Mitos Generasi Mapan


Tahun 2007. Itu adalah kali pertama saya bertemu dengan Faisal Tehrani. Malah boleh dikatakan Faisal adalah antara penulis mapan terawal yang saya  berpeluang untuk berjumpa dan kenali. Situasi pertemuan itu, apabila diingat sekarang, adalah agak kebudak-budakan dan lucu. Kami berada di sebuah hotel menghadap Jalan Hang Tuah. Malam. Saya, Aidil Khalid, dan beberapa orang penulis baya kami sedang berdiri di luar pintu bilik Faisal. Masing-masing kesejukan (ada juga yang mengantuk barangkali.) Kami berdiri di situ seolah-olah sedang menunggu kapten kapal angkasa yang akan terbangkan kami ke planet Romulus. 

Dan apabila orangnya akhirnya tiba, perbandingan Faisal dengan Romulan itu, ternyata, tidak jauh daripada benar.

Kami dijemput masuk. Lampu bilik dibiarkan remang-remang. Faisal duduk di hujung katil, sementara kami bersila di lantai mengelilinginya dengan emosi berdebar-debar, barangkali, untuk menerima riwayat (dan wahyu) pertama dari Romulus. Nak pendekkan cerita, riwayat, atau khutbah Faisal kepada kami malam itu, tidaklah terlalu asing seperti mana saya harapkan. Ada bahagian tentang penyesalan Abdullah Hussain; ada bahagian tentang menuntut ilmu dengan Pak Samad di celah tiang Masjid Negara; ada bahagian tentang perbezaan antara pen kecil dan pen besar; ada bahagian tentang watak novel yang berbusa mulut melakukan onani. Semuanya hal lokal dan iseng belaka. Namun saya tidak terfikir langsung pada masa itu yang begitulah cara seorang penulis mapan melayan anak-anak muda di bawahnya.

Sebelum 2007 Faisal hanya satu nama bagi saya. Ia adalah nama pengarang kepada sebuah cerpen berjudul Kerana Manisnya Epal. Tidak lebih daripada itu. Cerpen itu sangat melekat dalam ingatan saya kerana ia adalah cerpen paling kontemporari saya baca di sekolah. Lalu, pada malam saya berdiri di luar pintu bilik Faisal, saya masih membawa pengalaman membaca cerpen itu.

Tetapi pertemuan peribadi dengan seorang penulis sering kali adalah pertemuan yang mengecewakan.

Mitos kekal sebagai mitos apabila ia dipandang dari jauh. Namun sebaik saja kita melangkah mendekatinya, mitos itu langsung hilang. Ternyata patung yang kita kagumi selama ini tidak lebih daripada sebongkah batu.

Bukan salah penulis juga apabila mereka dibentuk menjadi mitos. Pembaca yang menciptanya. Ada penulis yang lari terus daripada bayang mitos itu; ada juga yang sangat terbuka meraikannya. W. B. Yeats pernah kata kepada Oscar Wilde bahawa dia mencemburui orang yang menjadi mitos ketika masih hidup.Yeats bercakap sebagai orang muda dan Wilde, masa itu, bukan sekadar mapan, tetapi sudah menjadi semacam rock star. Kita hanya boleh membayangkan Wilde ketawa ketika dia menjawab ini kepada Yeats: "Semua orang harus mencipta mitosnya sendiri."

Sudah tentu mencipta mitos mudah saja buat seorang seniman eksentrik seperti Wilde. Penulis lain selebihnya hanya mampu membangunkan mitos menggunakan pen dan selembar kertas.

Kebelakangan ini apabila saya bertemu dengan penulis-penulis lebih muda daripada saya, mereka akan sebut nama Zaen Kasturi. Itulah penyair kegemaran mereka. Suatu masa dulu saya juga mengagumi Zaen dan sampai sekarang saya tidak pernah mengenalinya secara peribadi. Mungkin lebih baik begitu. Ada kata yang lebih elok dibiarkan sebagai kata; ada mitos yang lebih elok dibiarkan sebagai mitos. Dan ada cinta yang lebih elok dicintai jauh daripada mata. 



Comments

Popular Posts