Anachronism dan Pembinaan Seniman Sejati
"Menard has (perhaps unwittingly) enriched the slow and rudimentary art of reading by means of a new technique - the technique of delibarate anachronism and fallacious attribution. The technique, requiring infinite patience and concentration, encourages us to read the Odyssey as though it came after the Aeneid, to read Mme Henri Bachelier's Le jardin du Centaure as though it were written by Mme Henri Bachelier. This technique fills the calmest books with adventure. Attributing the Imatatio Christi to Louis Ferdinand Celine or James Joyce - is that not sufficient renovation of those faint spiritual admonitions?"
(Dipetik dari cerita Pierre Menard, Author of the Quixote)
Charlotte Bronte terkenal sebagai novelis yang menulis Jane Eyre dan juga kakak kepada Emily Bronte; namun tak ramai yang mengenalinya melalui sebuah cerita pendek berjudul Napoleon and the Spectre. Cerita ini bermula di kamar rehat Napoleon yang tidak dapat tidur kerana diganggu oleh hantu yang, sehingga akhir cerita, tidak didedahkan identiti sebenarnya. Dia dibawa ke sebuah rumah agam berhampiran Sungai Seine dan di dalamnya menemui sebuah festival kematian. Dia kemudian tersedar dan mendapati dirinya berada kembali di istana di samping permaisurinya dan juga para tetamu jemputan. Permainan naratif waktu dan juga kebenaran fiksyen cerita ini sangat memikat kerana di hujung pembacaan, kebenaran fakta - iaitu sama ada Napoleon memang betul dirasuk oleh hantu - sudah menjadi tidak penting sama sekali. Sama juga apabila kita masuk ke dalam dunia Illiad dan Odyssey. Atau dunia Hamlet, Macbeth, dan Othello. Atau dalam dunia J. M. Coetzee. Atau dalam dunia Kafka yang membina semula Tembok Besar China dan menyamakannya dengan projek pembinaan Menara Babel. Atau dalam 1515. Atau dalam puisi-puisi Quixote Goenawan Mohamad yang ditulis dengan indah dan merupakan antara puisi prosa terbaik di rantau ini, walaupun visi intelektualnya itu sering meragukan saya. Atau dalam pengembaraan kosmologi Olaf Stapeldon. Atau dalam pertemuan bersejarah - kalau ia memang peristiwa sejarah - antara Marco Polo dan Kubla Khan dalam novel Italo Calvino Invisble Cities.
Seorang penulis ialah pencipta mitos. Dan setiap penulis mencipta sejarahnya sendiri.
Kadang-kadang seorang penulis itu tidak kembali kepada sejarah untuk mencipta sejarah baru. Kadang-kadang seorang penulis itu hanya berdiri di depan cermin dan membina sebuah naratif dari dunia di balik cermin itu. Faulkner membina Yoknapatawpha. Marquez membina Macondo. Eka Kurniawan membina Macondo baru yang dihuni oleh pelacur-pelacur Indonesia. Shahnon Ahmad membina Banggul Derdap. Balzac membina Paris seperti Tolstoy membina Moscow dan Dostoyevsky membina Saint Petersburg. Lebih menakutkan, dan pada sama sangat menggodakan, ialah bandar macbre dan Gothic Arkham ciptaan H. P. Lovecraft. Edgar Allan Poe ada menulis sebuah cerita berjudul The Man of the Crowd di mana penceritanya mengejar seorang lelaki mengelilingi bandar London tanpa kesudahan. Labirin kota yang lebih kompleks kemudian kita temui dalam novel Jose Saramago berjudul The Year of the Death of Ricardo Reis. Untuk membaca novel ini seorang itu perlu terlebih dahulu mengenali Fernando Pessoa, penyair Portugal yang telah mencipta watak Ricardo Reis, yang kemudian digunakan oleh Saramago dalam novelnya. Permainan anachronism Saramago ini, seperti yang dilakukan oleh Pierre Menard, membuat kita rasa seolah-olah sedang berjalan-jalan dalam sebuah cermin dengan sepanjang masa menyedari ada dunia lain - yang mungkin benar atau ilusi - di balik cermin itu.
Anachronism ialah obsesi dan paranoia manusia moden dengan permainan waktu. Ia bukan lagi satu bentuk penyakit jiwa, tetapi sudah menjadi satu paradigma budaya.
Baru-baru ini Amir Muhammad menerbitkan tiga novel Fixi dan salah satunya berjudul Cekik karya Ridhwan Saidi. Nampaknya, Haruki Murakami betul-betul sudah berlabuh dalam imaginasi para penulis kita. Di halaman pertama novel ini sudah boleh nampak dari mana datangnya inspirasi Ridhwan Saidi. Rahimidin Zahari di blognya pulak menyatakan yang seorang seniman sejati itu mesti menerbitkan karya secara indie. Contoh penulis yang dimaksudkannya ialah Latiff Mohidin dan S. M. Zakir. Barangkali Cesar Aira akan terbatuk-batuk di meja tulisnya dan Roberto Bolano akan tersenyum di dalam kuburnya. Sebut tentang Bolano, saya teringat buku kumpulan cerpennya berjudul Last Evenings on Earth yang hampir semuanya diceritakan oleh seorang narator bernama B (atau Bolano sendiri). "Jangan menulis tentang penulis," begitulah nasihat John Updike walaupun dia sentiasa ada dalam semua karyanya. Nasihat Updike tidak ada guna sama sekali buat Bolano. Semua cerpen dan novelnya ialah tentang hubungan seorang penulis dengan penulis yang lain. Arturo Bolano, alter ego ciptaan Roberto Bolano, merupakan jelmaan semula Pierre Mernard yang kita boleh anggap sebagai alter ego Borges. Menulis semula teks sastera, secara anachronism, melalui lapisan-lapisan realiti yang sentiasa berpatah kembali ke titik asal, ialah tenaga kegeniusan Borges. Dalam kata lain, dia mencipta sebuah mitos.
Semasa hidupnya saya rasa Arthur Conan Doyle itu sedar yang dia sedang mencipta sebuah mitos melalui watak Sherlock Holmes sehingga, apabila Holmes telah dimatikan, dia terpaksa menghidupkannya semula bagi menenangkan kesedihan para peminatnya. Jumlah cerita Sherlock Holmes itu sendiri sangatlah sedikit sebenarnya. Sama juga jumlah cerita yang dihasilkan oleh Borges. Namun, Borges sudah tentu tidak berniat untuk mencipta sebuah mitos apatah lagi menjadi seniman sejati seperti yang dikatakan oleh Rahimidin. Obsesi seorang penulis hanyalah meneruskan tradisi dan, kalau dia bertuah, mencipta sebuah tradisi yang baru. Dan seperti kata William Hazlitt, tidak ada seniman yang menyedari dia sedang mencipta sebuah karya seni.
Comments