Menulis Buku Yang Tidak Wujud

Membakar buku di jalanan atau mencipta buku di kamar?

Selepas melalui forum Sastera Melawan Tirani semalam... apa boleh saya kata? Banyak. Di mana nak mula? Kebanyakan daripada pendapat saya dengar ternyata sungguh idealistik sampai terasa lantai saya dan Ridhwan Saidi sedang duduk akan runtuh pada bila-bila masa. Belum pernah saya hadir ke sebuah majlis kesusasteraan yang suasananya begitu panas dengan resah dan marah. Entah-entah kalau sastera itu boleh menjelma menjadi tubuh manusia, dan hadir di tengah forum, para penonton akan bingkas bangun dan menendang saya dan Ridhwan ke tepi, lalu mengheret orang tua sastera turun ke jalanan dan merejam tubuh lesunya secara beramai-ramai sebelum membiarkan ia tergantung terjuntai-juntai di tiang lampu berhadapan 7-Eleven. 

Orang-orang muda sekarang sangat marah dan bosan dengan kebebasan yang negara ini telah berikan kepada mereka. Mereka adalah manusia bosan yang pernah disebut oleh Blaise Pascal: "Kesengsaraan manusia berpunca daripada satu masalah, iaitu kesukaran untuk duduk tenang di dalam bilik."

Kebosanan hadir kerana pengulangan rutin dan tabiat. Kebosanan juga hadir kerana adanya kekosongan dalam hidup kita. Lalu kita memberontak. Ya, terserahlah kalau nak memberontak. Orang mana yang tidak akan memberontak apabila dia marah? Tetapi masalahnya apabila pemberontak itu tidak tahu bagaimana untuk menggunakan kemarahan tersebut. Ibarat budak yang baru diberikan senapang mainan: dia tidak tahu ke mana dia patut arahkan muncung laras dan tembak. Apakah solusi budak itu? Tembak secara rambang. Sesiapa yang kebetulan melintas di depannya, nasiblah. Kalau mangsa itu adalah orang tua sastera, maka terserahlah. Dia marah kan? Tembak saja. 

Ketika forum itu saya dengar rungutan yang orang muda sekarang tidak menemui buku mereka ingin baca. Buat penoton di forum itu, buku itu adalah buku yang keras kritikan sosialnya. Rungutan ini saya kira sangat aneh dan absurd kerana sastera Malaysia adalah kritikan sosial. Dari dulu sampai sekarang ia tidak pernah berhenti melakukan kritik sosial. Keris Mas... A. Samad Said.... Anwar Ridhwan.... S. M. Zakir... Faisal Tehrani.... Roslan Jomel. Dari satu nama ke satu nama; dari satu generasi ke satu generasi; dari satu aliran ke satu aliran; dari satu genre fiksyen ke satu genre fiksyen. Setiap satu daripada nama itu adalah penulis yang berbeza. Namun apakah yang mengikat mereka sebagai pengarang Malaysia? Kritikan sosial. Atau lebih spesifik: Sastera Untuk Masyarakat.

Sastera Untuk Sastera tidak pernah berakar dalam sastera negara kita kerana tradisi yang dimulakan oleh generasi Keris Mas sangat susah untuk diruntuhkan. Dalam kata lain, tradisi itu juga telah menjadi tirani dalam fikiran setiap pembaca dan penulis di negara ini. 

Cuba fikir betul-betul, bukankah sudah sangat klise untuk menjadi sasterawan di negara ini, anda mesti menulis tentang politik? Cuba bayangkan Anwar Ridhwan, dengan segala kepintarannya menyusun naratif dan kata-kata, memulakan karier dengan menulis sebuah novel keluarga. Cuba bayangkan Naratif Ogonshoto sebagai novel fantasi ala The Hunger Games dan bukan Naratif Ogonshoto seperti kita sedia maklum. Cuba bayangkan Anwar Ridhwan menulis tentang syiah atau seks. Cuba fikir betul-betul: adakah Anwar Ridhwan akan diangkat sebagai sasterawan apatah diraikan sebagai Sasterawan Negara?    

Tidak. Ada kemungkinan tinggi Anwar Ridhwan akan dipinggirkan ke tepi bersama penulis-penulis wanita di negara ini yang dikatakan tidak cukup serius dan bagus kerana tidak berani mengibarkan panji politik. 

Siapa yang tirani sekarang? Jawab. Bukankah anda yang merungut dan marah itu juga adalah tyrant dan tidak lebih daripada polis-polis gestapo pangkat korporal yang sedang menghalang perkembangan kesusasteraan di negara ini? 

Ketika forum tersebut masuk sesi soal-jawab, salah seorang penonton memberikan saranan agar pembaca yang tidak berpuas hati dengan buku-buku kontemporari supaya menulis sendiri buku mereka ingin baca. Katanya, jangan paksa penulis sudah sedia ada untuk menulis sesuatu yang tidak dekat dengan hidup mereka. Walaupun saya rasa adalah tidak adil untuk memaksa pembaca menulis sendiri buku kerana itu bukan tanggungjawab mereka; tetapi saya terfikir bahawa itu adalah sebenarnya punca seorang manusia itu memilih untuk menjadi pengarang. Bagi Mario Vargas Llosa, seseorang itu memilih untuk mengangkat pena kepengarangan kerana dia ingin memberontak dengan realiti. Buat apa dia mencipta sebuah dunia fiksyen kalau dia sudah berpuas hati dengan realiti? Ya, itu memang betul. Tetapi keresahan itu saya fikir lebih berkait  rapat dengan pembacaan. Seorang novelis mencipta sebuah buku kerana seumur hidupnya dia tidak dapat menemui buku yang dia ingin baca. Saya masih ingat ketika saya mula menulis lapan tahun lalu, saya ingin menulis buku seperti Albert Camus, Kafka, Dostoyevsky, dan Murakami. Tetapi akhirnya novel pertama saya hasilkan, ternyata, berada begitu jauh daripada bayang mereka. Saya tidak mungkin menulis seperti Murakami kerana ada banyak bahagian daripada imaginasi dan emosi Murakami yang sangat asing dengan siapa diri saya. Saya sedar sekarang yang saya lebih dekat penulisan Philip Roth, Auster, dan Aira. Itupun belum cukup. Masih ada ruang-ruang kosong tertinggal. Di ruang-ruang kosong itulah seorang novelis mencipta peribadi kepengarangannya. Dia mencipta untuk menghadirkan dirinya secara berterusan di dunia ini. 

Tidak semua orang dilahirkan untuk menjadi novelis seperti mana tidak semua orang dilahirkan untuk menjadi penyair. Dan tidak semua orang dilahirkan menjadi aktivis politik. Novelis dan penyair walaupun terjun bermain dalam kolam yang sama, tetapi cara seorang novelis menyusun fikiran dan ideanya adalah berbeza dengan kaedah kerja seorang penyair. Sudah tentu, kaedah kerja seorang aktivis adalah lebih jauh berbeza. Setiap seorang daripada kita adalah pengarang buku kepada kehidupannya dan kita akan melakukan apa saja untuk memastikan buku itu hadir ke tengah dunia dan dibaca oleh semua orang. 

Ada orang menulis buku dengan membakar buku di jalanan; dan ada orang menulis buku dengan mencipta buku di dalam kamar. Mana satu anda? Terserah.
 

Comments

Popular Posts