Keluarlah Dari Hutan, Tan Twan Eng


Tetapi bolehkah dia keluar? Tan Twan Eng memang menulis dalam bahasa Inggeris, tetapi novelnya berjudul The Garden of Evening Mists datang daripada tradisi novel yang sama dengan A. Samad Said, Othman Kelantan, dan Abdullah Hussain. (Sekali pandang, ia seolah-olah Tan Twan Eng terlalu muda untuk diletak bersebelahan dengan nama-nama generasi emas itu.) Kita tahu apa tradisi saya sedang maksudkan - tradisi novel Malaysia. Atau kita boleh saja jadikan ia lebih spesifik iaitu tradisi novel-sejarah-Malaysia-sebelum-kemerdekaan. Atau kenapa kita tidak panggil saja tradisi novel-novel Malaya atau Tanah Melayu? Ah, berlebihan pulak. Novelis Malaysia (yang menulis dalam bahasa Melayu dan bahasa Inggeris) ada semacam rasa sentimentaliti - ya, the good old days! - untuk sejarah di zaman ini seolah-olah bagi mereka untuk membaca novel adalah tidak ada beza dengan membaca buku teks sejarah di sekolah, atau untuk membaca buku teks sejarah adalah tidak beza dengan membaca sebuah novel, atau untuk membaca kedua-duanya adalah sama dengan membaca teks yang mengalami Borgesian effect sehingga sejarah dan fiksyen tidak boleh dibezakan lagi. Ah, sekali lagi berlebihan. The Garden of Evening Mists tidaklah pergi sejauh itu. 

Ia masih berada di dalam hutan.  Ia masih sekadar sebuah novel sejarah Malaysia. 

Tetapi berada di dalam hutan bukan masalah sebenar di sini. Dalam kata lain, meneruskan tradisi yang sudah sedia ada bukan suatu dosa buat seorang novelis. Lihat saja di Indonesia. Sebut novel Indonesia kita akan nampak kelibat Pramoedya Ananta Toer menghampiri meja kita. Tidak datang pulak bersamanya kelibat Putu Wijaya atau Ahmad Tohari kan? Kita membaca novel Ayu Utami Bilangan Fu, kita nampak Pram; kita membaca novel Oka Rusmini, kita nampak Pram; dan kita lebih nampak Pram dalam dunia Eka Kurniawan. Kegeniusan Pram ialah ia mampu menyusui bibir dan tekak anak-anak genius selepasnya. Di Malaysia, sebaliknya, kegeniusan Shahnon Ahmad menjadi gersang dengan terlalu awal sebelum ada anak-anak yang dapat disusui. Fiksyen Indonesia, saya kira, tidak ada masalah untuk terus kekal di hutan (walaupun ada yang memilih untuk keluar seperti Budi Darma dan Leila S. Chudori) kerana wilayah geografinya bukan lagi tertumpu pada Pulau Buru semata-mata, tapi telah mengembangkan kordinat ke negeri-negeri asing yang luar biasa dan imaginatif. Dan barangkali - susah nak hapuskan tradisi - lambat lagi sebelum mereka memilih untuk berhijrah dari tempat ini. 

Berbalik kepada Tan Twan Eng. Jadi, salahkah kalau dia boleh menulis novel mengikut tradisi yang sudah sedia ada? Sudah tentu tidak. Alice Munro dan William Trevor mungkin menulis seperti Chekhov, tetapi saya bersedia untuk ikut ke mana saja mereka bawa. Realisme memerlukan disiplin sangat ketat buat mana-mana penulis. Ia lebih susah daripada permainan avant-garde dan oulipo (meneroka wilayah baru lebih memerlukan kegilaan daripada disiplin). Cabarannya ialah mencipta realisme mengikut hukum realisme. Cabarannya ialah membuat penipuan dalam penipuan. Cabarannya ialah menyusun semula minda pembaca. Atau, dalam konteks novel The Garden of Evening Mists, ia adalah Seni Menyusun Batu.

Disiplin sebegini tidak ada masalah buat Tan Twan Eng. Dalam satu wawancara, dia menceritakan minatnya pada aikido ketika usia lewat remaja, dan bagaimana dia mempelajari seni mempertahankan diri ini selama hampir dua belas tahun. Malah, dia pernah mempunyai hasrat untuk pindah ke Jepun dan menjadi seorang pelajar aikido di sana. Budaya dan falsafah Jepun ternyata bukan saja mempengaruhi hidup penulis yang lahir dan membesar di Pulau Pinang ini, tetapi ia juga membentuk kaedah penulisan Tan sebagai novelis. Sangat konvensional dan sangat berdisiplin. Barangkali itu juga keterbatasan Tan apabila dia mencipta The Garden of Evening Mists, iaitu ia terlalu terkawal. Bertentangan dengan falsafah sebuah taman Jepun: ia tidak membebaskan kita, tetapi sebaliknya memerangkap kita dengan lebih dalam.

