Paul Auster Berjalan Kaki


Berjalan kaki dan penulisan mempunyai hubungan yang misteri dan aneh. Ia adalah rahsia gelap kesusasteraan. Saya hanya menyedarinya (dan begitu terpersona) ketika novel kedua saya, D. U. B. L. I. N. mula ditulis. Teman utama saya ketika itu ialah Robert Walser dan Sergio Chejfec: dua orang penulis yang tidak boleh dipisahkan dengan aktiviti berjalan kaki sebagai meditasi kehidupan, lantas menjadikannya suatu kaedah penulisan. 

Berjalan kaki, saya fikir, begitu erat dengan penulisan kerana ia mementingkan proses semasa. Bagai mekanisme dalaman sebuah jam antik; berjalan membenarkan kita untuk melaluinya. Ia barangkali akan mengingatkan kita kepada novel James Joyce Ulysses dan mekanisme fikiran dua orang wataknya ketika mereka berjalan-jalan di kota Dublin dalam satu hari. Atau Clarissa Dalloway yang keluar berjalan-jalan di tengah London sementara menunggu parti di rumahnya bermula. Virginia Woolf sendiri ialah seorang pejalan kaki; dan bukankah dia telah memberikan kepada kita antara esei terbaik tentang pengalaman tersebut (Street Haunting)? Chairil Anwar ialah seorang pejalan kaki; malah Asrul Sani memberitahu kita yang Chairil itu gemar keluar berjalan di tengah malam bersamanya. Seorang lagi penulis saya perlu sebut ialah Paul Auster. Kita tahu, melalui wawancaranya, Auster melihat penulisan sebagai proses fizikal (macam orang yang ketagih main besi di gym barangkali). Dia tururt menceritakan ini, serta kaitannya dengan aktiviti berjalan, dalam bukunya berjudul Winter Journal:

"In order to do what you do, you need to walk. Walking is what brings the words to you, what allows you to hear the rhythm of the words as you write them in your head. One foot forward, and then the other foot forward, the double drumbeat of your heart. Two eyes, two ears, two arms, two legs, two feet. This, and then that. That, and then this. Writing begins in the body, it is the music of the body, and even if the words have meaning, can sometimes have meaning, the music of the words is where the meanings begin. You sit at your desk in order to write down the words, but in your head you are still walking, always walking, and what you hear is the rhythm of your heart, the beating of your heart."

Bagaimana sejarah berjalan kaki ini boleh datang kepada saya? Entah, saya masih bingung sampai sekarang. Ia datang begitu mengejut. Seolah ada orang asing telah menarik tangan saya, pada suatu petang, dan membawa saya berjalan bersamanya ke sebuah kota. Di manakah kota ini? Ternyata, saya masih mencari-cari. 
               

Comments

Popular Posts