Umberto Eco, Taste, dan Permainan Sastera

Umberto Eco Pictures, Images and Photos

Umberto Eco, Harold Bloom, James Wood, Borges, Virginia Woolf, Joyce Carol Oates, William Hazlitt ialah antara pengkritik terbaik dalam dunia sastera. Saya mencemburui kesungguhan mereka dan ketelitian mereka dalam membaca dan menilai sebuah karya sastera. Lebih dari itu, saya sangat mencemburui zaman kanak-kanak mereka. Eco masa umur belasan tahun sudah membaca Dante dan Balzac. Harold Bloom, juga ketika belasan tahun, telah menjiwai secara mendalam puisi-puisi Blake, Wallace Stevens, dan Hart Crane. Joyce Carol Oates mendapat buku Alice in Wonderland sebagai hadiah hari lahir. A. Samad Said pernah menceritakan pada saya yang dia telah membaca Montaigne di bangku sekolah menengah! Borges membesar terlebih dahulu dengan bahan bacaan berbahasa Inggeris sebelum menemui bahasa Sepanyol. Boleh dikatakan hampir semua penulis membesar melalui buku-buku sastera. Saya walaupun memang dari kecil membaca buku, tetapi tidaklah sampai bertemu dengan Balzac, Blake, Stevens, apatah lagi Shakespeare. Kehadiran saya ke dalam sastera saya anggap sebagai kebetulan dan lewat. Mungkin sebab itu ada semacam paranoia dalam diri saya apabila satu hari saya tidak menghabiskan satu karya sastera dengan lengkap. Tidak kisahlah sama ada ia puisi atau cerpen atau novel atau esei kritikan sekalipun. Asalkan saya boleh membacanya dengan lengkap dan teliti. Ada satu rasa takut yang saya tidak akan sempat untuk membaca semua karya sastera sebelum tiba-tiba pada suatu hari saya tersempak dengan seorang penulis yang akan menanyakan saya tentang karya itu atau ini. Saya takut saya akan terdiam. Dan saya takut saya akan memberikan penjelasan yang terlalu mudah. Dalam kata lain penjelasan yang tidak ada taste.

Sebut tentang taste ini saya selalu teringat tentang sikap beberapa rakan penulis yang saya pernah berbual dan perhatikan. Perkataan taste ini selalunya membangkitkan suatu emosi negatif dalam diri mereka. Seolah-olah adalah dosa besar untuk seorang penulis atau kritikus itu mempunyai taste. Kalau ada taste itu kononnya terlalu elitas dan snobbish dan tidak demokratik. Ia tidak bersifat mesra masyarakat. Dalam hal ini nampaknya, buat mereka, masyarakat ada penilaian yang lebih bagus tentang kualiti seni sebuah karya sastera. Baiklah kalau itu yang mereka percaya. Shakespeare pun seorang penulis bestseller semasa zamannya walaupun mereka yang menonton teaternya tidak nampak pun teks-teks tersirat yang dia gunakan. Charles Dickens itu bestseller. Jane Austen itu bestseller. Dante itu bestseller. Ada satu cerita menarik tentang Dante yang mengatakan dia pernah memarahi seorang tukang besi kerana menyanyikan puisinya dengan sumbang. James Joyce pernah ditahan di tengah jalan oleh seorang pembaca yang ingin mengucup tangan penulis yang telah melahirkan karya agung Ulysses. Joyce membalas dengan beberapa kalimat dari King Lear. Kalau Charles Dickens itu berada di zaman sekarang, popularitinya itu boleh dibandingkan dengan Stephen King yang khabarnya pernah merendamkan tangannya dalam bakul ais kerana terlalu kebas setelah menurunkan terlalu banyak tandatangan ke dalam buku peminat-peminatnya. Lebih kurang begitulah kuasa pembaca atau masyarakat. Menjadikan penulis glamor.

Umberto Eco dalam bukunya On Literature menceritakan tentang istilah Model Reader. Bagi Eco pembaca sastera ada dua jenis: pertama pembaca yang membaca untuk mendapatkan naratif sebuah teks, dan kedua ialah pembaca yang ingin mengetahui bagaimana naratif itu dihasilkan. Pembaca kedua ini yang disebutnya sebagai Model Reader. Contohnya, seorang pembaca itu boleh membaca Ulysses untuk mengetahui naratifnya (walaupun naratifnya sangat nipis); tetapi adalah mustahil untuk novel itu digarap sepenuhnya sekiranya pembaca itu tidak bersedia untuk menjadi pembaca model seperti yang Joyce inginkan. Perlu ingat juga yang pembaca model yang seorang penulis itu inginkan selalunya berlaku secara tidak sedar. Ya, Joyce memang tulis novelnya untuk seorang pembaca, tetapi bukan dia yang mencipta pembaca itu. Tugas dia sebagai seorang penulis hanyalah menyediakan peraturan permainan. Sama ada seorang pembaca itu ingin bermain atau tidak itu terserahlah. Kita boleh bayangkan pembaca pertama yang dimaksudkan oleh Eco sebagai penonton permainan bola sepak di sebuah stadium. Mereka memerhatikan sahaja dari jauh permainan yang sedang berlaku tanpa mengetahui taktik-taktik yang digunakan oleh seorang pengurus pasukan bagi memastikan kemenangan pasukannya. Pembaca model pulak ialah seseorang yang bukan sahaja memerhati permainan itu sebagai penonton, tetapi turut memahami permainan itu sendiri. Dan dalam konteks sastera, untuk kita memahami bagaimana sebuah permainan naratif itu diciptakan, kita mestilah memahami bahasa. Di sini akan muncul apa yang saya telah sebutkan iaitu taste. Ia adalah standard yang muncul apabila seorang pembaca itu telah sampai ke satu tahap dalam pembacaannya di mana dia akan dapat menemui pola bahasa yang menjadi semacam titik-titik hitam yang menghubungkan satu karya sastera ke karya sastera yang lain; yang menghubungkan seorang penulis ke penulis yang lain; yang menghubungkan seorang manusia dengan manusia yang lain.

Pengkritik seperti Eco, Bloom, dan Woolf bagi saya ialah pengkritik sastera yang sejati. Mereka membawa kita masuk ke dalam sastera. Eco melakukannya melalui retorik akademik dan teori linguistik. Kita mendapat ilmu sastera dengan Eco. Namun, dan inilah kelemahannya, dia tidak pulak mencipta kita semula sebagai seorang pembaca. Untuk seorang penulis itu mencipta kita dia mestilah terlebih dahulu membunuh kita atau sekurang-kurangnya melukakan emosi kita. Dan untuk melakukan ini dia memerlukan kekuatan bahasa. Virginia Woolf, Oscar Wilde, William Hazlitt, Emerson, dan Jeanette Winterson ada kekuatan ini. Samuel Johnson, yang diangkat ke langit oleh Harold Bloom, tidak ada. Sama juga dengan Eco. Saya membaca Eco, kerana seperti James Wood dan Nabokov, dia mengetahui rahsia permainan sastera. Saya membacanya untuk belajar bermain. Tentang falsafah permainan itu sendiri, saya perlu mencari pengkritik yang lain.

Comments

Marlene said…
This comment has been removed by the author.
Shaira Amira said…
sudah baca story of the eye?
Marlene said…
This comment has been removed by the author.
Wan Nor Azriq said…
Ya,sudah.Antara buku yang masih tengah pertimbangkan untuk buat review atau tidak.

Popular Posts