Cinta Babun dalam "Aku Pulang, Wahai Bulan"

‘Kata-kata ini tidak pernah aku lupa. “Jika aku menjadi matahari, adakah kau akan menjadi bulannya?”
Lantas kau pun menjawab. “Ya, akulah bulanmu. Terangilah aku ketika bumi diselubungi kelam.”’
Petikkan daripada cerpen Aku Pulang, Wahai Bulan karya Ariff Mohamad diperkenalkan kepada pembaca bagi menunjukkan bahawa penulis ini menggunakan bahasa romantis yang akhirnya merebak ke seluruh isi cerita seperti nanah wangi sehingga lahir tema yang boleh dikenali sebagai, cinta babun. Namun, adalah tidak adil jika bahasa yang dipersalahkan kerana bahasa kita memang sudah indah, dan bahasa kita bukannya nanah wangi mahupun nanah busuk yang boleh ditampal-tampal menjadi seekor babun. Tetapi yang bersalah di sini ialah penulis cerpen sendiri kerana menciptakan cinta babun yang memang sudah banyak dalam belantara sastera popular.
Plot cerpen ini memang sangat klise. Pengalaman membacanya sama sahaja seperti kita menonton drama-drama cinta babun di televisyen. Seorang lelaki yang sangat-sangat baik telah datang ke desa seperti hero yang kononnya membawa obor kemajuan ke desa terabai. Dia jatuh cinta akan gadis desa yang pertama menghadiahkan senyuman kepadanya sehingga diangkat gadis itu menjadi bulan. Kemudian, seperti yang dijangkakan, hero kita telah dipaksa kahwin kerana dia dikatakan berkhalwat dengan bulan. Ketegangan semakin panas apabila dia difitnah menyalahgunakan kuasa dan berbaik-baik dengan kerani di pejabat. Kerani itu menjadi bunting dan dia pulang ke kota dengan perasaan malu dan rindu. Apakah kesudahan cerita? Tidak perlu saya ceritakan lagi kerana memang kita sudah boleh agak.
Saya tidak mahu membuang masa mengkritik cerpen ini dengan panjang lebar kerana plot dan wataknya sangat klise. Ini diburukkan lagi dengan penggunaan sudut pandangan pertama. Protagonis tidak habis-habis, daripada permulaan plot, menceritakan perasaan cinta babun yang bernanah di hatinya. Selain itu, penulis telah menjatuhkan martabat wanita melalui watak Bulan dan Diah. Zaman yang menggambarkan wanita sebagai lemah, emosional, dan asyik menangis sahaja (seperti Bulan) sepatutnya sudah ditinggalkan oleh penulis kita. Kita juga tidak mahu lagi melihat watak seperti Diah yang tiba-tiba sahaja bunting tanpa sebab. Anak itu pasti sahaja bukan anak protagonis tetapi Diah macam rela sahaja dirinya dijadikan alat fitnah orang kampung. Kesimpulan yang boleh dibuat ialah penulis sebenarnya menggunakan formula cinta babun bagi memancing emosi pembaca. Formula ini mungkin berjaya di belantara sastera popular, tetapi Dewan Sastera bukab wadah popular murahan. Karya ini tidak layak berdiri bersebelahan penulis mapan seperti Azizi Hj. Abdullah kerana cerpen yang hanya membawa tema cinta babun sepatutnya dikurung sahaja dalam zoo bersama babun-babun yang lain.
Adakah kritikan saya terhadap Ariff terlalu kejam? Ya, saya memang kejam dalam makalah ini kerana saya cintakan sastera Melayu kita. Saya tidak mahu kredibiliti Dewan Sastera tercemar dengan karya seperti ini. Sudah terlalu banyak karya-karya cinta murahan di pasaran sekarang dan tidak perlulah karya yang sama menular masuk ke dalam Dewan Sastera. Saya bukan ingin memperlecehkan peranan sastera popular dalam masyarakat, tetapi menegur kemunculannya dalam Dewan Sastera.
Saya sedar krtikan saya ini tidak bersifat objektif. Saya memang tidak bercadang untuk memberikan kritikan teoretikal yang sistematik kerana kritikan sebegitu hanya layak diberikan kepada karya yang benar-benar sastera. Bagi Ariff Mohamad, saya tidak mempersoalkan keupayaanya sebagai penulis kerana yang dikritik ialah karya, bukan Ariff sendiri. Harapan saya hanya satu: tidak muncul lagi cerita cinta murahan di Dewan Sastera.

*Teks penuh boleh dibaca di Dewan Sastera Mac 2008

Comments

Aidil Khalid said…
Azriq,

Adakalanya babun memang harus dikurung sahaja di zoo. Tetapi andai semua babun ditangkap dan dikurung, bukankah ekosistem di hutan akan rosak? Tidak dinafikan sememangnya ada keperluan untuk mengurung baboon di zoo untuk tatapan pengunjung, tetapi perlu juga ada babun yang dibiarkan bebas di hutan kerana memang itu habitat asalnya.

Sekadar untuk direnungkan bersama. hehe.
anis sarah said…
Salam,
Andai saja si penulisnya baca kritikan ini, apa reaksinya?
Saya lebih suka cerpen 'bulan di balik matahari' Ana Balqis. teringat beberapa cerpen lain yang juga ada tajuk 'bulan'.
Wan Nor Azriq said…
Aidil,

Kita memang perlu biarkan babun tinggal di habitatnya. Tapi kalau ada seekor dua yang keluar dari hutan dan masuk ke tempat yang tak sepatutnya, maka terpaksalah kita letakkan di dalam zoo hehe.
Wan Nor Azriq said…
Kalau ariff baca kritikan ini, terpaksalah dia tahan kepedasannya agar dia sedar yang karyanya tidak bagus dan berusaha menulis karya yang lebih baik pada masa depan.

Popular Posts