A. Samad Said Di Dalam LRT


Berikut merupakan catatan jurnal saya pada 13 Ogos 2008. Saya tersempak dengan Sasterawan Negara A. Samad Said di dalam LRT menuju ke Setiawangsa.


"10.30 a.m. LRT ke Setiawangsa. Apabila seseorang itu tinggal di sekitar Kuala Lumpur, dia pasti akan tersempak dengan Sasterawan Negara A. Samad Said. Saya sendiri sudah banyak kali tersempak dengan beliau. Di MPH MidValley, di Golden Screen Cinema MidValley, di KL Sentral, di Borders Time Square, dan hari ini di dalam LRT. Sudah banyak kali tersempak tapi belum pernah menegurnya kerana saya merasakan diri saya masih terlalu kecil.


Pak Samad sedang duduk tenang bersama isterinya sambil membaca novel kegemaran beliau iaitu Doctor Zhivago karya Boris Pasternak. Kulit novel itu keras, warnanya coklat gelap, dan judul kelihatan seperti ditulis dengan cecair kertas putih oleh Pak Samad sendiri. Dahi Pak Samad berkerut-kerut menelaah bab-bab awal novel itu seolah-olah baru kali pertama membacanya. Halaman-halaman novel itu sudah kuning dan boleh nampak garis-garis warna pada ayat yang mungkin digemari oleh Pak Samad. Beg yang dibawanya ialah jenis sandang bahu berwarna hijau yang tertulis logo kedai buku The Times. Sepanjang perjalanan ini, Pak Samad dan isterinya tidak berbual langsung tapi sekadar menanyakan stesen yang mereka akan turun. Saya duduk berhadapan dengan Pak Samad tapi sepanjang masa saya cuba melarikan mata ke luar kerana tidak mahu mengganggu pembacaannya. Beliau kelihatan serius dan tenang sehingga saya sendiri terfikir apakah keistimewaan novel itu sehinnga Pak Samad membacanya berulang-ulang kali.


Stesen Setiawangsa semakin dekat. Ah, tolonglah berhenti sekejap masa."

Comments

Wan Nor Azriq said…
Apa yang melucukan awak Aidil? :)
hazwan said…
pesal tak tego dia azriq....
tego la, mane tau dia hadiahkan kat kau buku yang dia tgh baca tu ke...
hehe
Wan Nor Azriq said…
nanti isteri dia marah kot hehe
Fyza d.Hana said…
saya pun pernah jadi seperti azriq..
terserempak dgn A.Samad Said yang saya kagumi dari bangku sekolah lagi dalam star lrt menuju ke pwtc..
otak berfikir-fikir nak tegur atau tidak.. akhirnya tak tegur sebab segan.. heheheh

Popular Posts