Pengalaman Membaca Baha Zain

Semua manusia dilahirkan sebagai penyair. Jiwa kepenyairan dalam diri setiap manusia ialah yang memberikan kecantikkan kepada dunia ini. Tuhan menciptakan alam buat manusia, tapi kecantikkannya dicipta oleh manusia sendiri. Malang sekali, tidak ramai manusia yang mampu memberikan nyawa kepada jiwa kepenyairan dalam dirinya. Oleh itu, manusia mencari seorang penyair yang akan membantunya menjadi manusia penyair yang lengkap. Di negara kita sukar sekali nak mencari penyair yang dapat melakukan ini. Kita tidak ada Chairil Anwar atau Amir Hamzah yang menjadi semacam ulama kepada jiwa manusia. Kita hanya ada penyair intelektual seperti Muhammad Haji Salleh dan Baha Zain. Antara dua orang penyair ini, Baha Zain ialah yang paling jujur suara kepenyairannya, sementara suara Muhammad Haji Salleh sering terbenam jauh ke dasar lautan mindanya sehingga yang kita nampak di permukaan hanya ketajaman minda Muhammad Haji Salleh.

Dalam kumpulan puisi berjudul Jalan Desa Ke Kota, Baha Zain menyebut bahawa seorang penyair "memberi makna yang penuh terhadap pengalaman batin dan rohaninya yang selalu tercatu dalam kenyataan-kenyataan sosial." Saya merasakan satu keironian dalam kata-kata ini memandangkan Baha Zain ialah seorang penyair yang sering menyelami ke dalam dirinya, melebihi kebanyakkan penyair kita, bagi mencari sumber inspirasi. Seorang penyair menanamkan imaginasinya dalam dunia ini. Dia memberikan makna baru kepada objek alam yang disentuhnya, dan makna ini datang dari dalam dirinya. Dan diri seorang manusia tidak ada hadnya kecuali manusia itu sendiri yang meletakkan had dalam dirinya. Persoalan yang bermain di fikiran saya sewaktu membaca Jalan Desa Ke Kota ialah sejauh manakah Baha Zain telah menggaulkan pengalaman hidupnya dengan pengalaman imaginasi? Mari kita lihat salah satu puisi yang saya suka dalam buku ini iaitu Burang Tukang Dan Perempuan Di Ranjang:

Pada malam yang benderang
berbunyi burung tukang
dengan suara logam
membangunkan perempuan-perempuan
yang remuk di ranjang
lalu menyedari
alangkah bebasnya burung
alangkah indahnya mimpi.

Baris 5 ialah klimaks puisi ini. Perkataan "remuk" itu menambahkan kesan kepada perempuan-perempuan di ranjang itu seolah-olah hidup mereka telah berkecai menjadi serpihan yang tidak bernyawa. Seperti puisi-puisi Baha Zain yang lain, kedukaan hidup perempuan-perempuan ini ialah kedukaan hidup Baha Zain. Dalam kematian, Chairil Anwar (seperti Emily Dickinson) menemui dirinya. Dalam kesepian, Sitor Situmorang menemui dirinya. Dalam kedukaan, Baha Zain menemui dirinya.

Membaca puisi-puisi Baha Zain ialah seperti membuka jalan ke dalam kehidupan Baha Zain sendiri. Jalan Desa Ke Kota membawa pembaca ke dalam pengembaraan Baha Zain sebagai penyair. Dan melalui pengembaraan ini kita turut merasa kedukaan dan kesepiannya menulis yang dikutip benih-benih bahasa daripada manusia dan alam. Di Korea Baha Zain mengutipnya daripada "pohon pinus" dan "daun teratai." Apabila pulang ke desa bapanya sendiri menjadi sumber inspirasi. Di hujung perjalanannya, dengan rendah diri dia mengaku bahawa dia masih "anak desa yang membesar di kota" dan "masih pendiam dan malu-malu/ di kerusi barisan belakang/ memerhati dan menilai."

Kebenaran hidup kita sentiasa tersembunyi. Tuhan tidak menunjukkan semua rahsianya, tapi disembunyikan dalam diri kita. Setiap manusia menyimpan rahsia Tuhan dalam dirinya. Penyair ialah manusia paling obses mencari rahsia ini kerana dia mencari jawapan yang hanya dia seorang dapat mengakui kebenarannya. Bagi seorang penyair, dunia ini (atau alam buat Baha Zain) hanya buku-buku yang dia gunakan untuk membaca dirinya. Penyair yang bagus, seperti Baha Zain, mengajar kita mencari buku-buku itu. Penyair yang agung, mengajar kita membaca diri kita secara mendalam dan ini saya belum jumpa di kalangan penyair kita.

Comments

Popular Posts