunyi paling empuk di telinga: jleb!
Pikiran ganjil tentang bunyi seperti itu semestinya tak mampir jika sebuah panah menancap di belakang paha kananmu. Aku pernah kena sabetan pedang, golok, belati, dan bahkan cakar binatang buas tetapi panah belum sehingga perkara bunyi itu yang justeru pertama terlintas. Baru setelah itu aku merasakan panas dan perih menjalar.
Aku berusaha terus berlari tetapi kakiku benar-benar kesakitan dan kepalaku berdenyut cepat. Darah menetes-netes di sepanjang rerumputan yang kulalui. Aku menoleh ke belakang, sepertinya ada belasan orang yang mengejar - aku tak terlalu yakin berapa tepatnya, bulan sabit tak banyak menyiramkan cahaya. Sebagian besar dari mereka bertombak, sementara seseorang tampaknya terus saja menembakkan anak panah."
Deskripsi ini sangat jelas dan sangat mendebar-debarkan. Saya sudah boleh membayangkan ia sebagai pembukaan kepada sebuah filem arahan Guy Ritchie. Mula-mula skrin hitam, hanya monolog pencerita kedengaran, dan imej pertama muncul ialah dapur rumah kampung di Indonesia, seorang ibu sedang memotong daging, seorang ayah sedang menebas pokok pisang di belakang, dan kamera tiba-tiba membuat potongan mengejut ke suasana kejar-mengejar antara hero dan musuh-musuhnya. Sudut pandang kamera barangkali terletak di bawah dagu hero atau rapat dengan muka ibarat kesan daripada lensa mata ikan. Kita selalu merungut kenapa novel sastera Malaysia tidak diadaptasikan ke filem. Tulisan yang bagus memang kita ada, tetapi cuba kita fikir betul-betul, siapa nak adaptasikan novel yang sebahagian besar naratifnya adalah monolog dan keluhan tidak berkesudahan? Yusof Haslam pun akan terkencing, apatah lagi Guy Ritchie.
Comments