Jamaica Kincaid

Buku di sebelah ini diterbitkan dengan tujuan untuk menjadi teman pembaca ketika berada di dalam pengangkutan awam dan ruang menunggu (barangkali sebuah hospital atau klinik atau mana-mana tempat yang ada ruang menunggu). Kalau kita ukur dari segi tempoh pembacaan, memang tidak selari cerita yang dibekalkan dengan tempat yang kita patut membacanya. Contoh, editor telah meletakkan beberapa cerpen 'panjang' bagi bahagian Kapal Terbang. Rasanya dalam satu perjalanan kapal terbang seseorang itu bukan sahaja boleh habiskan semua cerpen di bahagian ini malah mungkin satu buku. Jadi, saya fikir editor buku ini telah menyusun cerpen dan puisi dalam buku ini bukan atas dasar untuk mengikut 'waktu semasa' tetapi lebih untuk mengikut 'waktu imaginasi pembaca.' Setiap pembaca ada ruang imaginasi yang berbeza. Bagi penulis, ruang ini pasti lebih besar dan boleh menampung pelbagai input pembacaan dalam satu masa. Namun, pembaca biasa barangkali mempunyai ruang imaginasi yang lebih kecil berbanding penulis dan disebabkan itu tempoh pembacaan mereka hanya singkat. Satu persamaan yang jelas antara penulis dan pembaca biasa ialah keinginan untuk lari sebentar dari "realiti sebenar" seperti yang disebut oleh editor buku ini. Saya lebih suka melihat pembacaan sebagai proses mencari berbanding lari kerana pembacaan ialah suatu proses yang aktif dan kita membaca kerana kita mencari sesuatu yang kita tidak dapat cari dalam kehidupan sebenar. Bagi saya, buku ini mempunyai koleksi cerpen dan puisi yang mampu merangsang minat pembaca (dan penulis) untuk mencari diri mereka dan mungkin makna kehidupan sebenar.

Antara penulis yang dipilih karya mereka untuk koleksi buku ini ialah Alice Munro, Joyce Carol Oates, V. S Naipul, Raymond Carver, Yiyun Li, T. C Boyle, Philip Larkin, dan Jamaica Kincaid.

Saya memilih nama Jamaica Kincaid sebagai tajuk kerana dia adalah tujuan sebenar saya membeli buku di atas dan juga tujuan saya menulis entri ini. Cerpennya berjudul What I Have Been Doing Lately ialah antara cerpen terbaik yang saya telah baca pada tahun ini. Sentuhan pena Kincaid mengalir dengan tenang di hujung bibir imaginasi kita sehingga kita berasa seperti sedang melukis kembali imaginasinya dalam diri kita. Berbanding kebanyakkan cerpenis, bahasa Kincaid mempunyai rentak dan rima yang indah seolah-olah kita membaca sebuah puisi. Sebelum Kincaid, hanya Virginia Woolf penulis wanita yang saya lihat mempunyai tenaga kepenyairan apabila menulis sebuah karya fiksyen. Seperti cerpen Virginia Woolf berjudul Kew Garden, cerpen Kincaid tidak mempunyai plot dan bergantung sepenuhnya pada imejan yang indah dan gaya bahasa yang memukau:

"I set out on a path that stretched out straight ahead of me. I passed a house and a dog was sitting on the verandah but looked the other way when it saw me coming. I passed a goat eating green grass in a pasture but the goat looked away when it saw me coming. I walked and I walked but I couldn't tell if I walked a long time because my feet didn't feel as if they would drop off. I turned around to look behind me to see what I had left behind but nothing was familiar. Instead of the straight path, I saw hills. I looked up and the sky was without clouds and seemed near as if it were the ceiling in my house and if I stood on a chair I could touch it with the tips of my fingers."

Comments

Popular Posts