Novel Kedua: Faces in the Crowd



Tertangguh agak lama senarai ini. Sepanjang berada di Kedah memang tidak dapat disiapkan kerana sibuk dengan urusan keluarga, dan manuskrip cerpen, disamping sibuk melayan dua orang abang yang ikut menjadi bomba dalam permainan papan Flashpoint.
 
Mula-mula saya nak kata bahawa 2014 (malah 2010 ke atas) adalah tahun yang baik untuk sastera Malaysia secara umum. Bahkan cuaca sastera kita sekarang jauh lebih cerah dan nyaman berbanding sepuluh tahun lalu ketika penulis terpaksa tunduk kepada renunangan Mata dari puncak Menara DBP.
 
Era itu sudah berakhir - kuasa pembacaan dan penulisan sudah kembali kepada Middle-earth.
 
Saya tidak tahu tentang penulis lain, tetapi saya fikir bukan tanggungjawab kita untuk meletakkan karya sezaman sebagai karya klasik atau agung. Selain mustahil untuk menjadi objektif (sastera Malaysia pula sangatlah kecil dunianya), kita akan hanya meletakkan beban kepada penulis apabila kita mengangkat karyanya sebagai klasik.
 
Justeru - kalau kita memang bersedia  melepaskan mantel klasik ini - kenapa kita nak serius sangat apabila membaca karya kontemporari? Kenapa penulis-penulis kita terlalu taksub (sampai tenggelam ke dasar) dengan sentimen masing-masing? Ia seolah-olah kalau penyair itu menulis puisi Islamik, dia tidak reti nak layan puisi cinta, dan kerana dia tidak reti nak layan puisi cinta, dia rasa puisi negaranya suram dan membosankan. Ia seolah-olah kalau dalam satu tahun itu tidak ada puisi jenis Rahimidin Zahari atau Shamsudin Othman yang boleh buat dia terangkat ke langit, semua puisi jenis lain adalah sampah di matanya.
 
Betul, saya memang sokong David Foster Wallace yang kata "semua orang berhak untuk sembah siapa dia nak sembah." Tetapi hanya kerana kau ada agama, itu tidak bermakna agama kau sahaja betul dan agama orang lain salah.  
 
Jangan kata tahun 2014, hampir setiap tahun saya menunggu munculnya sebuah Ulysses, sebuah Bumi Manusia, sebuah Don Quixote di negara ini. Atau sekurang-kurangnya sebuah Kafka on the Shore dan sebuah The Savage Detective. Tetapi adakah itu sahaja saya nak sebagai pembaca? Tidak. Di waktu lain saya nak juga bacaan separa-klasik, bacaan ringan, dan bacaan sampah semata-mata. Hanya pembaca bangang akan buka sebuah novel misteri atau seram  untuk mencari pemikiran besar.

Baik, kembali kepada senarai.

* * *


Ada banyak novel berbentuk fragmen yang saya baca pada tahun 2014, malah ia boleh diangkat sebagai tema kepada senarai novel terbaik 2014 ini: fragmen. Dari segi itu, Faces in the Crowd, tulisan Valeria Luiselli (penulis kelahiran Mexico City), mempunyai persamaan jelas dengan Dept. of Speculation. Kedua-duanya adalah fragmen; kedua-duanya adalah novel pertama pengarang masing-masing; kedua-duanya adalah tentang perkahwinan dan keluarga; kedua-duanya diceritakan oleh seorang perempuan bijak, skeptik, meditatif yang tidak bernama; kedua-duanya adalah tentang memori dan ruang. Saya pilih Faces in the Crowd di atas Dept. of Speculation atas satu sebab utama: pengulangan pembacaan. Mungkin kalau saya telah baca Dept. of Speculation jauh lebih awal, situasinya akan berbeza. Namun saya percaya kedua-duanya adalah antara novel terpenting yang telah muncul dari negara mereka untuk abad ini.

