Hidup Sendirian Adalah Anugerah
Waktu terbaik untuk menjadi seorang penulis adalah ketika anda belum menjadi seorang penulis. Anda belum dikenali dan anda masih bebas untuk menjadi anarkis di kalangan mereka yang sudah ada nama dan ada reputasi dan ada pangkat penting untuk dipertahankan. Anda masih hantu di kalangan orang yang sedang hidup. Anda masih boleh menikmati kesunyian tanpa rasa bersalah. Saya pernah ada tabiat untuk duduk dalam gelap apabila pulang ke apartmen pada waktu malam. Kadang-kadang berehat di balkoni atau termenung di sofa atau rebah sahaja di atas katil. Saya membiarkan kesunyian malam menguasai diri saya. Masa itu kesunyian terasa seperti racun yang memakan hati perlahan-lahan. Tetapi sekarang baru saya sedar kesunyian bukan racun: ia adalah ruang bebas untuk menjadi seorang manusia yang sudah mati.
Justeru saya rasa sangat tepat untuk saya kongsikan dengan anda esei pendek ini daripada Elizabeth Bishop berjudul Hidup Sendirian yang saya telah terjemahkan. Bishop adalah pengarang Amerika Syarikat yang lebih dikenali sebagai penyair, tetapi kadang-kadang apabila pengarang mengambil cuti untuk membuat catatan santai seperti ini, kita dapat menemui bahagian asing dan intim daripada hidup mereka.
* * *
"Mungkin ada hantu di sekolah, atau serigala licik bersembunyi di lereng bukit, atau roh jahat sedang merasuk di dalam relau sambil mengatur muslihatnya melalui saluran paip sehingga ke dalam bilik kita. Tetapi kita tidak pernah melihatnya. Kita sudah melalui dua musim tanpa ada sebarang gangguan oleh kuasa ghaib; dekat kawasan ini tidak ada kubur terbiar mahupun rumah berhantu - pokok puaka lagilah tidak ada pada musim bunga seperti ini, atau tanah gersang yang boleh menjadi simbol kematian dan ngeri. Maka, kalau tidak ada benda boleh menakutkan kita, dan kita telah meninggalkan jauh zaman remaja, kenapa kita begitu gusar untuk hidup sendirian? Kita seolah-olah berkata dalam hati, "Aku tak suka hari Ahad kerana terlalu panjang waktu sepinya," atau "Seronoknya ada rakan sebilik untuk berbual ketika sedang enak membaca." Aneh betul. Kenapa kesepian, ketika kita memang sudah ada ramai kenalan, mesti menjadi benda yang menyusahkan, atau kenapa kita mesti mahu suatu perbualan berterusan tanpa penghujung? Kita takut sangat berada dalam "waktu kesepian" berbanding melalui hari-hari keseorangan di hadapan kita.
Hidup sendirian adalah anugerah perasaan yang kita tidak boleh dapat melalui bunyi mahupun kehadiran seseorang. Ia seolah-olah berada bersama manusia adalah menjadi bahagian daripada minda Dunia; menjadi bahagian daripada gunung dan lembah, rasa dan muzik; tetapi apabila kita hidup sendirian, minda kita mencari Laut, lembah kesepian dengan cahaya yang berbeza-beza di langit dan bunyi yang berbeza-beza dan penuh rahsia. Tetapi nampaknya kita sangat takut dengan hempasan pertama ombak di kaki kita, lalu kita enggan menempuh pengembaraan ke dunia baru, kita enggan merasai deru yang meluncur di atas air, dan enggan mencari pulau Imaginasi yang dihuni oleh entah apa binatang buas atau orang jakun? Seronok sebenarnya hidup sendirian; minda kita boleh buat kerja sesuka hati tanpa perlu dimanjakan oleh mimpi masa tidur. Tetapi kita tidak akan pernah memahaminya selagi kita berdiri membelakangkan laut di pantai dan meraung kepada kawan-kawan. Ada kemungkinan kita tidak akan pernah mengenali teman sejati dalam diri yang dari dahulu sudah bersama kita, dan betapa dekatnya selama ini minda kita dengan orang itu di saat jantungnya terkinja-kinja melihat seekor burung memanjat tinggi dan terbang sendirian di langit yang luas."
Comments