Bahasa Sastera dan Kehendak Masyarakat


(Menjawab soalan Fadli Al-Akiti dan membidas pendapat Lutfi Ishak)


"The writer is an instrument of transformation"
- Jeanette Winterson


Pembaca umum membaca buku bukan untuk mencari gaya bahasa yang segar dan baru. Pembaca umum mencari hiburan emosi dan watak yang mereka boleh kaitkan dengan diri mereka. Ini ialah hak mereka sebagai pembaca. Dan salah satu sebab sastera itu sering kali tidak mendapat perhatian pembaca umum ialah kerana ia terlalu serius. Adakah sasterawan kita terlalu serius sehingga subjek dan gaya bahasa mereka itu terlalu asing buat pembaca umum? Barangkali ya. Lihat sahajalah Zaen Kasturi dan Marsli N. O. Tetapi adakah ini bermakna yang bahasa atau pena seorang penulis mesti tunduk kepada kehendak pembaca umum? Sudah tentu tidak. Seorang penulis ialah pencinta bahasa. Di tangannya hanya ada kata-kata yang diambil dari peti bahasa. Ya, semua orang menggunakan peti ini. Bezanya, seorang penyair bukan sekadar mengambil, tapi juga mencuri kata-kata dalam peti itu untuk mencipta gaya pengucapannya yang tersendiri.

Kebanyakkan pembaca kita datang dari golongan kelas menengah. Mereka ini ialah yang kerja lapan jam sehari, cuti dua hari seminggu, bawa keluarga berjalan semasa cuti sekolah, dan kadang-kadang - kalau ada masa atau bosan sangat - membeli buku untuk mengisi masa lapang. Buku apa yang mereka beli? Novel A. Samad Said? Kumpulan cerpen S. M. Zakir? Kumpulan cerpen Roslan Jomel? Kumpulan puisi Rahimidin Zahari (kalau boleh jumpa) ? Kumpulan puisi Latiff Mohidin (lagilah susah nak jumpa) ? Cuba pasang telinga, pasti mereka sedang ketawa mendengar soalan-soalan ini. Cuba tengok kiri atau kanan, kalau anda berada di kedai buku, pasti mereka sedang tersengeh sambil mata mereka begitu asyik menari-nari di halaman novel Salina Ibrahim atau Ilham Hamdani atau Abdul Latip Talib. Bagaimana pulak dengan Sufian Abas atau Shaira Amira atau Rasyidah Othman atau Abdullah Jones atau Fadli Al-Akiti yang menulis di media alternatif? Cubalah turun ke tengah-tengah masyarakat, yang bukan urban, dan tanya mereka. Lebih kurang beginilah jawapan yang anda akan dengar: Siapa? Siapa? Siapa?

Adakah kita ingin menyalahkan masyarakat kerana taste mereka tidak menepati kehendak para penulis? Tidak; kita bukan ingin menyalahkan masyarakat. Penulis memerlukan masyarakat. Penulis juga hidup dan berkerja dalam masyarakat. Tetapi, dan ini yang selalu para penulis kita lupa, masyarakat juga memerlukan golongan seniman. Kenapa? Kerana seorang seniman melihat kehidupan dengan lebih jelas. Apabila kita kata jelas ia bukan bermaksud yang mata seorang seniman itu lebih tajam dalam merakam kehidupan di sekelilingnya. Mata seorang seniman itu sebaliknya lebih halus dalam mencipta semula dunia yang dilihatnya. Dia adalah seorang penterjemah. Penulis ialah penyair yang menterjemahkan kehidupan ke dalam bentuk kata-kata yang apabila dicerna oleh pembaca, ia membuahkan rasa apresiasi yang lebih dalam terhadap kehidupan. Maka, gagasan yang mengatakan seni atau sastera itu sebagai imitasi kehidupan boleh ditendang ke tepi.

