Tongkat Sakti Eldar

 
Sebut sihir saya akan ingat Sapardi Djoko Damono yang menggunakan kata sihir, pertama, untuk puisinya sendiri Sihir Hujan, dan kedua, untuk judul bukunya mengenai W. S. Rendra berjudul Sihir Rendra. Hanya seorang penyair akan percaya kata-kata boleh menjadi dunia, dan hanya seorang penyair akan percaya kata-kata boleh menukarkan pembaca menjadi katak, atau dalam dunia puisi T. Alias Taib, menukarkan pembaca menjadi pencuri seluar dalam.
 
Saya bukanlah seorang penyair, jadi malangnya, saya tidak mempunyai tongkat sihir untuk menukarkan rupa pembaca menjadi apa-apa saya mahu. Dalam keterbatasan saya sebagai pengarang prosa, saya memerlukan pelbagai alat, atau pelbagai barang mainan, dan kuasa magis kata-kata memang tidak cukup. Selain itu saya tidak berminat untuk menyihirkan pembaca. Cuba bayangkan anda pergi ke sebuah karnival dan membayar kupon untuk masuk khemah persembahan silap mata, dan ketika lampu sorot turun ke tengah gelanggang dan tirai dinaikkan, muncul tukang sihir gila yang mula menggunakan tongkatnya untuk menukarkan rupa fizikal penonton, termasuk diri anda, menjadi katak, menjadi monyet, dan menjadi anjing laut. Bukankah ia sebuah persembahan silap mata yang membosankan?
 
Saya rasa begitu. Sebab itu apabila saya menulis, saya tidak ingin mengubah, saya ingin mencipta. Saya ingin memberikan persembahan yang berbaloi untuk penonton bayar. Malah saya tidak ingin satu jenis persembahan sahaja, saya ingin memberikan sebanyak mungkin persembahan:  saya ingin menarik pedang keluar dari mulut singa, saya ingin hilang dari pentas dan muncul di atas bumbung, saya ingin berdiri terapung di atas seutas tali kapal, saya ingin diikat pada tiang kayu dan ditembak oleh seorang penonton, saya ingin mengeluarkan balang ikan emas daripada topi saya.
 
Dan, saya percaya, seorang ahli silap mata membuat persembahan bukan dengan tongkat sihir, tetapi menggunakan tongkat sakti. Sebenarnya hanya dia seorang sahaja yang tahu apakah kesaktian tongkat itu. Sementara kita, yang menangguhkan keraguan dan kegelisahan dalam diri kita, memilih untuk duduk dalam gelap dan menyerahkan diri untuk dipukau dan dilambung-lambung setinggi mungkin oleh persembahan hebatnya.  
 
* * *
 
Hadi Jaafar bertanya kepada saya baru-baru ini satu soalan yang saya ingin kongsikan dengan pembaca:
 
 
"Salam Azriq,

 Kalau diberi tongkat sakti sastera sehebat 'Elder Wand', apa jenis novel yang Azriq mahu lihat keluar dari tempurung kesusasteraan Malaysia, atau lebih khusus lagi, kesusasteraan Melayu?"
 
 
Jawapannya mudah: banyak. Terlalu banyak. Tetapi, malangnya, novel kita, dan saya meminjam sekali lagi analogi persembahan silap mata, masih berminat dan hanya berminat untuk melakukan satu benda: menukarkan pembaca menjadi katak. Atau binatang apa-apa sahaja. Dan kalau anda ditukarkan menjadi katak, maka anda harus sedar diri, anda harus tahu tempat dan naluri semula jadi anda sebagai  katak. Bagaimana kalau anda ingin melawan? Bagaimana kalau anda tidak kisah menjadi katak, dan sudah lama pun anda menerima hakikat yang darah anda sejuk macam ais dan hidangan kegemaran anda adalah sushi lalat, tetapi anda sahaja nak mencuba habitat baru dan bergaul dengan ayam dan kambing di ladang? Boleh sahaja, asalkan anda tidak kisah menjadi bahan  makmal yang dihiris dan dipotong dengan pisau oleh profesor-profesor tua dan berambut putih dan terlalu rabun sehingga tidak boleh membezakan antara katak dan kucing.  
 
