Siapa Itu Goenawan?
GM atau Goenawan Mohamad? |
Entah. Saya pun tidak tahu. Sehingga kini nama Goenawan Mohamad itu hanya nama yang tercatat di atas kertas - nama yang tertulis di kulit sebuah buku seolah-olah ia adalah poster iklan di panggung. Secara tidak sedar saya menghafal nama ini. Saya mengheret nama ini dalam ingatan saya seolah-olah ia adalah nama saya sendiri. Saya menggunakan nama ini apabila berselisih dengan nama-nama lain dari Indonesia seolah-olah berpura-pura menjadi orang Indonesia dengan berpura-pura menjadi Goenawan.
Saya akui: saya mempergunakan nama Goenawan dengan sewenang-wenangnya. Seperti saya bakal lakukan seterusnya.
Tetapi bukankah nama Goenawan sepanjang masa dipergunakan? Namanya adalah ibarat mata wang dollar yang dipakai dan ditukar-tukar apabila kita ingin bercakap tentang sastera Indonesia. Kita tidak perlu melihat apatah lagi mengenali orangnya secara dekat; cukup sekadar sebut nama dan perbualan atau perbincangan kita akan dipandang serius. Saham intelektual kita terus melambung naik. Cukup sekadar memetik nama ini, sebuah novel pertama akan diangkat sebagai karya besar. Nama Goenawan itu adalah seperti nama Gatsby: ia adalah simbol dan misteri (di Indonesia orang memanggil Goenawan Mohamad "GM;" dalam novel Fitzgerald, Jay Gatsby menjadi "JG" di pagar rumah agam di West Egg). Lalu, sebenarnya, ia bukan lagi soal, "Siapa Goenawan Mohamad?" tetapi soal kebingungan, atau mungkin kepura-puraan, yang dirasai oleh si Daisy apabila nama Gatsby itu sekali lagi merasuk fikirannya:
"Goenawan? Apa itu Goenawan?"
Ya. Itu soalan paling tepat. Apa sebenarnya nama GM ini? Burger terbaru McDonald's? Jenama air soda? Jenama kondom? Judul lagu? Kod rahsia C.I. A.? Saya jadi ingat satu babak daripada filem King Arthur (peringatan: filem ini adalah adaptasi paling teruk mitos Raja Arthur). Ketua pahlawan puak gasar telah bertemu buat pertama kali dengan Raja Arthur (dilakonkan dengan kaku oleh Clive Owen). Raja Arthur berada di atas kuda di puncak lembah yang berkabus sambil memerhatikan musuhnya yang kelihatan seperti vokalis rock dari wad gila. Pahlawan gasar itu berkata kepada Arthur: "Ke mana saja aku pergi atas pulau celaka ini, aku dengar nama kau. Seolah-olah kau adalah Tuhan."
GM bukan Tuhan kerana nama hanya sebentuk kata. Tetapi kalau kita boleh merapatkan telinga ke nama ini, bukankah ia nama yang sangat bising? Dan bayangkan pulak nama-nama lebih besar dalam sejarah manusia: "Allah," "Jesus," Buddha," "Zarathustra." Suasana dan suara di belakang tabir nama-nama ini pasti jauh lebih bingar daripada nama GM.
Nama menjadi mitos apabila ia dibangunkan secara berterusan. Apabila seorang pengarang mati, dia meninggalkan nama di atas dunia ini. Tubuhnya telah tiada. Setiap tahun, pengkritik, pensyarah, penulis, dan pembaca akan memijak dan menendang nama ini supaya ia memuntahkan makna yang mereka inginkan.
Lama-kelamaan, apabila tahun berganti tahun, dan abad berganti abad, nama ini akan terpisah jauh daripada wajah asal ketika ia pertama kali diciptakan.
Goenawan masih hidup dan nama GM masih melekat bersama Goenawan. Fikir GM dan sejuta suara akan datang menyerbu dalam kepala kita: penyair; pengkritik; penipu; kaki betina; pluralisme; liberal; seks; TEMPO; TUK; Sitok Srengenge; Ayu Utami; Don Quixote; Malim Kundang; Chairil; Sukarno; Manikebu; Pram; Boemipoetra. Saya terfikir, apabila Goenawan sudah tiada, dan GM hanya tinggal GM, apakah suara yang kita akan dengar?
Saya tidak kenal Goenawan Mohamad dan rasanya saya tidak akan pernah dapat mengenalinya. Saya cuma pembaca kepada sebuah puisi indah berjudul Dingin Tak Tercatat dan penulisnya, setahu saya, adalah milik seorang lelaki bernama GM.
"Tuhan, kenapa kita bisa bahagia?"
Comments