Generasi Tanpa Nostalgia
Ingatan kita adalah potret yang kabur |
Generasi Tanpa Nostalgia: dari buku terbaru Zurinah Hassan |
Bila-bila masa sahaja ayah akan menjadi buta. Siapa sangka segumpal darah beku boleh merampas cahaya daripada mata? Kalau saya tidak sempat pulang, agaknya, apakah wajah terakhir saya ayah akan ingat? Ayah selalu kata dia tidak ingat wajah saya ketika saya masih seorang budak.Bukan dia sahaja. Saya pun tidak ingat wajahnya ketika usia itu. Aneh. Ingatan kita adalah potret yang kabur. Namun kita sentiasa hidup dan memandang dunia dari dalam potret ini. Bagi sesetengah orang, dan bagi sesetengah generasi, potret itu adalah hutan; lautan; sawah; sungai; gunung; dan taman bunga barangkali. Potret saya sentiasa sama: sebuah rumah dan sebuah apartmen. Sebuah pekan dan sebuah bandar. Sebuah gerai kopi dan sebuah restoran pizza Itali. Generasi saya mempunyai dua kaki yang terpisah. Generasi saya lahir dengan kaki kanan di bulan dan kemudian membesar dengan kaki kiri di matahari. Di antara dua kaki itu, mengalirlah arus deras, dengan "kuntum-kuntuman berdarah" dan "batu-batu luka" di dasarnya.
Latiff Mohidin terlalu serius (atau sentimental) nampaknya ketika dia mengarang puisi Sungai Mekong. Sungai tidak semestinya berkelakuan melodrama seolah-olah sedang berada dalam cerita tragedi Yunani. Di dasar sungai juga ada mesin basuh, basikal beroda empat, bungkusan kacang cap Pagoda, mainan plastik Tora, halaman komik Gila-Gila, halaman komik Kawan, halaman novel Profesor Robotik, gula-gula getah Wrigley, uniform pengakap, tali leher sekolah menengah, duit syiling satu ringgit, duit kertas dua ringgit, gam UHU, gam gajah, kotak biskut keju Ritz, dan kotak kaset lagu soundtrack daripada filem Reality Bites.
Sungai juga tahu untuk bergurau. Dan, kadang-kadang, mengambil mudah terhadap benda-benda yang terlalu serius dan sentimental di dunia ini.
Semasa umur saya empat tahun,berlaku kebakaran berhampiran rumah keluarga saya. Saya baru selesai mandi dan sudah bersiap hendak masuk tidur. Tetapi botol susu saya belum disediakan. Selalunya emak atau abang kedua saya akan buat. Waktu itu baru saya sedar yang tidak ada sesiapa di dalam rumah. Saya perlahan-lahan menuruni tangga, dengan separuh hati takut, dan separuh lagi ingin meraung menangis. Pintu hadapan terbuka. Kedengaran suara emak dan jiran-jiran sedang bercakap. Saya berdiri di muka pintu dan nampak kelibat hitam emak di bawah tiang listrik. Di belakangnya orang-orang sedang berlari menuju ke arah rumah Pak Cik Noor di hujung lorong. Entah bagaimana, saya pun turut ikut serta. Kebakaran berlaku di sawah di belakang rumah Pak Cik Noor. Ketika saya sampai di situ, saya masih ingat langit yang merah menyala, dan apabila saya datang dekat akan terhidu bau tanah kering yang terbakar. Ayah dan abang ketiga saya sedang sibuk menolong orang ramai membawa timba air. Kebakaran itu berlanjutan sampai ke tengah malam.
Apabila saya memberitahu peristiwa itu kepada abang kedua saya, dua puluh tahun kemudian, dia kata saya pandai-pandai mereka cerita. Katanya saya tidak mungkin melihat kebakaran di belakang rumah Pak Cik Noor. "Kita ada di KL masa itu dik," katanya, "mana sempat tengok orang padam api." "Tetapi adik nampak. Adik nampak pak dan Nan [abang ketiga] bawa air pergi ke tengah bendang Pak Noor," saya membantah. "Nan memanglah ada padamkan api. Dia cerita kepada kita selepas kita balik dari KL," kata abang saya. Memang susah sebenarnya untuk saya menerima penjelasan abang saya. Mana mungkin ingatan saya menipu. Peristiwa itu sangat jelas. Pejam mata sekarang pun saya masih boleh nampak langit merah menyala dan bau tanah kering yang terbakar. Tetapi ada kemungkinan juga saya mencuri detail kebakaran itu daripada cerita abang ketiga saya (walaupun saya tidak pernah mendengar), dan saya sangat teruja dan seronok sehingga saya menjadikan ia sebahagian daripada potret ingatan saya.
Hellen Keller pernah dituduh melakukan plagiat ketika umurnya dua belas tahun. Hellen lahir sebagai kanak-kanak buta dan pekak. Dia hanya mengenali bahasa selepas berkawan dengan Annie Sullivan ketika umur enam tahun. Sebaik sahaja dia tahu menggunakan Braille, Helen menjadi seorang penulis yang sangat prolifik. Antara cerita yang ditulisnya berjudul The Frost King. Dia tunjukkan kepada kawan-kawan dan akhirnya ia dicetak. Pada masa itu baru ada orang sedar cerita Hellen begitu mirip dengan cerita yang pernah ditulis oleh Margaret Canby berjudul The Frost Fairies. Disebabkan itu, Hellen dituduh sebagai pencuri. Dia sendiri menafikannya kerana dia tidak ada ingatan langsung membaca cerita Canby. Menurut Hellen, ketika dia belajar membaca, ada perkataan-perkataan yang diejakan oleh orang lain kepadanya. Lalu dia akan menerima sebuah cerita tanpa mengetahui dari mana ia datang. Ini berbeza kalau dia membaca menggunakan Braille di mana jarinya akan aktif bergerak dari halaman ke halaman.
Ingatan kita adalah potret yang mudah cair warna-warnanya apabila ia terdedah kepada dunia. Siapa yang boleh mengelak? Kita berjalan di atas dunia ini bagai orang buta yang bertongkatkan ingatan orang buta di depan dan di belakangnya.
Zurinah Hassan ada menceritakan tentang generasi yang penuh sentimental dan kenangan dalam puisinya berjudul Generasi Tanpa Nostalgia:
Pernah juga aku mendengar
mama dan ayah bercerita
tentang masa kecil mereka
tentang kampung nan jauh di mata
bersama nenek, atuk dan moyang
yang penyayang
mendodoikan mereka
dengan nazam dan buaian
kiranya masa kecil mereka
padang luas nostalgia
taman rimbun kenangan.
Generasi saya membesar jauh dari sebarang "taman rimbun kenangan." Kami bukan generasi yang baru hendak keluar dari hutan untuk melihat hutan itu dari seberang laut. Kami bukan si penderhaka Malin Kundang yang pulang membawa sesal dan malu di kubur datuk moyang. Kami adalah pendeta Oblomov: si pemalas yang mengatur kehidupan dari atas ranjang apartmen sambil membiarkan keranda bahasa dibakar oleh anarkis-anarkis jalanan.
Hutan telah lama meninggalkan kami. Siapa anda untuk menilai?
Kalau saya sempat pulang, saya ingin melihat mata ayah masih terbuka. Ayah selalu bercerita apabila kami berjaga di tengah malam. Dia selalu bernostalgia. Kalau matanya sudah terpejam, wajah terakhir saya akan menjadi nostalgia dalam ingatan ayah. Dan saya tidak mahu. Saya tidak mahu menjadi nostalgia kepada seorang ayah.
Comments