Membuka Semula Rumah Cerekawala

 
Ada banyak buku yang saya kira sangat berpengaruh dalam hidup saya. Bukan sahaja dari segi penulisan, tetapi juga sebagai panduan untuk saya bermimpi. Alor Setar adalah sangat kecil untuk seorang budak yang kuat berangan. Saya sentiasa ingin pergi ke dunia lain. Maka saya berangan dan buku menjadi pintu kepada dunia angan-angan saya. Antara semua pintu itu, dunia Fighting Fantasy ciptaan Steve Jackson dan Ian Livingstone adalah yang paling memukaukan saya.
 
 

Siri Fighting Fantasy ini lebih dikenali sebagai buku permainan di mana pembaca menjadi hero kepada sebuah pengembaraan dan mereka menentukan sendiri jalan cerita dan kesudahannya. Namun untuk saya, sebagai budak Alor Setar berusia sembilan tahun, ia adalah sastera. Buku karangan dua orang pengarang ini mengajar saya membaca dan mengajar saya bagaimana untuk berimaginasi. City of Thieves adalah antara buku terbaik mereka pernah tulis. Kita dibawa ke kota jenayah bernama Port Black Sand yang diperintah oleh Lord Azzur. Nama-nama jalan dan kedai-kedai di kota ini terasa sangat bernyawa, kotor, dan korup. Kita boleh bermula di kedai tukang kunci, kemudian kita boleh pilih untuk berjudi di bar atau membeli barang di pasar basah atau berlawan dengan perempuan berkepala ular. Hati-hati: jangan sampai ditahan oleh pengawal Lord Azzur.
 
Manusia lahir dalam masyarakat dan masyarakat memberikan bahasa kepada manusia untuk berfikir.  Ia hampir sama dengan cara pembaca diberikan kuasa dalam sebuah buku permainan. Kita bebas membuat pilihan, tetapi pilihan kita sentiasa tertakluk oleh sistem permainan masyarakat. Sastera selalunya menjernihkan kefahaman kita tentang bahasa dan sistem sosial yang mempergunakannya. Kita bukan lagi sekadar bermain: kita juga mula berfikir tentang bagaimana ia dimainkan.

Tetapi manusia bukan selama-lamanya berfikir. Manusia asalnya bukan dicipta di tengah masyarakat. Manusia dicipta bersama alam. Saya bukan sedang bercakap tentang pokok, angin, dan laut semata-mata. Kita juga mempunyai hubungan dengan kematian, hubungan dengan waktu, dan hubungan dengan kuasa di alam semesta. Ada emosi primitif yang terpendam dalam diri setiap manusia. Lebih-lebih lagi dalam diri seorang manusia moden. Kita sekarang lebih intim dengan teknologi berbanding alam semesta. Saya percaya sastera boleh membuat kita menjadi manusia lebih bijaksana dan anggota masyarakat yang lebih baik, tetapi sastera jarang sekali meluaskan petanya ke dunia di luar sempadan bahasa dan rasionaliti. Walaupun sebahagian besar daripada novel Shahnon Ahmad bermain dengan alam, tetapi konflik asasnya masih bagaimana seorang manusia alam (manusia kampung di Kedah) ingin menyesuaikan diri dengan sistem dan norma masyarakat moden. Bagi Shahnon Ahmad kuasa masyarakat Melayu adalah politik. Tetapi kuasa ini juga yang akan menghancurkan bangsa Melayu. Dalam dunia Shahnon Ahmad memang tidak ada jalan tengah antara politik dan alam. Memilih politik bermaksud menderhaka kepada alam: maka dia akan mati. Hampir semua watak Shahnon mati atau ditimpa kesusahan apabila mereka berkompromi antara anugerah alam dan tuntutan kuasa politik.

Shahnon memilih kematian sebagai jalan keluar kepada dunianya. Tetapi sayang sekali imaginasi Shahnon tidak pernah masuk sampai ke dalam kubur. Setahu saya Shahnon pernah membaca Edgar Allan Poe, tetapi dia ternyata lebih intim dengan alam fizikal Faulkner dan Pramoedya. Kalau Shahnon lebih gigih membaca Poe, barangkali, kematian Lahuma akan lebih menakutkan kita berbanding rasa kecewa dan tewas yang Shahnon tinggalkan di penghujung Ranjau Sepanjang Jalan. Maka saya boleh faham kemarahan Kassim Ahmad dengan novel ini: dia tidak mahu manusia ditewaskan oleh alam seolah takdir adalah rantai yang mengikat roh manusia. Namun keinginan untuk sentiasa menang dengan takdir dan kematian juga suatu illusi. Kita akan sentiasa ditewaskan oleh kematian dan sastera selalunya lupa untuk mengingatkan kita kepada kebenaran ini.

Justeru saya ingin membuka pintu cerekawala kepada pembaca. Di dalam rumah ini waktu seakan-akan berhenti: kita boleh berada di mana-mana dan pada bila-bila masa. Sekejap kita boleh melihat di luar tingkap manusia berjalan-jalan di tengah kota Kuala Lumpur, kemudian pemandangan itu bertukar, dan kita sekarang menyusuri terowong bawah tanah sebuah piramid kuno di Peru, kemudian pemandangan itu bertukar lagi, dan kita berada dalam bola mata seekor nyamuk yang sedang terbang masuk melalui lubang telinga Raja Namrud. Karya cerekawala tidak mengkritik sempadan realiti, ia membuka dan memperluaskan sempadan itu.

Blog Rumah Cerekawala ini saya sudah buka pada tahun 2011. Disebabkan keterbatasan imaginasi, waktu, dan kefahaman tentang alam kosmologi cerekawala, saya menutup sementara pintunya. Saya harus berterima kasih kepada Fadli Al-Akiti yang memperkenalkan istilah cerekawala. Saya tidak tahu apakah definisi cerekawala menurutnya. Saya menggunakan cerekawala sebagai rumah di atas sebuah peta. Semua pembaca menggunakan peta ini apabila mereka membaca fiksyen. Tidak kisahlah destinasi mereka itu sastera atau persuratan atau ilmu atau pulp atau spekulatif. Fiksyen adalah fiksyen walau apapun rupanya di atas peta. Dan dalam dunia fiksyen ini saya adalah seekor biawak yang boleh menukar-nukar rupa. Saya boleh pergi ke mana-mana negeri dan menyesuaikan diri dalam apa-apa jenis cuaca dan suasana. Barangkali asalnya saya adalah seorang manusia biasa. Tetapi ketika umur saya sembilan tahun saya tersesat di tengah hutan dan menemui sebuah pondok usang. Dari luar ia kelihatan seperti sudah ditinggalkan (dan dilupakan). Masuk dalam saya menemui kebuk api yang menyala terang, sebuah katil bujang, dua bilah pedang di dinding, sebuah meja dengan sejumlah buku bersampul hijau. Pengarang buku-buku ini adalah Steve Jackson dan Ian Livingstone. Saya membaca kata-kata mereka dan malang sekali kata-kata mereka telah menyihirkan saya menjadi seekor biawak.

 Semua perbincangan saya selepas ini tentang penulisan cerekawala akan dibuat di blog satu lagi.    
 
    

Comments

Anonymous said…
Lebih rela menjadi biawak magis yang boleh bertukar-tukar rupa dan tabii daripada menjadi manusia rigid yang terperangkap di bawah kulit cengkerang lutsinar.

Enjoying your post as usual.

Popular Posts