Dari Buku Selamat Datang Ke Malaywood
Kumpulan cerpen kedua Roslan Jomel |
"Diambilnya buku nota dan beberapa helai kertas kosong. Ilham dan bayangan draf bagaikan menjelma di depan matanya. Otaknya kembali segar. Kulit mukanya bercahaya. Bulu romanya tegak berdiri. Dia menghidupkan komputer riba dan tanpa bertangguh memulakan intro cerita berdasarkan kisah-kisah yang dipaparkan di media. Dengan lancar dia menulis tanpa mengikut ajaran teori penulisan. Sebuah cerita penuh warna-warni kehidupan remaja dan dewasa sudah siap dikarang dalam masa sejam. Hampir seratus buah tajuk sudah dibentuk menjadi cerita fiksyen. Dia bakal menerbitkan sekurang-kurangnya sepuluh buah antologi cerita. Penerbit-penerbit memburunya dan menawarkan bayaran lumayan. Buku-bukunya segera dipamerkan di kedai-kedai buku tersohor. Buku-bukunya diulas panjang dalam akhbar dan majalah. Namanya dijadikan ikon baharu dunia penulisan. Dan dia membeli tiga buah banglo empat tingkat sekali gus dengan wang tunai. Dia berpuas hati kerana berjaya memberi variasi penceritaan tanpa perlu bimbingan ketinggian persoalan karya. Ia bukan urusannya. Dia tidak peduli karya pop atau karya serius. Persoalan sedemikian sudah basi. Dia mula mengemaskan tulisan dan menyunting kesalahan bahasa seperti yang dilakukan oleh editor berpengalaman. Begitulah dia berimaginasi sementara bakal karya-karyanya menemui pembaca."
(Fragmen cerpen berjudul Tidak Dibenarkan Menulis Cerita Buruk)
Saya gembira mendapat tahu baru-baru ini yang buku Roslan Jomel habis dijual, malah sekarang - akhirnya - mula menerima pujian (dan barangkali kritikan juga) daripada pembaca umum. Fiksyen ternyata masih hidup. Di Sepanyol baru-baru ini ada perbincangan panas di kalangan penulis tentang masa depan novel yang dikatakan sudah lesu dan sampai ke garisan penghujung. Salah. Dorongan manusia kepada misteri dan keindahan sebuah cerita tidak pernah surut. Teknologi digital dikatakan sebagai musuh utama yang bakal menamatkan riwayat novel. Tetapi saya percaya ia adalah di sebaliknya: semakin teknologi berusaha menjadikan manusia sebagai mesin, semakin penting peranan seni (atau sebuah cerita) untuk menyelamatkan jiwa manusia. Saya bukanlah anti-teknologi. Blog ini pun adalah suatu penggunaan teknologi sebagai medium penulisan. Tetapi kita tahu teknologi tidak boleh mengambil alih secara total peranan manusia. Sebuah cerita memerlukan imaginasi dan chaos. Ia sentiasa dicipta untuk dimusnahkan.
Comments