Kehidupan tidak tersusun seperti sebuah plot. Begitulah rungutan penulis moden terhadap novel realisme sosial di abad kesembilan belas (watak dan latar disusun dan diatur secara terperinci seolah membina rantai antara setiap bab). Namun plot sangat penting dalam novel Tan Twan Eng. Sekejap kita berjalan menyusuri ladang teh di Cameron Highlands, kemudian kita terjun berenang dalam laut di Pulau Pinang, dan belum sempat kita mengeringkan badan, pengarang telah mengheret kita sebuah pusat tahanan Jepun. Tidak ada satu babak yang terpisah atau menyimpang terus daripada plot utama Tan. Kalau tidak di ladang Majuba, ia akan berlaku di Yugiri, tempat Teoh Yun Ling menekuni ilmu membina taman daripada seorang lelaki Jepun bernama Aritomo (di permulaan novel ini, Tan telah memperkenalkan Aritomo pada baris pertama: "On a mountain above the clouds once lived a man who had been the gardener of the Emperor of Japan").

Kita menghirup dan menghela nafas Cameron Highlands melalui tubuh Yun Ling, dan sepanjang membaca novel ini, saya tertanya-tanya juga sama ada Yun Ling boleh hidup (sebagai watak dan barangkali juga sebagai manusia) kalau Tan memintalkan plot utamanya di tempat lain selain daripada Cameron Highlands: bolehkah dia bercerita kalau dia tidak pernah datang ke taman Aritomo di Yugiri? Suara Yun Ling digerakkan oleh memori (dan apabila dia dipaksa untuk mengenang masa lalu oleh Tan, ia menjadi sentimentaliti yang berlebihan). Malah setiap watak utama Tan datang ke Cameron Highlands untuk membangunkan, dan mungkin menyimpan, memori masa lalu. Cameron Highlands menjadi semacam taman keramat atau tanah suci yang terpisah daripada peperangan dan politik ketika era kebangkitan komunisme di Malaya. Sebagai novelis, Tan Twan Eng bukan saja menyusun wataknya mengikut kelas dan warna kulit (Yun Ling, perempuan Cina kelahiran Pulau Pinang yang belajar di England; Aritomo, lelaki Jepun yang membuat saya ingat akan orang-orang tua bijaksana dalam buku ajaran Zen; Magnus Pretorius, lelaki buangan dari Afrika dengan "eye-patch" gaya seorang lanun), tetapi dia turut berminat dengan emosi dalaman mereka. Dia bukan saja ingin melindungi mereka daripada kekejaman sejarah, tetapi dia turut ingin membuka hati mereka kepada jalan kebenaran. Dan bukankah hal sama kita boleh kata tentang hubungan Tan Twan Eng dengan pembacanya? Bukankah prinsip dan falsafah yang Yun Ling pelajari daripada Aritomo ketika membina taman adalah cara Tan Twan Eng ingin mengajar pembacanya untuk membaca novel ini?

Dalam satu babak, berlaku pertengkaran antara Yun Ling dengan seorang lelaki bernama Frederik mengenai fungsi sebuah taman sebagai objek seni. Di mata Frederik, taman rekaan Aritomo adalah palsu dan manipulatif:

'Gardens like his are designed to manipulate your emotions. I find that dishonest.'

'Is it?' I fired back. 'The same can be said of any work of art, any piece of literature or music.' I had worked extremely hard in the garden, and to hear someone denigrating it angered me. 'If you weren't so stupid you'd see that your emotions are not being manipulated - they're being awakened to something higher, something timeless. Every step you take inside Yugiri is meant to open your mind, to lead you to heart of a contemplative state.'