Faces in the Crowd (FITC selepas ini) bercakap kepada ruang yang hadir di antara kata-kata. Ruang itu bukan kekosongan atau ingatan: ia adalah sejarah. Setiap manusia hadir ke dalam sesuatu ruang, dan dia tidak wujud secara terasing, tetapi menjadi sebahagian daripada kewujudannya. Sebagai contoh, ruang sebuah apartmen, seperti yang dihuni oleh narator novel ini - tidak bernama, seorang isteri dan seorang ibu, bekerja sebagai penterjemah di sebuah rumah penerbitan kecil di New York. Menurut pencerita tidak bernama ini, apartmen dia tinggal bersama keluarganya dihuni oleh hantu. Dia tidaklah bermaksud secara literal - lebih kepada komunikasi dalaman antara dirinya dengan ruang apartmen tersebut. Memandangkan Luiselli membangunkan novelnya secara fragmen - seolah kita melihat serpihan memori atau angan-angan naratornya - hubungan antara fantasi dan realiti itu menjadi kabur. Luiselli menulis seolah-olah kata-kata telah hilang sebelum dia sempat menulisnya. Di permulaan FITC, si narator menggambarkan ruang sebuah novel sebagai nafas:

"Novels need a sustained breath. That's what novelist want. No one knows exactly what it means but they all say: a sustained breath. I have a baby and a boy. They don't let me breathe. Everything I write is - has to be - in short bursts. I'm short of breath."

Dia bercakap seperti orang akan mati. Namun ingatan kepada kematian jugalah yang mengisi ruang-ruang kosong dalam novel ini, seperti mana narator Luiselli berasa sangat senang hati mengunjungi tanah perkuburan:

"I liked cemeteries, parks, the roof of buildings, but most of all cemeteries. In a way, I was living in a perpetual state of communion with the dead. But not in a sordid sense. In contrast, the people around me were sordid. Moby was. Dakota too, sometimes. The dead and I, no. I had read Quevedo and internalized, like a prayer, perhaps too literally, the idea of living in conversation with the dead."

Tetapi penulisan sememangnya adalah perbualan dengan kematian. Penulis mencipta rumah di atas kubur.

Luiselli sendiri pernah menceritakan pengalaman mengunjungi kubur Joseph Brodsky di Venice dalam eseinya berjudul Joseph Brodsky's Room and a Half. Menurutnya, mencari kubur seseorang adalah sama seperti "mencari orang asing di dalam sebuah kafe." Kubur tersebut, atau orang tersebut, sudah sedia menanti untuk berbicara dengan kita.

Buku adalah ibarat kubur di atas sebuah rak. Pencerita Luiselli dalam FITC menemui buku seorang penyair bernama Gilberto Owen ketika berada di perpustakaan. Dia membaca surat Owen dan terus berminat untuk menterjemahkan puisinya. Owen berasal dari Mexico, telah lama mati, dan dikatakan pernah mempunyai apartmen di Harlem, New York. Persamaan latar ini ternyata menarik minat si narator sehingga dia pergi mencari apartmen tersebut. Ketika di situ, dia secara tidak sengaja telah terkunci di atas bumbung apartmen, dan terpaksa bermalam sampai ke pagi. Satu benda yang dibawanya pulang kemudian adalah pasu bunga mati yang dia percaya pernah menjadi milik Owen.

Semakin si narator menggali sejarah kehidupan Owen, semakin dia menjadi obses, sehingga di pertengahan FITC, suaranya bertukar-tukar dengan suara Owen sendiri. Latar masa dan tempat Owen menjadi sebahagian daripada latar hidupnya. Pembacaan boleh merasuk roh seorang pembaca. Lebih-lebih lagi kalau dia membawa balik pasu bunga yang menyimpan roh pengarang itu sendiri.

Sewaktu kali pertama saya membaca FITC, saya rasa bahasa dan suara narator Luiselli terlalu dingin. Tetapi kemudian baru saya sedar kenapa ia begitu. Ada roh orang mati yang merasuk halaman-halaman novel ini.

            

Comments

AdinataGus said…
entri ini saya kira sebagai sentimental.

Popular Posts