Memperkenalkan Aidil Khalid

Saya mula mengenali Aidil Khalid sekitar bulan Ogos 2007, di Bengkel Penulisan Cerpen untuk Penulis Muda, anjuran DBP. Semasa di bengkel itu, saya mendapati penulis ini mempunyai pengalaman pembacaan yang luas. Pembacaannya tidak terhad kepada karya sastera tempatan, tetapi menjangkaui sempadan Asia Tenggara. Kelebihan ini yang membezakan Aidil dengan peserta-peserta bengkel itu dan juga ketika kami bersama belajar di Minggu Penulis Remaja 2007.
Sebagai penulis muda, saya telah bertemu dengan ramai penulis muda yang lain dan masing-masing mempunyai keazaman, pengalaman, kreativiti, dan bakat yang berbeza. Ada penulis (seperti W.B Rendra, Ali Atan, dan Nasriah Abdul Salam) yang memang boleh nampak keistimewaan mereka daripada mula. Perkara ini bukan sahaja terserlah dalam karya mereka, tetapi juga dari segi pembawaan diri. Mereka sentiasa menunjukkan keyakinan dan keinginan yang tinggi untuk berjaya. Dan ada juga penulis yang belum terserlah bakat mereka, tetapi sentiasa mempunyai idea, daya kreativiti, dan cerita yang bagus. Contohnya, Anis Sarah, Muhamad Tarmize, dan Aidil Khalid sendiri. Bagi Aidil, saya lihat telaga kreativitinya sentiasa penuh kerana tahun ini sudah terbit tiga cerpen. Sebelum dibincangkan beberapa cerpennya, akan diturunkan di sini biodata ringkas Aidil Khalid.
Aidil dilahirkan pada 30 Jun 1984 di Klinik Wanita, Kuala Lumpur. Dia pernah mendapat pendidikan daripada pelbagai sekolah institusi, kerana ayahnya sering berpindah dari satu negara ke negara yang lain. Antaranya ialah: Sek Ren Keb Raja Muda, Manarat International School (Jeddah, Arab Saudi), Sekolah Ren Islam Qurratul Ain, Sekolah Dasar Islam Athirah (Indonesia), dan Sekolah Menengah Undang Rembau. Kini Aidil sedang menuntut di UiTM Shah Alam dalam jurusan undang-undang.
Karya pertamanya yang tersiar ialah puisi bertajuk Dari Rasa Turun Ke Pena (Tunas Cipta, November 2005). Kemudian dia beralih ke penulisan cerpen dan tersiar karya pertamanya bertajuk Susahnya Nak Kahwin! (Dewan Agama dan Falsafah Ogos 2006). Cerpen keduanya ialah Ilham Tertangguh, pada bulan Disember 2006, juga majalah yang sama. Cerpen-cerpennya yang kemudian adalah Mencipta Berlian, Engel vs Vitale, Moi Cheng Ah, dan Hitam dan Abu Nuwas.
Penulis-penulis yang diminatinya adalah seperti Ananta Toer, A. Samad Said, dan Faisal Tehrani. Dia sering kagum dengan keupayaan Faisal Tehrani menghasilkan banyak novel dan pada masa yang sama mempunyai pengetahuan luas dalam pelbagai bidang. Menurut Aidil, dia lebih suka menulis ketika waktu-waktu sibuk berbading ketika cuti semester. Aidil juga percaya bahawa bakat bukan segala-galanya dalam penulisan, kerana dia percaya seorang penulis itu boleh berjaya asalkan ada minat dan kesungguhan yang tinggi. Idea bagi cerpen-cerpennya itu sering datang daripada isu semasa dan juga pengalaman hidup sebagai pelajar jurusan undang-undang.

Comments

Aidil Khalid said…
Alamak! Malulah pulak, diperkenalkan macam tu. Hehe...
Anonymous said…
Tahniah! Saya belum pernah baca karya sdr Aidil Khalid, tapi dari respons rakan-rakan, beliau sangat menonojol. Tak lama sebelum namanya mendapat tempat dalam dunia penulisan. InsyaAllah

Fahd Razy

Popular Posts