Seni tidak merakamkan kehidupan. Seni menterjemahkan kehidupan.

Sekarang mari kita tengok nama beberapa orang penulis: Kafka, Hamsun, Beckett, Marquez, Murakami, Roslan Jomel, Latiff Mohidin. Apakah persamaan penulis-penulis ini? Mereka tidak realistik. Dalam fiksyen, Kafka melanggar hukum realisme apabila Gregor Samsa bangun pada suatu pagi dari sebuah mimpi ngeri dan melihat dirinya bertukar menjadi seekor serangga. Dalam puisi, Latiff melanggar hukum realisme apabila dari dada sepucuk surat yang tanpa alamat dan kata melompat keluar seekor serigala. Pembaca umum, yang mewakili "majoriti masyarakat," pasti akan anggap karya para penulis ini sebagai tidak real kerana kehidupan sebenar bukan begitu. Tetapi adakah novel Zaid Akhtar dan Aminah Mokhtar, yang sudah tentu sangat real, membawa pembaca lebih dekat dengan kehidupan berbanding novel Kafka dan Marquez? Adakah sajak A. Samad Said dan Baha Zain membawa pembaca lebih dekat dengan kehidupan berbanding sajak Latiff Mohidin dan T. Alias Taib? Realisme, jika kita memilih untuk melihatnya sebagai bentuk imitasi kehidupan, pasti akan menghadkan penyertaan para penulis ke dalam dunianya. Dan Roslan Jomel sudah tentu terpaksa membawa lari benih epal kuningnya untuk ditanam di hutan Macondo yang barangkali akan lebih menyenangi vision kehidupannya yang tidak realistik itu.

Maka, untuk siapakah seorang penulis itu menulis karyanya? Masyarakat umum? Kumpulan minoriti atau elite yang kononnya terlalu urban? Atau dirinya sendiri? Jawapannya ialah bahasa. Kita sering dengar pendapat yang mengatakan seorang penulis itu mesti menulis untuk zamannya. Betul, sangat betul, kerana tidak ada penulis yang menulis dalam ruang kosong. Namun, ini bukan bermakna yang seorang penulis itu ialah kamera bergerak yang melantun-latun ke sana sini mengikut gelombang masyarakat dan merakam sahaja apa yang dilihatnya. Dia mesti menterjemah. Dan dia tidak boleh menterjemah menggunakan bahasa orang lain. Bahasa itu mesti datang dari dalam dirinya dan bahasa itu mesti dapat mengungkapkan dengan jelas, indah, dan segar pandangan hidupnya. Bahasa yang basi ialah pandangan hidup yang basi. Dan penulis sebegini tidak layak diangkat sebagai mewakili spirit of the age. Perlu diingatkan juga yang bahasa peribadi seorang penulis ada waktunya akan kelihatan janggal atau susah di mata pembaca umum. Ini kerana pandangan hidup yang baru sudah tentu memerlukan bahasa yang baru. Wordsworth dan Coleridge ditolak di zaman mereka kerana membawa gaya pengucapan puisi yang baru. Sama juga dengan T. S Eliot, Virginia Woolf, Walt Whitman, Emily Dickinson.

Suara majoriti itu mesti didengar. Tetapi ia juga mesti diterjemahkan menjadi suara puisi.

Comments

Aidil Khalid said…
Azriq,

Memang tidak ada salahnya untuk seseorang pengarang mengungkapkan perkara-perkara aneh-magis dan di luar jangkauan akal di dalam karya -- kalau sudah memang aliran penulisan yang dipilihnya adalah realisme magis.

Tapi persoalan sama ada gagasan yang menyatakan bahawa seni atau sastera adalah imitasi kehidupan alias realiti itu harus ditendang ke tepi atau tidak, ia bergantung, saya kira. Apa pun juga, seseorang pengarang tidak boleh menendang ke tepi realiti. Realiti adalah segala-galanya dalam seni dan sastera.

