Cerita-Cerita Dari Bangku Stesen II

Stranger on a Train
 
Saya tidak pernah sangka saya akan memperkenalkan sebuah cerpen Faisal Tehrani di blog ini, tetapi selepas membaca perenggan pertama cerpennya berjudul Perempuan Anggerik, saya terus percaya ini ialah sebuah cerita kereta api yang harus dikongsikan:
 
"Mahu mendengar cerita? Sebenarnya ia wajar menjadi rahsia yang dikulum kemas. Memang pula saya tidak berjanji dengannya untuk merahsiakan kisah ini tetapi kelazimannya cerita peribadi yang lara dan nostalgik adalah sesuatu yang kita tidak suka dihebah-hebahkan. Namun, semakin saya memendam dalam dada - semakin kalut inti fikiran - menjadi kegelisahan yang beragaman. Terlalu mendera. Kerana itulah saya ceritakan juga."
 
Dalam satu perenggan sahaja kita boleh nampak ciri-ciri istimewa kepengarangan Faisal Tehrani selain kenapa ini adalah sebuah cerpen kereta api yang menarik. Di baris pertama lagi dia sudah melanggar tembok konvesional penceritaan di mana naratornya bertanya secara langsung kepada kita, adakah kita ingin mendengar sebuah cerita? Walaupun ini bukanlah teknik baru atau moden kerana semenjak ada apa yang dinamakan cerita, memang sudah ada tukang cerita yang ingin berbicara dengan seorang pendengar. Kemudian perhatikan kalimat segear yang dibina oleh Faisal seperti "rahsia yang dikulum kemas" atau "Kerana itulah saya ceritakan juga" yang memulakan ayatnya dengan "kerana" seolah-olah ini adalah penegasan kepada keinginannya untuk bercerita kepada kita.
 
Keseluruhan cerpen Faisal ini mengingatkan saya kepada puisi terkenal Samuel Taylor Coleridge berjudul The Rime of the Ancient Mariner di mana seorang lelaki tua menahan seorang pemuda yang sedang menuju ke sebuah majlis perkahwinan. Orang tua itu pun menceritakan pengalaman ngerinya di laut dalam baris-baris puisi yang sangat panjang, horor, dan imaginatif. Situasi hampir sama berlaku dengan cerpen Faisal. Seorang pemuda berada dalam kererta api dari Kuala Lumpur ke Singapura untuk menemui rakannya dari Australia. Kalau anda ingat tulisan saya sebelum ini, saya kongsikan cerpen A. Samad Said di mana wataknya menaiki kereta api dari Singapura ke Kuala Lumpur. Ya, perjalanannya terbalik dengan watak Faisal. Kebetulan? Mungkin tidak juga. Kalau anda perhati betul-betul detail dalam cerpen Faisal, anda akan nampak ketelitian Faisal membina suasana cerita sangat mirip dengan gaya A. Samad Said:
 
"Ketika kereta api itu berhenti di Seremban, mengambil penumpang baru; saya sedang asyik menghirup teh panas di kantin kereta api. Apabila kembali ke kerusi, televisyen sudah beroperasi, Rail Channel itu menayangkan filem "Born to Ride". Itu tidak menjadi masalah, tetapi seorang lelaki tua lingkungan 60 sudah pun terduduk di kerusi sisi, tersenyum intim."
 
Sama seperti cerpen A. Samad Said, kita rasa seperti sedang berada dalam sebuah kereta api. Namun perbezaan ketara antara dua generasi pengarang ini akan kelihatan sebaik sahaja pemuda dan orang tua itu mula bercakap:
 
"Jangan ambil mudah analisis pemerhati Barat sejak akhir-akhir ini. China Raya atau Greater China sedang bergerak pantas ke arah menjadi epicentre industry, perdagangan dan kewangan ekonomi dunia yang baru."   
 
Ayat bombastik, berilmiah, dan kononnya intelektual ini selalu saya temui dalam cerpen yang terbit di tahun 90-an, lebih-lebih lagi cerpen yang sering muncul di akhbar Mingguan Malaysia. Ada semacam kegilaan di kalangan penulis generasi Faisal dan Nisah Haron untuk bina watak-watak yang suka berkomentar tentang isu semasa dan permasalahan global sambil memetik jargon atau judul buku akademik yang serius. Othman Puteh memanggil teknik ini sebagai "ilmu bantu" yang sehingga ke hari ini menjadi teknik kegemaran cerpenis Malaysia yang ingin menulis untuk Mingguan Malaysia dan menang Hadiah Sastera Kumpulan Utusan.
 
Walaupun dialog dalam cerpen Faisal kelihatan janggal dan superfisial kalau nak dibandingkan dengan cerpen A. Samad Said, namun ia masih melekat dengan isi cerita kerana si pemuda ini ingin tidur tetapi terpaksa mendengar cerita sejarah daripada orang tua itu. Dia tidak ingin menegur atau memarahi orang tua itu atas dasar hormat, lebih-lebih lagi selepas orang tua itu mula membuka cerita tentang cinta lama mengenai seorang gadis yang dipanggilnya Perempuan Anggerik. Saya tafsirkan dilema pemuda ini sebagai dilema Faisal sendiri sebagai pengarang muda. Kita tahu generasi Faisal banyak menggali ke dalam sejarah dan teks tradisional sambil membaurkannya dengan permasalahan kontemporari. Hubungan mereka dengan generasi lama juga aneh. Mereka tidak melawan secara terbuka dan pada masa sama mereka juga tidak menurut membuta tuli. Mereka ingin menjadi kosmopolitan tanpa menanggalkan songket dan kebaya di tubuh masing-masing. Hasilnya ialah semacam saduran antara fiksyen generasi ASAS 50 dan penulisan moden. Ia seolah-olah Faisal dan penulis-penulis generasinya lebih selesa berada di dalam kereta api dan tidak turun di mana-mana stesen.
 
Apabila pemuda itu sampai di Singapura, dia mendapati orang tua itu sudah hilang. Tiga hari kemudian, ketika dia berjalan di Pulau Sentosa, dia menemui sekali lagi kelibat orang tua itu. Tetapi saya harus kongsikan terlebih dahulu deskripsi Faisal yang memang detail dan sedap dibaca:
 
"Saya melihat kereta kabel berkelip-kelip tubuhnya bergerak malas dan saling bertemu. Tergantung dilantari langit kelabu dengan gumpalan hitam halus. Laut berbau masin dan angin mendera menyejukkan tapak tangan. Jambatan Pulau Sentosa sudah diterangi dan kenderaan bagaikan permainan kanak-kanak meluncur pantas. Cahaya dari sisi pelabuhan yang sibuk, sportlight dengan pelantar kontena yang aktif bersimbahan pada muka air. Sisik perak dan keemasan pada air yang mulai hitam bergaris-garis."
 
Sekali lagi perbandingan harus dibuat dengan A. Samad Said kerana bahasa Faisal di sini sangat memukaukan dan ia hanya boleh dilawan oleh kehebatan deskripsi dalam novel Daerah Zeni.
 
Pemuda itu mendengar orang tua itu bercerita tentang peristiwa sedih yang berlaku kepada Perempuan Anggerik dan kemudian, sekali lagi, dia hilang. Maka kita sedar yang orang tua itu memang tidak wujud. Dia hanya imej atau roh pencerita dari masa lalu yang datang menemaninya di atas kereta api. Dia mewariskan cerita kepada pemuda itu dan pemuda itu mewariskan ceritanya kepada kita.
 
Di atas kereta api, masa lalu dan masa kini memang sering kali bertemu dan berbicara dalam diam.
 
        

Comments

Popular Posts