Razak Mamat dan Dilema Manusia Moden

Manusia moden itu sering terperangkap dalam jentera sosial yang menggunakannya bagi mendapatkan keuntungan ekonomi. Manusia sudah menjadi nombor-nombor dalam buku akaun masyarakat yang sentiasa berusaha mendapatkan pengiraan yang seimbang bagi mengaut keuntungan yang total. Manusia moden itu terperangkap dalam sangkar yang dia sendiri tidak sedar seperti haiwan-haiwan dalam cerpen Razak Mamat berjudul Dari Luar Kurungan.

Cerpen ini mengisahkan seorang pemuda yang sedang mencari dan memahami kewujudan hidupnya yang telah dizalimi oleh sistem sosial; terutama sekali institusi kehakiman. Ayahnya telah dihukum penjara kerana didapati menyeleweng wang syarikat. Pemuda menyalahkan institusi kehakiman yang dia fikir sebagai tidak adil kerana keputusan banyak bergantung kepada keupayaan peguam untuk menyampaikan hujah dengan menyakinkan. Pihak peguam dipandang sinis kerana mereka dianggapnya sebagai "gergaji, sorong makan, tarik pun makan" iaitu golongan oppurtunis yang hanya mementingkan keuntungan firma mereka. Kritikan Razak Mamat terhadap institusi kehakiman sebenarnya adalah kritikan terhadapa sistem masyarakat moden itu sendiri.


Kita boleh mengandaikan di sini bahawa ayah pemuda ialah seorang yang berjawatan tinggi di syarikat korperat besar sehingga dia boleh diheret ke makhamah kerana menyelewengkan wang. Razak Mamat tidak memberitahu kita sama ada ayah pemuda benar-benar bersalah atau tidak. Perjalanan kes di makhamah hanya dilihat daripada kaca mata protagonis yang pasti sahaja bias terhadap keluarganya. Bersalah atau tidak, ayah pemuda sememangnya sudah menjadi mangsa ekonomi kapitalis. Dia mungkin dianaiya oleh pihak yang sedang berusaha untuk mengaut keuntungan lebih; atau dia mungkin diperalatkan oleh syarikatnya sendiri yang tidak memerlukan lagi pekerja yang tidak memberikan keuntungan kepada mereka. Pemuda dan keluarganya menyalahkan institusi kehakiman, tapi hakikatnya mereka sendiri yang membiarkan diri menjadi mangsa.

Manusia moden terlalu bergantung pada kehendak sosial bagi menjamin kebahagiaan. Kewujudan hidup mereka seolah-olah diserahkan kepada kehendak masyarakat seperti permainan saham global: yang mana paling menguntungkan, itulah saham yang akan dibeli. Manusia moden merasakan diri mereka bebas tapi mereka sebenarnya hanya seperti haiwan-haiwan yang terperangkap di dalam zoo. Dalam cerpen ini, pemuda telah pergi ke zoo bagi mencari jawapan untuk menyelesaikan dilema yang menimpa hidupnya. Di situ dia melihat hidupnya sendiri terperangkap bersama haiwan-haiwan yang lain. Haiwan-haiwan di dalam sangkar telah menjadi simbol psikologi iaitu id (kehendak nafsu manusia) yang dikurung oleh ego (zoo) dan dikawal oleh superego (pengawal zoo/pihak berkuasa) yang mewakili norma masyarakat. Teori psikologi Freud barangkali tidak memadai bagi menjelaskan dorongan kehendak manusia kerana saya tidak percaya bahawa psikologi manusia dimotivasikan oleh nafsu seks. Id ciptaan Freud itu terbatas kerana manusia sebenarnya didorong oleh keinginan untuk merealisasikan kewujudan diri. Manusia ingin menjadi individu yang sejati. Namun, keinginan ini pasti akan berkonflik dengan kehendak sosial.


Dalam dunia moden, manusia yang tidak menjadi makhluk sosial akan dianggap sebagai komiditi yang tidak mampu memberikan keuntungan. Nilai kewujudan manusia kini diukur dari segi keuntungan material yang dia dapat janakan. Manusia tidak yang tidak bernilai (seperti ayah pemuda) atau yang cuba menjadi individu akan diasingkan. Mereka akan dikurung di dalam zoo seperti haiwan kerana haiwan tidak membawa apa-apa keuntungan melaikan kekecohan dan ketidakseimbangan dalam struktur kehidupan moden.


Pemuda itu bersimpati dengan haiwan-haiwan di dalam zoo. Dia akan datang setiap hari dan melihat dari satu sangkar ke satu sangkar seolah-olah semua haiwan itu adalah orang yang dikenalinya. Sangkar yang paling menyedihkan pemuda ialah sangkar orang utan. Pemuda nampak ayahnya yang terkurung di dalam penjara seorang diri: "Bapa duduk di penjuru kandang, bertelanjang. Badan bapa tidak berpakain tetapi telah ditumbuhi bulu dengan banyaknya menyerupai orang utan." Pemuda hanya boleh menitiskan air mata "dari luar kurungan" kerana dia bukan seperti mereka walaupun dia ingin jadi mereka, tapi dia masih seekor makhluk sosial. Pemuda, kakak, dan ibunya masih tidak sedar bahawa mereka sudah menjadi catur dalam permainan pemimpin wacana sosial. Sebagai menebus rasa bersalah dalam dirinya, pemuda telah membuka sangkar dan semua haiwan dihalau keluar menggunakan mercun. Dia memilih untuk menghukum masyarakat yang menzaliminya daripada berusaha membebaskan dirinya daripada masyarakat itu sendiri.

Simbol zoo dan hubungannya dengan pemuda ialah kekuatan utama cerpen ini. Haiwan-haiwan itu seolah-olah mewakili manusia moden yang cuba digambarkan oleh Razak Mamat. Cuma, apabila Razak mula mendalami kehidupan protagonisnya, kita mendapati Razak telah terperangkap dalam jaringan plot konvensional yang dia bina. Razak terpaksa memberikan kita konflik dan babak dramatik kerana dia tidak merasa dekat dengan kehidupan keluarga pemuda. Di sini, Razak telah menjadikan dirinya habuan buat kumpulan feminis yang pasti akan membantah cara watak ibu dan kakak pemuda digambarkan. "Ibunya hampir gila! Kakak-kakaknya berharian menangis." Di tempat lain, ibu pemuda dikatakan memandu kereta "macam ribut" dan "meneguk minuman keras!" Razak Mamat nampaknya masih terperangkap dalam binaan plot konvensional yang memerlukan kesan dramatik sehingga watak wanita dilemahkan peranan mereka. Razak Mamat, dalam cerpen ini, menunjukkan kita bahawa dia tukang cerita yang berbakat; tapi dia bukan sang revolusi seperti Shahnon Ahmad atau Anwar Ridhwan. Razak Mamat masih terikat dengan plot konvensional. Mungkin cerpen-cerpennya yang lain lebih hebat.

Walaupun cerpen ini masih berbentuk konvensional, tapi ia tetap mempunyai mesej besar yang mampu menyedarkan kita bahawa kehidupan moden ini sememangnya memerangkap kebebasan manusia. Sekiranya manusia moden tidak berusaha untuk merealisasikan kewujudan mereka secara bebas, maka mereka akan sampai bila-bila terkurung dalam sistem yang kita sendiri telah ciptakan.

Comments

Popular Posts