Dilema Penulis Muda Masa Kini
"Bukan penulis yang memilih tema, tetapi tema yang memilih seorang penulis." Mario Vargas Llosa memberikan nasihat ini dalam suratnya kepada seorang penulis muda. Dan ia juga nasihat yang telah disebut oleh penulis lain seperti Flaubert, Chekhov, Faulkner, dan Salman Rushdie. Dan nasihat yang sama juga perlu diberikan kepada penulis-penulis muda sekarang. Kini, dalam sastera negara kita sudah ada satu obsesi di kalangan penulis muda (mapan dan bukan mapan) untuk mengejar nama, duit, penerbitan, dan hadiah sayembara. Keinginan untuk lihat karya terbit sangat membakar dalam jiwa penulis muda sekarang sehingga kebanyakkan penulis muda sedia menyerahkan maruah seni mereka kepada kehendak editor media, kehendak masyarakat yang kebanyakkannya terdiri daripada pembaca biasa, kehendak politik, kehendak persatuan, kehendak individu yang dijadikan mentor seolah-olah mentor itulah yang memegang obor kesenian seorang penulis. Maka, isu-isu remeh dan bersifat sementara dipilih atas prinsip ia akan mudah diterima oleh editor akhbar, ia akan mudah ditelan oleh masyarakat, ia akan mudah memikat para panel hakim suatu sayembara sastera.Hasilnya, ialah karya-karya plastik dan tidak mempunyai sebarang nilai seni yang dapat banggakan. Dan paling teruk dan menyedihkan, ialah sokongan sesetengah penulis "veteran" akan penulisan jenis plastik ini; mereka akan sebutkan dengan jelas dalam bengkel mereka (yang akan dicas dengan harga tinggi seolah-olah ia menggambarkan nilai seni mereka) tentang wajibnya seorang penulis itu memilih isu-isu semasa atau isu politik atau isu nasional atau isu Islamik atau isu Melayumik atau isu kampungmik atau isu-su -mik yang lain yang dilihat sangat penting buat "masyarakat." Satu lagi penyakit yang sejenis dengannya (penyakit ini dihinggapi oleh ramai penulis, pengkritik, editor terutama sekali) ialah penyakit berahi akan tema atau subjek eksotik. Roslan Jomel pasti faham akan penyakit ini kerana ramai penulis-penulis di negerinya yang ada penyakit ini. Asalkan seorang penulis itu memilih subjek eksotik, terus jadi teruja seolah-olah dah lupa medium seni yang sedang dibaca. Kalau nak jadikan eksotik sebagai ukuran, maka saya berani potong jari akan ada orang yang lebih eksotik pengalamannya daripada A. Samad Said tentang penderitaan peperangan. Tetapi bolehkah orang yang sangat eksotik pengalaman itu menulis Salina atau Hujan Pagi? Saya berani potong jari akan ada orang Kedah yang lebih eksotik pengalaman hidupnya berbanding dengan Shahnon Ahmad atau Azizi Haji Abdulah. Tetapi bolehkah orang itu menulis Ranjau Sepanjang Jalan? Tentu sekali tidak kerana orang-orang itu bukan penulis. Mereka ada pengalaman realiti yang bermakna, tetapi mereka tak ada bakat untuk mencipta sebuah karya seni yang imaginatif, yang mampu memberikan manusia ilusi kehidupan yang menceritakan kebenaran kehidupan.
Mario Vargas Llosa juga menyebut dalam suratnya bahawa seorang penulis itu hidup untuk menulis, bukan menulis untuk hidup. Atau seperti yang pernah disebut oleh Flaubert "writing is just another way of life." Mungkin kalau penulis muda sekarang faham akan nasihat-nasihat ini, mereka akan kembali fokus kepada tanggungjawab mereka iaitu menulis untuk menjadikan diri sasterawan yang sebenar, berbanding menjadi penulis yang gilakan nama, penerbitan, duit, dan hadiah sayembara.
Mario Vargas Llosa juga menyebut dalam suratnya bahawa seorang penulis itu hidup untuk menulis, bukan menulis untuk hidup. Atau seperti yang pernah disebut oleh Flaubert "writing is just another way of life." Mungkin kalau penulis muda sekarang faham akan nasihat-nasihat ini, mereka akan kembali fokus kepada tanggungjawab mereka iaitu menulis untuk menjadikan diri sasterawan yang sebenar, berbanding menjadi penulis yang gilakan nama, penerbitan, duit, dan hadiah sayembara.
Comments