Mencipta Teror Atau Mencipta Jenaka?

Witold Gombrowicz. Seniman badut yang berhijrah dari Poland ke Argentina.



Antara kata-kata seorang penulis yang saya sangat ingat ialah milik penulis Poland bernama Witold Gombrowicz: "I am humorist, clown, a tightrope walker, a provocateur, my work stand on their head to please, I am circus, lyricism, poetry, terror, struggle, fun and games - what more do you want?" Sungguh bermakna luahan ini buat saya. Malah ia sangat Gombrowicz. Novel terkenal Gormbrowicz Ferdydurke ialah antara sarkas (bukan semua novel adalah sarkas) paling gila dan seronok anda akan pernah jumpa dalam sastera. Dan raja badut sarkas itu ialah Gombrowicz sendiri. 

Saya kira dalam sastera sudah ada banyak pemberontak radikal dan pendekar anarkis yang melakukan provokasi di merata tempat bagai pengganas yang membawa bom bernyawa di dalam dadanya. Dia menunggu saja peluang untuk menekan butang letup sebaik saja ada sasaran atau individu atau kumpulan yang cuba mencabar prinsip dan keegoannya. Orang sebegini kadang-kadang bagus juga kerana dia bikin suasana jadi huru-hara dan menyeronokkan. Tetapi kalau tidak hati-hati, provokasi adalah memalukan dan pembaziran waktu. Ia sekadar membaja nafsu dan ego pengganas tersebut.

Antara pengganas dan badut, saya lebih suka berada di samping badut. Saya lebih suka mereka yang berjenaka untuk menjadi serius. Saya lebih suka mereka yang menghiburkan daripada mereka yang memusnahkan. Apakah seni tanpa adanya hiburan? Dunia ini ialah pentas komedi. Hanya seniman buta yang tidak tahu untuk ketawa.

Sama juga halnya dengan tradisi penulisan. Ia hadir hanya untuk diketawakan. Tidak ada tradisi yang kekal. Kerana sudah memang sifat manusia untuk  jemu dengan suatu jenaka: lama-kelamaan mereka akan mendambakan jenaka baharu dan segar daripada penghibur. Daripada pengarang. 

Kebetulan, ketika saya membaca baru-baru ini cerpen Zadie Smith berjudul Permission to Enter dalam majalah New Yorker, saya menemui kembali kata-kata Gombrowicz yang saya turunkan di atas. Ia mengingatkan yang saya sendiri pun pernah menjadi terlalu serius dalam tulisan saya. Malah membuat provokasi tak tentu arah. Kemudian timbul ingatan tentang sahabat penulis; mereka yang sentiasa serius dan garang ketika mengarang; mereka yang menikam rakan-rakan dari belakang apabila perlu; mereka yang mengejar nama dan anugerah; mereka yang bermain politik dalam sastera mengalahkan para politikus yang sentiasa mereka bantai dan cemuh; mereka yang menjadikan rumah persatuan sebagai sarang keganasan dan kilang bom dan parang; mereka yang mencipta teror dalam kesusasteraan. 

Kenapa pengganas-pengganas ini tidak ditangkap dan dihantarkan saja ke Guantanamo Bay? Mungkin sebab mereka adalah sahabat kita. Susah nak menegur sahabat apabila mereka salah.

Lebih senang berurusan dengan badut. Tetapi berapa ramaikah badut yang masih tinggal? Berapa ramaikah yang masih ingin mencipta jenaka? 
      

Comments

Popular Posts