Novel Terbaik 2023 (No 9): Hingar Sunyi Eterniti


Mood ialah warna emosi dalam sebuah karya. Mood hadir dalam apa-apa medium seni. Lukisan Edward Hopper ada mood sendiri. Filem Wes Anderson ada mood sendiri. Puisi Toto Sudarto Bachtiar ada mood sendiri. Semakin kuat identiti, dan semakin eksentrik dunia imaginasi seorang seniman, maka semakin jelas mood yang hadir dalam setiap karnyanya. Di Malaysia, kalau sebut nama Mohd Azmen, saya sudah tahu moodnya: malam panjang yang sunyi, berselang-selang dengan deruman motosikal, hangat kopi dari sebuah kedai swalayan, dan nafas lelah seorang pemuda yang terlentang bosan menghadap televisyen. 

Hingar Sunyi Eterniti ialah novel paling pendek dalam senarai saya tahun ini. Malah ketika saya membelinya dari Azmen, ia masih sebuah novel zine. Sebuah novel tidak perlu ditulis sampai 200 atau 300 halaman kalau apa yang ingin disampaikan oleh pengarang sangat fokus dan mudah premisnya. Heart of Darkness, sebagai contoh, ialah pengembaraan Marlowe mencari Kurtz. Novel Azmen ialah tentang bagaimana seorang lelaki menghadapi kematian. Dia tidak menghadapinya dengan kesedihan. Dia menghadapinya dengan memerlahankan waktu melalui rasa sunyi yang tiada penghujung.

Begitu aku semasa sepanjang perjalanan ke bandar-bendar kecil. Wajah W. memenuhi sepanjang perjalanan. Dan ia buat perjalanan ke bandar kecil itu rasa sangat perlahan. Rasa seperti bas bergerak lebih perlahan berbanding trafik jam enam petang pada hari Jumaat. Atau mungkin aku sudah terbiasa dengan kota relai yang bergerak laju. Atau mungkin kerana pagi masih awal. Mungkin pemandu bas fikir tiada apa yang kami mahu kejar pada awal pagi sebegini. Bandar kecil itu mungkin baru terjaga dari tidur waktu kami tiba nanti. Kiri dan kanan jalan masih lagi lengang. Tak banyak kenderaan di sepanjang perjalanan kecuali bas ini yang bergerak dengan perlahan memotong lori-lori besar di sepanjang jalan. Dan penumpang di dalam bas ini juga boleh dikira dengan jari. 

Kalau ada orang bacakan saya perenggan ini sepuluh tahun akan datang, tanpa menunjukkan bukunya, saya akan tahu ia ditulis oleh Azmen kerana mood yang dilukis sangat jelas. Perenggan ini hampir menjadi perenggan terbaik saya baca pada 2023, namun ia tidak boleh mengatasi perenggan lain daripada sebuah novel Malaysia yang berada di kedudukan lebih tinggi dalam senarai saya. 

         

Comments

Popular Posts