Bolaño: Sisa-Sisa Keikhlasan

Bolaño bersama Enrique Vila-Matas
Puisi Roberto Bolaño 


Sebelum pulang ke Malaysia dari Jakarta, saya dan Eka Kurniawan duduk di sebuah kafe, sementara menunggu macet di jalanan reda, dan mengisi waktu kami dengan kesepian panjang, dengan suara anak-anak muda Jakarta yang enak bercanda dan ketawa, lalu di sela-sela kesepian itu kami terfikir tentang perbezaan kata-kata antara kedua-dua negara kami. "Bagaimana kalau buku kamu diterbitkan di Malaysia? Mahu enggak?" saya bertanya kepada Eka. "Iya. Tapi ia harus dalam bahasa Indonesia," balas Eka. Ya, saya fikir, kalau karya Malaysia diterbitkan di Indonesia, ia mesti dalam bahasa Melayu. Eka juga, kalau boleh, ingin melihat suatu hari nanti karyanya diterbitkan secara serentak di Malaysia dan Indonesia. "Hanya apabila buku beredar secara bebas antara dua negara, baru bisa berlaku pencurian kata-kata," kata Eka.  

Kata-kata ternyata sangat polos sifatnya; dan kata-kata tidak mengenal kesetiaan. Ia boleh menjadi milik sesiapa saja yang memegangnya. Misalnya, perkataan "canda," yang saya dengar di radio ketika di dalam kereta bersama Eka. Maksud canda di sini adalah gurauan. Saya kata kepada Eka bahawa kata canda itu jarang sekali digunakan oleh orang Malaysia dalam perbualan biasa. Orang Malaysia lebih sering menggunakan kata "lawak" atau "gurau." Di Indonesia, sebaliknya, canda adalah kata yang lebih biasa berbanding lawak. Kemudian kata "olahraga." Untuk orang Malaysia olahraga itu spesifik kepada acara di padang sementara "sukan" adalah kata yang lebih bersifat umum; tetapi di Indonesia olahraga itu adalah semua jenis sukan. Pasti ada banyak saja lagi contoh lain. Tetapi kalau kata-kata boleh dicuri secara liar (orang Malaysia membaca buku Indonesia dan orang Indonesia membaca buku Malaysia) suatu hari nanti, tidak mustahil jarak antara bahasa Melayu dan bahasa Indonesia menjadi dekat dan dianggap biasa saja, seperti mana kita sukar nak membezakan antara bahasa orang Inggeris dan bahasa orang Amerika.

Minat saya kepada idea pencurian kata-kata ini bukan ditolak oleh semangat kebudayaan atau nasionalisme (jauh sekali!). Saya cuma nak permainan ini jadi lebih menarik dan seronok. Kenapa sastera harus serius? Kenapa penulisan harus serius? Kenapa kata-kata harus serius? Biarkan saja makna dan kebenaran kekal serius. Memang sudah begitu sifatnya semenjak manusia dicampakkan ke dunia ini: kita terpaksa berurusan dengan keseriusan makna. Tetapi kata-kata adalah milik kita. Hanya manusia yang boleh mencipta kata di dunia ini dan bebas membuat sesuka hati dengan kata.

Kalau menurut puisi Bolaño, kata hanya sisa tinggalan suatu zaman. Dan bagi saya, ia adalah ibarat kerikil-kerikil yang terdampar di sebuah pantai asing. Ketika suatu zaman itu masih segar dalam diri kita, ya, kata-kata itu masih berenang dan berguling dalam laut. Tetapi masa adalah ombak yang tidak mengenal lelah. Kata-kata di zaman kita akan dibuang juga oleh laut. Dan cuba bayangkan, berapa banyak saja kata-kata dari zaman ini akan selamat sampai di darat? Kata-kata di zaman ini akan ikut tersusun bersama kata-kata dari zaman sebelumnya (kata-kata yang sudah mengenal erti makna dan kebenaran). Lalu apa akan tinggal buat anak masa depan yang datang berjalan di pantai itu? Hanya kerikil dan batu dari laut: hanya kata-kata yang tidak dapat dikenal dan ditafsir rupa dan asal-usulnya.

Tetapi batu-batu ini ternyata sangat berharga buat seorang anak muda. Kerana, di mana-mana zaman pun, seorang anak muda akan memerlukan batu-batu paling keras untuk memecahkan jendela bilik guru sekolahnya. Dia memerlukan batu-batu itu untuk menjadi bebas.    

Comments

Popular Posts