Pengarang yang menolak ke tepi realiti, maka jadilah dia pengarang yang menulis di atas awan. Dan saya petik ungkapan tulisan awak sendiri beberapa waktu yang lalu: "Kebanyakkan penyair kita masih menulis puisi di atas awan; mereka membina taman kepenyairan mereka di atas awan; dan di dalam taman itu dimasukkan diksi abstrak dan bombastik dan nada-nada khutbah seolah-olah rahsia kehidupan dan nilai kemanusiaan hanya berada di atas awan. Sudah tiba masanya puisi kita dibawa turun ke bumi kerana pembaca kita belum bersedia untuk terbang ke langit."

Dan, kalau pengarang masih tetap mahu menendang ke tepi realiti, maka jatuhlah dia ke taraf yang memalukan seperti Suhaimi Hj Muhammad apabila mengatakan bahawa karya-karya realisme semuanya tahi.
Wan Nor Azriq said…
Aidil,

Saya tidak menolak realiti atau realisme.Saya menolak karya yang memakai jubah realisme tapi di bawahnya tidak ada jantung kehidupan.

Dan saya kata yang perlu ditendang ke tepi ialah gagasan seni sebagai imitasi kehidupan.Bukan realisme apatah lagi realiti.

Sekali pandang,pembaca akan rasa yang dalam entri ini saya hanya memuji karya-karya yang fantasi atau magis.O.K saya boleh faham jika itu yang pembaca rasa.Tapi hakikatnya bukan begitu.

Sekarang saya akan nyatakan pendirian saya dengan jelas:saya menerima semua bentuk karya sastera sama ada ia berada di pihak "realisme" atau pihak "magis." Dua-duanya bagus dan dua-duanya mendapat perhatian saya.

Yang penting bagi saya ialah bukan sama ada karya itu bentuk realisme atau magis.Yang penting ialah adakah karya itu boleh membawa kita dekat dengan kehidupan.

Masalah realisme dalam sastera kita nampaknya saya perlu tulis entri baru supaya pembaca tidak keliru apabila saya mengatakan yang seni itu bukan imitasi kehidupan.

Saya tidak menolak realiti.Saya menolak kepalsuan seni.
lutfi said…
Salam Azriq.

Apakah yang dimaksudkan dengan 'kehidupan'? Minta definisikan.
lutfi said…
Dan minta tolong spesefikkan, pendapat abg lutfi yang mana yang dibidas?
Wan Nor Azriq said…
Salam Abang Lutfi,

wah,bolehkah kehidupan diberi defenisi? saya bukan ahli falsafah.

saya turunkan di sini komen yang Fadli tinggalkan di blog saya:

tetapi baru2 ini, saya duduk berbual dgn saudara Lutfi, agak menarik.. beliau menyatakan dengan pendirian teguh, bahawa kenapa "suara alternatif urban" seperti "saya" dan golongan "sufian abas" (ini termasuk Shaira kan?) tidak akan diterima atau tidak mewakili "suara majoriti" masyarakat, kerana secara luasnya, masyarakat Malaysia ialah golongan rendah-menengah yang kebanyakannya di kampung2 dan desa2 yang mana adat, perilaku mereka tetap konvensi dan konservatif, tersilang dengan nilai-nilai agama yg kuat.. Suara2 "baharu", urban (bagi saya segar lah) tidak "mewakili" mereka lantas tidak mendapat "tempat" dan hanya diraikan di kawasan bandar sahaja..
lutfi said…
Salam Azriq.

Tak perlu jadi ahli falsafah baru boleh definisi. 'Kehidupan' adalah frasa dan istilah yang sering digunakan oleh Azriq. Jadi, sebab itu, abg Lutfi rasa, penting untuk Azriq jelaskan, apakah yang dimaksudkan dengan 'kehidupan' itu, lebih-lebih, apabila Azriq menjelaskan, dan yakin, bahawa SASTERA ITU IALAH KEHIDUPAN.

