Kereta Api Malam
Perjalanan dua belas jam boleh membuat mana-mana penumpang kereta api tertidur, tetapi saya memilih untuk berjaga dan berjalan di antara gerabak setiap kali saya menaiki Ekspres Senandung Langkawi ke utara. Saya hanya mula menggunakan kereta api untuk berulang antara Alor Setar dan Kuala Lumpur ketika zaman kuliah universiti. Saya mengelak, seboleh-bolehnya, daripada menaiki bas, mahupun memandu kereta. Disebabkan dari kecil sudah biasa mengikut keluarga saya ke Kuala Lumpur dengan kereta, saya mahu melihat dan merasai pengalaman berbeza apabila sudah bebas untuk membuat keputusan hidup sendiri.
Kalau ayah saya memandu kereta, selalunya akan mengambil masa lapan jam untuk sampai Kuala Lumpur melalui jalan lama. Gopeng, Ipoh, Tanjung Malim antara tempat kami akan berhenti untuk tidur sebentar di tepi jalan atau stesen minyak. Di zaman itu perasaan saya lebih kepada ingin sampai ke Kuala Lumpur secepat mungkin. Pertama sebab tidak sabar nak pergi mencari mainan di The Mall atau Subang Parade esoknya. Selain itu saya juga ingin mengetahui permainan video Sega Megadrive terbaru di rumah abang sulung saya. Jadi sepanjang perjalanan ke Kuala Lumpur, saya banyak tidur, selalunya di atas riba emak. Kalau saya jaga pun, ketika kereta kami berhenti di Gopeng, kerana di situ ada banyak kedai menjual limau bali dan keropok ikan sebesar kuali yang dibungkus dengan plastik merah jambu.
Apabila hendak ke Kuala Lumpur, emak pasti akan membawa bekalan buah epal dan termos berisi Nescafe panas. Saya paling suka waktu emak hendak mengupas epal, dia akan mengeluarkan sebilah pisau berwarna oren yang disimpan di dalam beg tangannya.
Pengalaman masa kecil ini tidak akan berulang kerana saya seorang sahaja yang menaiki kereta api setiap kali pulang atau meninggalkan Alor Setar. Justeru di usia ini saya memilih kereta api kerana saya degil dan enggan melepaskan memori lama bersama keluarga ketika ayah memandu kami ke Kuala Lumpur.
Orang yang menaiki kereta api antara bandar adalah orang yang ingin melengahkan waktu. Atau kita boleh juga kata seorang penumpang kereta api adalah manusia yang terjebak di masa lalu. Dia tidak boleh (atau tidak ingin) memandang jauh ke depan seperti orang Malaysia yang lain. Di luar tingkap pemandangan gelap. Dia hanya boleh nampak rumah-rumah kampung yang duduk berceretek di kaki hutan.
Apabila kereta api sudah masuk Perak, selalunya, jalan raya sudah lengang. Bangunan-bangunan kedai ditinggalkan oleh peniaga untuk ditemani oleh anjing dan tiang listrik. Di Malaysia bangunan moden tidak mempunyai sebarang nilai budaya. Ia menjadi sangat jelas di tengah malam apabila semua orang sudah pulang ke rumah. Kita melihat bangunan-bangunan ini dan timbul perasaan hampa. Kita tidak mengenal sejarahnya dan kita tidak tahu apakah fungsi seni binanya. Kita telah menebang pokok atau meruntuhkan lereng bukit atau membinasakan rumah kampung semata-mata untuk menyediakan ruang perniagaan. Tetapi adakah ia berbaloi dengan harga kita terpaksa bayar?
Sebagai seorang pembaca sastera, saya selalu mencari tulisan yang akan menggambarkan kehampaan ini apabila saya berada di dalam kereta api. Saya percaya bangsa kita adalah bangsa yang sentiasa ditekan kehampaan dari pelbagai segi akibat luka penjajahan dan luka pembagunan yang tidak terkawal. Malangnya, saya harus membuat pengakuan di sini, saya masih kecewa dengan tulisan kontemporari di negara kita. Malaysia yang saya temui dalam buku sastera kita sering kali tidak sama dengan Malaysia saya lihat di luar jendela kereta api dalam perjalanan ke utara. Malaysia dalam sastera kita masih ingin menjadi Malaysia di zaman sebelum kemerdekaan.
Mungkin sebenarnya ia bukan salah sastera pun. Mungkin kedegilan ini hanya penyakit dan tabiat biasa orang kita yang lebih selesa untuk memejamkan mata dan berdengkur ketika menaiki kereta api. Dia tidak mahu melihat keluar, dia tidak mahu melihat malam, kerana dia malu untuk melihat negaranya bersembunyi dalam gelap.

Comments