Oulipo & Mainan Oulipo


Kita sudah jarang dengar tentang Oulipo. Menyebut Oulipo sekarang ialah seperti menyebut tentang mainan kegemaran masa kecil yang telah tersimpan di dalam almari buruk bersama barang-barang terpakai yang lain; ia tidak lagi diperlukan kerana kita, kononnya, sudah dewasa; ia tidak lagi penting kerana eksperimen penulisan sudah tidak lagi penting; ia sudah berhabuk, dan entah-entah sudah dimakan anai-anai, kerana kata-kata tidak lagi dibenarkan bermain dengan pembaca. Bak kata seorang penganut aliran Oulipo tentang pembaca yang menanti untuk tiba ke dalam sastera:

"Potential literature would be that which awaits a reader, which yearns for him, which needs him in order to fully realize itself. Here, we are suddenly plunged into a somber perplexity, for everything that has any claim to be literature presents itself much in this way... Nothing prevents us then from deciding that there will be potential literature if one disposes of both a resistant work and an explorer."

Patutkah mainan ini dikeluarkan semula? Bukan patut: ia memang sudah keluar pun. Georges Perec masih dibaca. Apartmen Georges Perec kini terbuka kepada kita pintu dan tingkapnya ibarat pintu dan tingkap dalam kotak lukisan Joseph Cornell: kita masuk ke dalam sebuah rumah, kita buka pintu ke sebuah bilik, kita keluar ke pintu yang lain, kita masuk ke sebuah apartmen yang lain, dan di rumah yang lain dan di bilik yang lain, kita menemui sebuah apartmen lagi - sesuai dengan falsafah Oulipo: Perec membebaskan kebebasan dengan mengurungkan kita dalam kebebasan. 

Kalau Perec ialah ibarat mainan Lego yang kita tarik keluar daripada almari untuk susun sebuah istana purba atau kapal angkasa Darth Vader atau kapal lanun Jack Sparrow, maka Italo Calvino ialah daun terup atau kotak sihir atau bola kaca atau pelita magis yang kita suluhkan ke dinding untuk membuka pintu ajaib ke alam  imaginasi. Ada yang sudah pergi ke seberang pintu itu: Salman Rushdie. Kadang-kadang kita dapat mengejarnya; kadang-kadang kita tidak tahu ke mana Rushdie hilang. Sementara menuggu Rushdie kita terpaksa menemani Jeanette Winterson yang masih sedang memahami rahsia atau struktur mekanikal alat penceritaan Calvino. 

Oulipo secara jelas bersifat anti-kanon: malah kita boleh kata ia menentang kegeniusan individu. Tetapi pada masa sama ia mengakui kegeniusan Rabelais dan Sterne. Seni mesti sentiasa dilakukan secara sedar buat mereka; ia mesti sentiasa mempunyai inspirasi, atau mencari inspirasi, berbanding menunggu untuk menerima inspirasi. Seperti Emily Dickinson pernah kata (bukan seorang Oulipo): "Consciousness is the only home of which we know." Dickinson membuka sendiri kotak inspirasinya dari dalam. Mungkin di situ, seperti para pejuang Oulipo ini inginkan, ada formula matematik dan teori linguistik. Tetapi mungkin di situ ada juga kata-kata, atau metafora, atau mainan robot berkaki dua yang hanya bergerak apabila ada sentuhan emosi dan imaginasi yang menghidupkannya. Mungkin di situ ada juga inspirasi.

Dan di situ mungkin juga ada permainan. Tetapi sebelum bermain kita mesti terlebih dahulu mencarinya.    

Comments

Popular Posts