Jatuh ke dalam Tidur
Ada sebuah cerita tentang seorang lelaki buta yang dibawa menemui Buddha. Pada suatu hari Buddha sedang melalui sebuah kampung dan dia mendapati ramai orang di situ sedang kecoh akan sikap bongkak seorang lelaki buta yang ingin mengetahui bukti kewujudan cahaya. Lelaki itu begitu tegas dan mendesak sesiapa sahaja yang boleh menunjukkan kepadanya "cahaya yang boleh disentuh," atau "cahaya yang boleh dirasa," atau "cahaya yang boleh dihidu."
Semua permintaan lelaki itu sudah tentu mustahil kerana cahaya bukan gendang yang boleh dipukul atau makanan yang boleh dihidu. Lelaki itu ketawa, "Maka kamu memang bodoh! Saya ada empat deria rasa. Kamu hanya perlu buktikan kepada saya. Kamu kata saya buta, tapi kamu sebenarnya yang buta. Saya tidak buta kerana cahaya memang tidak wujud. Mata kamu hanya fiksyen. Kamu lihat apa yang kamu mimpikan."
Justeru orang di kampung membawa lelaki buta itu menemui Buddha. "Tidak ada guna kalian bawakan dia kepada saya," kata Buddha. "Ini bukan masalah teori. Ini adalah masalah kesihatan. Ubatnya adalah matanya. Saya kenal seorang doktor yang boleh merawatnya." Buddha kemudian meneruskan perjalanan ke kampung lain.
Selepas enam bulan, lelaki buta tadi telah sembuh, dan dia pun segera mencari Buddha untuk sembah di kakinya. "Tuan telah berjaya menyakinkan saya tentang cahaya," katanya kepada Buddha.
"Tidak saudara, tidak. Saya tidak melakukan apa-apa. Mata awak sendiri yang melihatnya," kata Buddha.
Hampir setiap seorang daripada hidup di dunia ini meraba-raba dalam kejahilan. Namun manusia manakah yang bersedia untuk mengakui kelemahannya? Lebih-lebih lagi apabila dia hidup sebagai seorang warga kota. Apartmen saya tinggal berada agak jauh dari stesen LRT. Kalau jalan kaki akan mengambil masa lebih kurang 45 minit. Saya tidak kisah berjalan atau menunggu bas, tetapi ada hari saya terpaksa juga menahan teksi. Dalam pengalaman 10 tahun hidup di kota ini, saya berani kata yang Kuala Lumpur mempunyai perkhidmatan teksi yang sangat teruk. Tambangnya mahal, kondisi tempat duduk daif, kadang-kadang AC rosak, pemandu berpakaian selekeh, pemandu kurang ajar, dan hampir kesemua pemandu teksi di Kuala Lumpur menanam rasa benci pada kerajaan. Saya tidak kisah apa pendirian politik orang lain, tetapi kalau setiap kali naik teksi saya terpaksa mendengar leteran tentang kenaikan harga minyak dan cukai, saya pun akhirnya akan mual. Mereka mengutuk masalah negara, tetapi masalah di dalam teksi mereka sendiri mereka tidak nampak.
Dulu-dulu orang kata pengalaman menjadikan kita lebih matang dan bijaksana. Kita sering mengukur pengalaman berdasarkan pengembaraan hidup dan usia. Tetapi sudah berapa ramai di kalangan saudara-sudara kita yang pulang dari perantauan dan masih meneruskan budaya pemikiran yang sama? Dan sudah berapa ramai di kalangan warga emas kita yang tidak pernah pun meninggalkan warisan emas kepada generasi muda melainkan hanya janji kosong dan retorik khutbah yang tidak berkesudahan? Pengalaman sering kali membataskan kita dan kita enggan mengakuinya.
Montaigne pernah menulis: "I seek in books only to give myself pleasure by honest amusement; or if I study, I seek only the learning that treats knowledge of myself and instructs me in how to die well and live well."
Kematian adalah kebenaran paling mutlak dan keengganan untuk memahami kematian adalah kesakitan jiwa paling teruk. Apabila kita enggan memahami sesuatu kebenaran, kita akan menerimanya sebagai musuh. Sejarah adalah himpunan kisah perang yang dicetuskan oleh mereka yang enggan ditawan oleh kematian. Cuba lihat Napoleon, dia tidak pernah tidur. Seorang penakluk tidak ada masa untuk memejamkan mata kerana musuh di dalam selimut lebih bahaya daripada musuh di medan perang.
Dalam hal ini, saya kira penulis pun tidak ada beza dengan seorang penakluk. Dia berjaga setiap malam untuk menjual kelelahannya kepada bahasa. Hidup telah melelahkan seorang penulis. Tidak ada penjara di dunia ini yang boleh membuat seorang penulis tidur lena melainkan penjara mindanya sendiri. Seperti Jean Ferry pernah katakan: "Tidur adalah rumah gelap yang digali jauh di dalam tanah." Kita tidak pernah mencari tidur, kerana tidur yang selalu menarik kita jatuh ke bawah.
Comments