Oh, jadi Azriq membidas abg Lutfi berdasarkan perbualan abg Lutfi dgn Fadli. Tapi abg Lutfi rasa ada baiknya Azriq sendiri 'perlu' ada sewaktu abg Lutfi bersembang dengan Fadli tentang hal itu, kerana abg Lutfi dapat tangkap macam ada satu kesalahfahaman.

Selamat hari raya korban.
fadz said…
erkk, nampaknya dah jadi polemik! huhu!

dan saya ingatkan entri ni berkenaan: tulislah macam Salina Ibrahim ..

hahahah..

Sebenarnya Tuan Lutfi ada menyatakan hal yg lebih jauh dan dalam daripada itu (maaf cik Lut bila hal ni dah jadi polemik pula, huhuhu), yg menariknya seperti bagaimana budaya membaca itu sudah kalut dan jadi penyakit bila kita lihat rumah2 di kampung memiliki ASTRO, TV lebih didewakan daripada buku.. dan bagaimana isu2 yg hanya dipentingkan rakyat kampung merupakan hal2 yg berkenaan "keperluan asas" dan keinginan untuk "rezeki" yang jauh lebih penting daripada "seni"..

jadi mmg ada "benarnya" bila buku dunia urban dan magis realisme Sufian Abbas, dapatkah ia "menyentuh" kumpulan org2 kampung yg hanya kenal surau, kerja, anak, dan Astro.. kalau kiranya, itulah yg dinyatakan.
fadz said…
tapi saya rasa, kita tak boleh sangkallah, kehadiran Sufian dan Shaira (jika saya teliti kajian saudara) mmg membawa perubahan manis dalam bahasa sekurang2nya kan?
Wan Nor Azriq said…
(haha fadz,hati-hati dengan pendapat tentang Salina Ibrahim,nanti orang PTS marah pulak)

karya sastera yang bagus ialah untuk semua golongan pembaca.kalau sebuah novel itu memang tentang orang kampung 'sahaja'dan tidak ada lapisan emosi yang lebih dalam,maka ia sebuah karya yang lemah.

(cuba banding Shahnon dengan Azizi,akan nampak siapa yang kekampungan semata-mata)

bukanlah saya nak angkat Sufian atau Shaira di sini hanya kerana mereka urban atau magis.kerana akhirnya berbalik juga kepada kualiti seni karya mereka.

perubahan manis? kita tunggu masa menilai kemanisan atau kepahitan karya mereka.
fadz said…
wah, kekampungan Shannon atau Azizi, menarik tu!!

saya mahu menambah.. rupanya hal polemik ini berlaku juga dalam bidang agama. Sewaktu saya di kampung, saya bertemu dengan seorang ustaz (yang bercampur dengan orang kampung) yang menyatakan secara terang-terangan para intelektual agama (tempatan) hanya "gah" dalam kelompoknya yang tersendiri dan tidak memberi impak apa-apa terhadap orang kampung yang diumumkan sebagai golongan majoriti tempatan.. hal ini menarik diri saya untuk dikupas lagi lantas saya bertanya adik saya, dan beliau mengatakan memang inilah krisis yang berlaku di mana para ilmuwan agama masyarakat kita tidak "bercampur" dengan orang biasa, hanya mereka yang mengutip ilmu dari luar, mengeluarkan buku, membahaskan fatwa dan apa-apa lagi yang tidak pun menyentuh golongan umum.. wallahu alam..
fadz said…
Salina bukan kerja untuk Alaf ke? haha
Wan Nor Azriq said…
Fadz,

menarik juga apa yang awak katakan isu yang berlaku dalam bidang agama itu.saya tidak mahulah mengulas panjang tentangnya kerana itu bukan bidang saya.
Wan Nor Azriq said…
(novel Salina terbit dengan PTS haha)

Popular Posts