Yang ironi di sini (sesuai dengan hukum sebuah novel realisme sosial) ialah Yun Ling tidak tahu dan sedar dia sebenarnya telah dimanipulasi oleh Tan Twan Eng. Dia telah dimanipulasi untuk berfikir, bertindak, dan bercakap melalui jendela-jendela sebuah plot. Kita pertama kali menemui Yun Ling dalam novel ini di Cameron Highlands, setelah begitu lama meninggalkannya. Dia sudah tua dan baru saja bersara sebagai seorang hakim. Yun Ling juga sedang mengalami penyakit saraf otak dan dalam masa beberapa tahun, dia bakal hilang keupayaan untuk membaca dan menulis - dia akan hilang keupayaan untuk ingat. Kita tahu Tan Twan Eng memerlukan konflik mental ini untuk membenarkan Yun Ling merenung dan membuat imbas kembali (lantas muncul babak klise di mana seorang watak duduk memejamkan mata dan emosinya dilambung oleh ingatan masa lalu) supaya dia ada sebab untuk bercerita kepada kita. Memori adalah wilayah yang kabur dan bahaya untuk diterokai oleh seorang novelis kerana memori sentiasa wujud sebagai fiksyen. Bahasa (iaitu gaya bahasa yang unik dan kukuh) hadir bukan saja untuk menterjemahkan rasa memori menjadi susunan kata, tetapi lebih penting, ia perlu ada untuk menyakinkan kita supaya mempercayai memori tersebut. Di tangan novelis yang sentiasa berurusan dengan memori dalam karya mereka, seperti Proust dan Virginia Woolf, kita tahu memori bukan sejarah. Ia tidak boleh menjadi sejarah kerana memori bukan himpunan buku di atas rak: ia mesti ditarik turun untuk diselak dan dibaca dan ditafsir dan dituliskan semula sebagai sebuah cerita. Membaca Tan Twan Eng, kita sedar ada rasa memori yang tidak diterjemahkan secara total kepada kita. Jambatan yang Tan bina melalui bahasa dan naratifnya adalah terlalu rapuh: sebelum semua rasa memori itu sempat menyeberang ke dalam minda kita, ia telah runtuh dan musnah. Di beberapa tempat, Tan menyandar pada fakta sejarah bagi menyelamatkan naratifnya dan melindungi aliran deras memori Yun Ling. Dia menulis seperti seorang yang sedang mempertahankan rumah dan biliknya daripada limpahan banjir dengan menampal fakta demi fakta setiap kali ada kebocoran di dinding dan pintu:

The discovery of tin in the Kinta Valley in the eighteenth century had compelled the British to ship indentured coolies from southern China to work the mines, as the Malays preferred to remain in their kampongs and till their own fields. The Chinese immigrants came with the intention of returning to their homeland after making their fortune. Many had stayed on, however, preferring the stability of life in a British colony to the wars and upheavals in China. They established families and fortunes in Penang, Ipoh, and Kuala Lumpur, and opened the way for more of their countrymen from the southern ports of China. These immigrants soon became part of Malaya.

Bukankah kita sudah membaca perenggan seperti ini di tempat lain? Novel generasi ASAS 50? Buku teks sejarah? Artikel di akhbar? Atau mungkin tulisan seorang blogger di internet? Terasa aneh dan kaku untuk seorang perempuan tua yang bakal menghidap dementia memberikan komentar sebegini seolah-olah setiap sudut memorinya memerlukan penjelasan dan label sejarah.

Ketika saya menulis ulasan untuk The Garden of Evening Mists, saya sentiasa meningatkan diri yang sastera Malaysia telah melahirkan novelis baru seperti Saifullizan Tahir dan Ridhwan Saidi. Kedua-dua orangnya telah mengajar kita untuk membaca dan mendefinisikan semula apa yang kita faham sebagai novel Malaysia. Ia bukan lagi tentang konflik manusia desa dengan alam; ia bukan lagi tentang keluh-dan-kesah wanita-wanita suri rumah; ia bukan lagi tentang keagungan Malay power secara global; ia bukan lagi tentang menjadi defensif dan cuba mengubah cerita sejarah atas dasar mengukuhkan ego bangsa masing-masing. Novel Malaysia tidak boleh (dan tidak cukup kuat) untuk kekal di hutan seperti novel Indonesia. Ia mesti keluar dan menanggalkan jubah yang sedia ada dan mencari pentafsiran baru terhadap tubuhnya. Lalu di manakah harus kita  menempatkan novel Tan Twan Eng? Ada semacam rasa nostalgia apabila kita memegang novelnya. Ia seperti ingin membawa kita kembali kepada pengalaman indah ketika pertama kali membaca Ranjau Sepanjang Jalan dan Bumi Manusia. Ia membuat saya terfikir: Ah, akan ada lagikah orang menulis novel seperti ini? (Barangkali ya, kerana realisme tidak akan pergi ke mana-mana.) Ia muncul ibarat cahaya redup dari dalam sebuah pondok usang ketika kita sedang berjalan menghampiri jalan raya, lalu ia membuat kita menoleh belakang, dan termenung seketika, kerana kita mula meragui dan mengenang kembali kehidupan lama kita di dalam pondok itu.

Mungkin tidak ada apa-apa pun sebenarnya. Mungkin rasa nostalgia itu tidak lebih daripada permainan sentimental kepada memori tentang the good old days!


                                

      

Comments

Anonymous said…
Baru tersedar macam kritikan ini ditambah saban hari, terima kasih atas kritikan yang baik.

Popular Posts