Sandokan & Geografi Pengembaraan



Keseronokan menjadi lanun


Geografi kesusasteraan bermula dari dalam imaginasi seorang pengarang. Ia dicatat; ia ditulis; ia dilakarkan; ia dipetakan berdasarkan pengalaman peribadinya, dan dari situ, ia berkembang dan mengembara ke mana saja ia ingin dibawa: seperti Emilio Sagilari telah membawa kita ke dalam pengembaraan Harimau Malaysia bernama Sandokan.

Kalau Sagilari ialah seorang pengarah filem, maka dia sudah tentu dapat menghasilkan filem pengembaraan lanun yang sangat berjaya, kerana plot novel ini disusun seolah-olah di setiap halaman dan bab itu ia ingin memberikan kepada kita kesan sinematik yang mengujakan. Ia bermula di atas kapal Inggeris bernama Young India yang sedang menuju ke Sarawak; tetapi kapal itu telah terkandas di perairan pulau Mompracem: sarang lanun terkenal di Borneo bernama Sandokan. Salah seorang penumpang kapal itu ialah lelaki India berketurunan bangsawan bernama Kammamuri yang telah datang ke Sarawak untuk menyelamatkan tuannya, Tremal-Naik: pemburu harimau termasyur dari Sundarban. Babak Young India itu terkandas memang penuh dengan suspen dan aksi; ibarat pembukaan sebuah filem yang ingin mengumpan penonton ke dalam dunia pengembaraan tersebut. Cuba lihat contoh ini: “Laut bergelombang, seakan-akan tidak mahu kalah. Ombak besar seperti gunung, memercikkan warna keemasan tatkala ia menjulang ke langit. Angin  turut menderum dan menebarkan awan hujan panas di langit.” Begitu mengasyikkan!

Sesuai sebagai sebuah novel pengembaraan, novel ini bergerak pantas antara setiap bab. Selepas menjadi tawanan Sandokan di pulau Mompracem, Kammamuri diangkat sebagai salah seorang lanun mereka, dan dengan bantuan Sandokan bersama sahabat setianya berbangsa Portugis, iaitu lelaki tampan dan bertopi mengkuang bernama Yenez, mereka menuju ke Sarawak untuk menyelamatkan Tremal-Naik daripada tahanan Raja Brooke. Buat pembaca Malaysia, sudut pandang Sagilari sebagai novelis barangkali akan dikutuk kerana ia seakan-akan memberikan gambaran stereotaip terhadap imej bangsa Timur; terutama sekali imej bangsa Melayu dan Dayak di Sarawak. Lebih daripada itu, kalau kita teliti betul-betul perjalanan novel ini, Sandokan bukanlah seorang hero dalam erti kata sebenar, kerana dia seakan-akan lebih mengutamakan keganasan, pembunuhan, dan semangat kepahlawanan, berbanding penyelesaian keamanan dan rasionalistik. Tetapi apa boleh buat: barangkali itu cara seorang lanun berfikir. Tetapi betulkah Sandokan seorang kepala lanun yang berfikir? Kerana dalam banyak situasi, kita melihat Yenez – seorang lelaki berbangsa Eropah – sebagai penasihat yang lebih waras dan rasional berbanding Sandokan. Apapun, ini semua bergantung kepada tujuan utama kita datang membaca buku pengembaraan sebegini. Kalau kita datang ke dalamnya dengan membawa tukul pascakolonial, saya yakin, imaginasi Emilio Sagilari akan runtuh begitu saja dalam fikiran anda.

Di benua Amerika Latin, buku Sandokan Lanun Malaysia mempunyai ramai peminat di kalangan penulis gergasi mereka yang membesar dengan siri pengembaraan Sandokan. Antaranya ialah Gabriel Garcia Marquez, Carlos Fuentes, Julio Cortazar, Cesar Aira, dan Borges. Dan di sini kita perlu ingat kembali kepada pesanan Borges dalam prakatanya kepada buku pengembaraan Bioy Caseras The Invention of Morel: “sebuah cerita pengembaraan hadir bukan untuk mengungkapkan realiti, kerana ia bertepatan dengan sifatnya yang polos dan ia mempunyai sebabnya tersendiri. Dalam kata lain, sebuah cerita pengembaraan mesti mempunyai plot yang rumit sekiranya ia ingin berdiri sama tinggi dengan cerita pengembaraan agung seperti The Golden Ass, The Seven Voyages of Sinbad, dan Don Quixote.” Buku Emilio Sagilari termasuk dalam kategori ini, walaupun plotnya tidak sempurna seperti karya-karya agung yang telah disebutkan.

Sumbangan fiksyen ialah untuk melakarkan semula peta imaginasi kita. Dan mungkin ia akan buka kita ke wilayah yang kita rasa asing atau barangkali tercabar ego dan prinsip kehidupan kita; tetapi yang lebih penting ialah pembagunan emosi yang ia tawarkan. Saya tidak mengharapkan sebuah gagasan pemikiran yang besar atau naratif sejarah yang tepat daripada Sandokan. Saya hanya inginkan sebuah cerita; sebuah pengembaraan hebat; dan sebuah dunia yang imaginasi saya boleh berlari, berlawan, bercinta, dan berteriak dengan bebas. Dan mengingatkan saya bahawa kita semua asalnya adalah budak yang ingin menjadi lanun, sebelum kita membesar dan mati sebagai manusia. 


Comments

Popular Posts