Penantian Seorang Subagio
Tidak ada penyair yang lebih takut berada di dalam kegelapan sebuah rumah daripada Chairil Anwar. Kamar penulisan adalah "sarang penghabisan" seorang penyair. Namun kalau Chairil hidup lebih lama dan menjadi manusia dan penyair yang lebih dewasa, barangkali dia akan menulis seperti Subagio Sastrowardoyo dalam puisi berjudul "Penantian":
Di dalam gelap kamar aku tak bisa
melihat jam dinding menunjuk pukul berapa.
Yang kutangkap hanya bunyi tik-tik yang tidak
memberi kepastian masih berapa lama akan pagi.
Aku menanti bersama buku-buku di meja dan
baju kumuh yang bergantung di lemari.
Hujan yang menimpa di atap mengisi kekosongan
dan menjadi sangat berarti. Penantian mendambakan
kejadian dan nyawa berteriak: "Terjadilah sesuatu!"
Kilat yang tiba-tiba menyambar memberi kebahagiaan
yang sejuk tak menentu.
Menanti adalah tugas mulia yang dilakukan
Kalijaga di tepi sungai sampai urat akar membelit
jasadnya. Kenikmatan terdapat dalam hilangnya kenangan
sejarah dan harapan hari nanti. Keabadian mengental
pada detik ini, yang tidak mungkin dipegang kecuali
kalau penantian berhenti.
Makhluk yang dikasihi Tuhan adalah batu. Ia tak
pernah merasa resah, karena membiarkan peristiwa
berlalu. Baginya tidak ada penantian. Awal dan akhir
zaman dialami dengan sikap tak peduli. Begitu juga
tak ada benci atau cinta yang menggoda ketenangan diri.
Ia diam dalam sakit waktu bumi hancur sampai sekecil atomnya,
Ah, ada yang ingin jadi batu kalau kehidupan kembali dimulai lagi.
Antara soalan kita akan tanya apabila berkenalan dengan seseorang buat pertama kali adalah "di manakah rumah?" Rumah bukan sahaja memberi gambaran kepada kita tentang status kewangan orang itu, tetapi ia juga membantu kita membayangkan persekitaran tempat tinggalnya. Rumah yang terletak di Bukit Damansara sudah tentu akan memberi gambaran berbeza dengan rumah yang terletak di Bukit Kerinchi, walaupun kedua-duanya berada di kawasan bukit. Tetapi cuba bayangkan sebentar kalau jawapan anda terima kedengaran begini, "Oh, saya tak ada rumah. Saya tinggal di hutan dari dulu hingga sekarang."
Idea rumah sebagai tempat tinggal sudah menjadi bahagian daripada hidup manusia sehingga susah untuk kita membayangkan bagaimana dua abad yang lalu moyang kita masih hidup di hutan dan gua. Idea rumah boleh muncul kerana ilmu teknologi telah memberikan kita kepercayaan bahawa manusia boleh mengawal takdir dan kekuasaan alam. Kita boleh berlindung daripada hujan dan petir melalui binaan bumbung; kita boleh berlindung daripada binatang dan musuh melalui binaan pintu; kita boleh berlindung daripada terik matahari dan ribut angin melalui binaan tingkap. Rumah mencipta dan menyimpan memori. Rumah adalah perlindungan terakhir manusia daripada kematian.
Ini mengingatkan saya kepada esei Virginia Woolf berjudul "The Death of the Moth." Woolf melihat seekor kupu-kupu terbang di tingkap rumahnya. Woolf dapat rasa melalui pemerhatiannya yang kupu-kupu itu akan mati, tetapi dia kagum bagaimana ia enggan mengalah kepada takdir. Apabila kupu-kupu itu akhirnya jatuh di tepi tingkap, Woolf menghulurkan mata pensil untuk membantunya bangkit semula, tetapi kemudian dia sedar semuanya telah terlambat, kematian sudah datang kepada makhluk kecil dan berani ini. Maka Woolf meletakkan pena. Ya, untuk apa lagi menulis sesuatu yang sudah mati?
Memelihara dan melindungi nyawa kehidupan dalam bentuk kata-kata adalah impian setiap penulis. Ibarat membina sebuah rumah atau mencipta sebuah puisi. Tetapi rumah apakah yang dapat melindungi kehidupan daripada panggilan kematian? Ia pasti akan datang. Justeru penulisan sentiasa menjadi tragedi berulang buat seorang pengarang. Subagio seakan-akan menyedari hal ini dalam "Penantian." Berbeza dengan Chairil, Subagio tidak ingin melawan. Masa depan dan masa lalu sudah tidak penting. Dia hanya ingin menjadi seperti batu yang hidup di masa kini. Menulis puisi adalah suatu penantian buat Subagio sebelum dia boleh keluar dari rumah dan hidup bersama batu di tepi kali.
Comments