Manusia bukan sekadar mencipta pengalaman, tetapi manusia hidup dalam pengalaman. Pengalaman dalam dirinya dan pengalaman di luar dirinya. Kadang-kadang pengalaman-pengalaman ini sukar untuk dibezakan. Seorang pak cik yang setiap hari memandu teksi di Kuala Lumpur pasti akan rasa pengalaman ketika memandu dan mengambil penumpang, adalah sama sahaja dengan pengalaman berbual di kedai kopi, atau pengalaman menunggu giliran di stesen minyak, atau pengalaman bersama keluarga di meja makan. Serpihan-serpihan pengalaman itu telah larut menjadi suatu pengalaman besar atau umum yang dikenali sebagai kehidupan normal. Hanya apabila serpihan pengalaman itu diberikan bentuk, baru ia mempunyai takdirnya sendiri, baru ia boleh bersuara dan bergerak, baru ia boleh menjadi suatu pengalaman yang bermakna.    
 
Justeru, saya percaya, setiap satu daripada pengalaman kita memerlukan bentuk dan pengucapan yang tersendiri. Dan dalam konteks penulisan novel, bentuk itu harus pelbagai, kerana pengalaman kita adalah pelbagai. Mana mungkin seluruh pengalaman hidup manusia  dirumuskan ke dalam sebuah novel agung.   Roberto Bolano memanggilnya total novel. Dan, ya, memang ini adalah impian semua novelis besar: mencipta novel yang boleh menjadi matahari kepada sebuah galaksi. Tetapi 2666 Bolano hanya matahari kepada galaksinya,  seperti Ulysses Joyce adalah matahari kepada galaksinya.
 
Untuk kembali kepada soalan Hadi: apakah jenis novel saya ingin lihat di Malaysia? Pertama, saya tidak mahu melihat Kota A Famosa, saya tidak mahu melihat mayat J. W. W. Birch, saya tidak mahu melihat tebing Gaza. Boleh runtuhkan semua monumen dan simbol itu pun sudah cukup bagus untuk masa  depan novel Malaysia. Tetapi saya tidak berminat juga kalau semua novel pengarang kita ciptakan mempunyai satu cita-cita  sahaja: ingin menjadi matahari dalam sebuah galaksi. Bosan gila. Kenapa nak mencari bintang, kalau benda-benda di dalam rumah pun sudah menyeronokkan? Saya membayangkan novel dalam bentuk keratan akhbar; novel dalam bentuk kotak sabun baju; novel dalam bentuk peti sejuk; novel dalam bentuk stor barang-barang terbuang; novel dalam bentuk foto-foto album; novel dalam bentuk risalah iklan; novel dalam bentuk dam ular; novel dalam bentuk resipi makanan; novel dalam bentuk bil elektrik dan bil air; novel dalam bentuk sebuah rumah.
 
* * *
 
Ketika sedang mengarang jawapan kepada soalan Hadi Jaafar, saya baru selesai menterjemahkan novel Dave Egger Hologram for the King, dan sebelum itu, saya membaca cerita-cerita aneh Robert Aickman. Pengarang pertama memberikan saya pengalaman realistik, dan pengarang kedua memberikan saya pengalaman ngeri. Kedua-duanya bermakna untuk saya, walaupun novel Egger sangat bukan selera saya, tetapi saya lebih kerap menemui pengalaman jenis pertama berbanding pengalaman jenis kedua. Saya lebih kerap membaca buku yang rasional berbanding buku yang aneh dan misteri. Di Malaysia kita sudah mempunyai terlalu ramai pengarang sihir seperti Egger, dan kekurangan, malah ketandusan, pengarang sakti seperti Aickman.
 
Sudah sampai masanya untuk mengeluarkan arnab putih daripada topi.
 
 

Comments

Popular Posts