Percakapan Malam dengan Jenazah Seorang Editor
Sangat awal engkau ditanam.
Padahal roh baru saja meninggalkanmu siang tadi. Tanah ini terpencil, jalannya berbukit-bukit. Susah untuk teman-temanmu datang menghadiahkan doa yang terakhir. Dahulu mereka mengenalimu sebagai seorang editor. Engkau yang menentukan karya siapa dikuburkan dan karya siapa yang harus dibajakan. Bukan mudah menjadi seorang editor. Disamping mencipta sahabat, engkau juga mencipta musuh. Aku tidak mengenali sahabatmu kerana di waktu malam mereka tidur tenang seperti orang lain. Tetapi aku mengenali musuhmu. Tidur mereka singkat dan mimpi mereka panjang. Aku melihat mereka bermundar-mandir di halaman rumah sendiri seolah mencari seekor arnab putih untuk dipatahkan lehernya.
Namun sebelum engkau mati hari ini, peperanganmu dengan dunia sudah lama pun berakhir. Ketika engkau bersara di atas bukit, anak-anak muda sedang sibuk meruntuhkan legasi persuratan yang generasimu telah bangunkan. Ya, engkau pernah turun membawa tongkat hikmahmu, dan apabila engkau panggil, mereka datang menghadapmu. Engkau sangka cahaya adalah senjatamu. Tetapi engkau salah. Engkau ditewaskan oleh kegelapan.
Aku bukan ingin mengganggu persemadian terakhirmu. Tidak. Aku sebenarnya sedih melihat engkau ditanam di tempat yang sunyi ini. Pengganti kerusi editormu pun lewat tiba kerana sesat mencari jalan. Janganlah engkau gelisah dan takut mendengar salakkan anjing di dalam semak. Malam masih panjang. Pejamkanlah mata sebelum kerja suntingan bermula di alam sebelah sana.
Comments