Menanti Novel Juan Villoro dan Patricio Pron


Patricio Pron
Juan Villoro

Saya dan Sufian Abas pernah berbual tentang fiksyen di Argentina dan Mexico. Setakat ini, saya kata kepadanya, pembacaan saya tentang novel di Mexico masih terbatas, dan puncanya ialah rasa kebimbangan untuk menemui tema yang sering saya bayangkan akan ada dalam sebuah novel tentang Mexico: dadah, rogol, pembunuhan, penculikan. Ternyata saya menemuinya dalam novel Juan Pablo Villalobos pada awal tahun ini, dan disebabkan itu, saya memilih untuk menghalakan kompas jauh daripada Mexico (hingga ke hujung tahun sekurang-kurangnya). Barangkali apabila trauma-Villalobos saya sudah sembuh, saya akan lebih bersedia untuk berdepan dengan karya Jorge Volpi, Eloy Urroz, dan Mario Bellatin. Tetapi yang saya paling ingin lihat diterjemahkan ke bahasa Inggeris (atau lebih baik: bahasa Melayu) ialah novel Juan Villoro berjudul El Testigo. BolaƱo pernah menyatakan yang novel Villoro (bersama karya Enrique Vila-Matas) "sedang membuka laluan untuk novel baru Sepanyol di abad ini." Setahu saya, setakat ini, El Testigo belum selesai diterjemahkan oleh Chris Andrews, tetapi ada kutipan daripada novel itu di sini bagi sesiapa yang ingin membacanya. Atau boleh juga membaca cerpen Villoro berjudul Holding Pattern.    

Patricio Pron ialah penulis generasi baru dari Argentina, dan salah satu novelnya baru saja diterbitkan oleh Faber & Faber berjudul My Father's Ghost is Climbing in the Rain (tajuk ini dikutip daripada baris akhir puisi Dylan Thomas berjudul I Fellowed Sleep). Sastera Argentina, pasca-Borges, mempunyai reputasi dalam melahirkan penulis-penulis yang kita boleh sebut sebagai formless dan tidak berakar pada mana-mana tempat. Tradisi penulisan mereka, saya sering bayangkan, mempunyai persamaan dengan sifat semula jadi makhluk Xenomorph, daripada filem Alien, yang akan memeluk muka mangsanya dan menjerut leher sebelum memutahkan benih ke dalam tubuh. Anak yang akan keluar nanti (serta membunuh tubuh ibunya) akan mempunyai cantuman identiti manusia dan Xenomorph. Persenyawaan sebegini ternyata kejam dan dingin. Tetapi bukankah tradisi penulisan yang ditinggalkan oleh Borges di Argentina sering mempunyai emosi yang dingin? Ia datang berbicara kepada kita seperti roh hantu ayah Hamlet. Novel-novel Argentina mungkin pada permukaan membicarakan isu politik di Argentina, tetapi semangat yang dibawa mempunyai nilai sentimental kepada tradisi Eropah. Kita boleh melihatnya, sebagai contoh, dalam novel Andres Neuman Traveler of the Century yang memberikan kepada kita sebuah pekan di Germany bernama Wandernburg (jalan-jalannya dikatakan sentiasa bergerak dan betukar tempat sehingga ia tidak boleh dikenal pasti di atas peta). Mengikut beberapa buah cerpen Patricio Pron yang saya telah baca (salah satunya ada di sini), dia juga mempunyai kecenderungan sama seperti Neuman. Adakah novelnya akan mengejutkan saya?       

  

Comments

Popular Posts