Novel Adalah Ensiklopedia


Sufian Abas berbaik hati untuk pinjamkan kepada saya buku Roberto Bolaño berjudul Nazi Literature in the Americas. Saya jarang menemui Sufian, tetapi kalau kami berpeluang untuk duduk berbual, maka sastera menjadi menu utama: dia boleh berlari dan melompat daripada satu buku ke buku yang lain semudah seorang atlet gimnastik bertaraf Olimpik. Bagi seseorang yang hanya boleh berfikir melalui buku (dan bukan secara langsung dengan kehidupan) seperti saya, perbualan sebegini sangat menyenangkan, dan ternyata jarang berlaku. Kebelakangan ini saya turut terfikir (barangkali kerana terlalu banyak membaca bahan tentang penulis radikal bernama Lars Iyer) yang dorongan kuat saya kepada buku-buku penulis lain berpunca daripada suatu rasa melankolik terhadap memori. Bukan memori saya secara langsung. Tetapi memori mereka yang tertimbus dan dihilangkan. Memori yang tidak boleh dilihat dan diingati. Sebuah ensiklopedia saya percaya juga berfungsi sebagai kotak (atau keranda) simpanan memori: ia menghimpunkan sejarah dan pada masa sama ia menghapuskan sejarah. Novel Bolaño melakukan fungsi kedua itu. Dia bukan sekadar menghimpunkan profil penulis-penulis yang gila dan celaka, tetapi dia seolah-olah mengheret mereka keluar daripada lubang neraka. Cuba bayangkan kalau seorang penulis fascist seperti Carlos Ramírez Hoffman menjadi sasterawan negara di Malaysia, apakah akan terjadi? Tetapi mungkin itu yang kita perlukan sekarang: kita perlukan seorang pemusnah, berbanding seorang pelindung. Kita perlukan ensiklopedia yang masih belum ditemui dan masih belum dibaca.         

 

Comments

Popular Posts