Pengalaman Di Jalan Kia Peng


Kalau semua orang berfikiran seperti kita, pasti dunia akan lebih aman, kerana apa kita fikir akan sentiasa difahami oleh orang lain. Herman Hesse pernah kata kalau ada lebih ramai pembaca Robert Walser di dunia ini, kita akan hidup bahagia. Saya pun harap begitu. Akan tetapi tindakan dan tabiat manusia sering kali bertentangan dengan apa kita bayangkan. Saya keluar awal hari ini untuk memandu Uber. Jam 7. 30 pagi saya hantar mak ayah di Stesen KL Sentral dan saya melakukan tawaf di kawasan itu untuk mencari penumpang pertama. Ketika melintas bangunan Plaza Sentral, saya teringat dua malam lalu seorang penumpang berbangsa Sepanyol masuk ke dalam kereta saya menggendong seorang anak perempuan yang demam teruk. Waktu itu jam dua belas. Dia ingin segera ke Prince Court Medical Centre di Jalan Kia Peng. Sepanjang perjalanan itu si ibu sabar menenangkan anaknya yang merengek dan mengeluh tanpa henti. Jalan memang sunyi kerana Kuala Lumpur sering kali disisihkan oleh penghuninya pada malam hujung minggu. Apabila sampai di hospital, saya melihat lampu-lampunya gelap, malah hampir tidak ada sebuah kereta pun. Mungkin inilah bezanya hospital orang kaya dan hospital orang biasa, saya terfikir. Kesepian dan ruang peribadi harus dibeli dengan wang. Si ibu dan anak segera turun di depan pintu wad kecemasan. Tidak berapa jauh dari Jalan Kia Peng sebenarnya terdapat bangunan kelab malam paling terkenal di Kuala Lumpur. Saya sudah beberapa kali menghantar orang ke sana. Selalunya kumpulan anak remaja yang mencari arak percuma dan kawan-kawan untuk berpesta. Kehidupan di kota ini mengeraskan hati hampir semua orang. Ada yang bertahan, ada yang berlari pulang ke kampung, dan ada yang cuba membeli kebahagiaan hidupnya dengan wang dan material. Saya tertanya-tanya juga kalau suatu hari nanti ada seorang lelaki Jerman mirip Robert Walser masuk ke dalam kereta saya. Adakah dia akan suka Kuala Lumpur? Tidak kisahlah. Kalau dia suka, dia boleh belanja saya secangkir teh masala. Dan kalau tidak, dia boleh keluar dan  berjalan ke mana-mana kakinya ingin melangkah.   


Comments

Popular Posts