Keraguan... Dalam... Keraguan

Dari kiri: Pengkritik filem terkenal filem Manny Farber bersama Heiner Muller dan Jean-Luc Godard


Saya memandang sekeliling dan saya melihat mereka dan saya mendengar dan saya memerhatikan kata-kata mereka bangkit dan berjalan dan berbicara dalam diam perihal keraguan terhadap anonim satu dan anonim dua dan anonim tiga walaupun anonim-anonim ini  ada di depan atau di belakang mereka dan kata-kata ini memilih kesepian dan kerahsian sebagai medan bicara dan medan keraguan seolah-olah dunia mereka dan dunia kita adalah lorong dan simpang yang gelap dan susuran labirin tanpa penghujung yang mereka perlu keluar atau sembunyi atau temui agar mereka tidak terus dibelenggu oleh keraguan dalam keraguan dan kerisauan dalam kerisauan dan kebimbangan dalam kebimbangan dan kekeliruan dalam kekeliruan kerana mereka perlu sentiasa pasti dan sentiasa selamat dan sentiasa bermatlamat dan sentiasa jelas dan sentiasa benar kerana mereka percaya dan yakin ini ialah tradisi kita dan ini ialah masa depan kita dan ini ialah masa depan sastera. Dan ini adalah kata-kata kita. Tetapai bersama-sama para anonim tanpa nama itu saya bertanya: Di manakah kata-kata anda dalam tradisi ini? Di manakah kata-kata anda di sebalik bayang dan jubah hipokrasi yang anda pamerkan di mata kami bagai pahlawan bangsa dan prajurit negara? Di manakah masa depan kami dalam masa depan anda? Di manakah kata-kata kami dalam kata-kata anda? Di manakah kami dan di manakah anda? 

Saya meragui dalam keraguan. Bagai anai-anai memamah kayu di bawah lantai sebuah mimbar tradisi. 

Tetapi saya bukan reptilia pemikiran di bawah tanah. Mahupun gajah putih Manny Farber di atas pentas. Dalam keraguan, saya memamah tubuh saya sendiri. Dalam keraguan, saya memamah segala kepastian dan segala kepercayaan. Dalam keraguan, saya memamah kata-kata mereka dan juga kata-kata saya tanpa mengharapkan kelahiran kata-kata yang lain. Dalam keraguan, saya memilih untuk tidak pulang.

Tetapi bolehkah kita pulang kepada rumah yang sudah hilang? Putu Wijaya ada menulis sebuah cerpen berjudul Pulang. Tokohnya ialah tokoh iseng dan tokoh yang dirasuk oleh keraguan dan kebimbangan dan ketakutan terhadap kewujudannya seperti yang sering kita temui dalam dunia Putu Wijaya. Cerpen ini bermula begini: 

"Sudah tengah malam ketika kuputuskan untuk pulang. Kembali saja ke rumah. Menghadapi segala yang dahsyat itu dengan kendor. Mungkin ini yang dinamakan orang menyerah, meskipun dengan kata-kata besar dapat dibela sebagai kebijaksanaan."

Tetapi ini bukan kupulangan yang mudah (kepulangan ternyata tidak pernah mudah). Kerana dia sudah pernah lari sebelum ini:

"Aku telah sempat bertahan. Menganggap diriku cukup besar untuk menolak segala yang tidak kusukai. Lari dari rumah dengan harapan bisa menghajar mereka yang selama ini tidak menghormatiku lagi. Agar mereka belajar dari pengalaman sedikit bahwa mereka telah melupakan seekor gajah yang sudah berbaring bertahun-tahun di depan hidung mereka. Tetapi kemudian aku segera mengerti segalanya sia-sia."

Mengapa menjadi gajah yang terbaring? saya fikir. Dan mengapa mesti berbaring selama bertahun-tahun di depan hidung mereka? Barangkali ini ialah gajah yang Manny Farber maksudkan apabila dia mengkritik filem Orson Welles. Dan sastera pun ada banyak gajah dan dewa keramat. Mereka belum rebah dan terbaring mahupun jatuh daripada pentas. Mana tidaknya: setiap kali gajah-gajah dan dewa-dewa ini hendak ditumbangkan, akan ada tangan-tangan hitam yang menghalang kejatuhan mereka. 

Barangkali lebih baik menjadi anonim di bawah tanah. Namun betulkah dunia di bawah sana jauh lebih baik daripada dunia di atas? Apa boleh buat: saya meragui kedua-duanya dan saya meragui mereka yang pasti dan mereka yang tidak pasti dan saya meragui kata-kata yang ditulis dan kata-kata yang tidak ditulis dan keraguan saya adalah jalan pulang dan jalan keluar buat saya daripada tradisi mereka dan keraguan saya adalah keraguan terhadap keraguan mereka yang masih meragui akan kepupusan sebuah tradisi dan kematian seekor gajah yang terus-menerus meragui akan kewujudan dan warna tubuhnya sendiri.



Comments

Anonymous said…
penulisan berdasarkan penggunaan akal dan hati yg bagus, tapi masih berputar dlm dimensi
illusi, semoga cahaya abadi mengenai tepat ke-hati), agar terbuka segala hijab ilmu).

Popular Posts