Ceritera Mata Yang Buta

PADA suatu petang, seorang lelaki buta sedang berjalan di tengah hujan ke arah sebuah masjid yang berada di hujung hutan. Bersamanya adalah seekor anjing putih yang menjadi mata buat si buta. Tiba-tiba mata itu berlari meninggalkannya lalu jatuhlah dia ke dalam lubang yang gelap.
Dalam kegelapan lubang yang sunyi itu, dia telah didatangi oleh Syaitan. Melihat si buta sedang meraung kesakitan, Syaitan mula bersuara: “Terima bantuanku. Dan aku akan kembalikan kau kepada cahaya serta hilangkan kesakitan yang sedang kau rasai. Hulurkan tanganmu ke atas.” Sebelum si buta sempat membuat keputusan, Malaikat tiba-tiba mencelah lantas berkata: “Jauhkanlah dirimu daripada godaan Syaitan wahai manusia. Sesungguhnya dia adalah musuh kamu yang nyata. Dan barang sesiapa yang bersekutu dengan musuh Allah, maka dia akan dilaknat kelak.” Pujukkan Malaikat tidak cukup untuk melawan kesakitan yang sedang dialami si buta. Maka dia hulurkan tangan kepada dosa.
Setelah diselamatkan daripada kegelapan, dia bertaubat kepada Allah kerana menerima bantuan Syaitan. Dia meneruskan perjalanan di tengah hujan sehingga dia bertemu bangkai anjing putih yang telah meninggalkannya tadi. Masih ada seketul tulang besar di celah gigi anjing itu. Si buta mula menyabak kerana matanya telah diambil oleh Allah. Melihat si buta dalam kekecewaan, Syaitan sekali lagi datang dan berkata: “Terimalah aku sebagai sahabatmu. Dan aku akan berikan kau mata agar kau boleh menyaksikkan sendiri keindahan dunia.” Tanpa berfikir panjang, si buta terus memeluk sahabatnya, dan tidak buta lagilah dia selepas itu.
Sebaik sahaja Syaitan hilang, dia kembali menyesal, dan mula berputik hasrat untuk memohon keampunan. Dia mengankat tangan ke langit, tetapi sebelum keampunan sempat dipohon, Petir telah terlebih dahulu memanah kedua-dua biji matanya. Maka tamatlah sudah riwayat hidup si buta, yang belum sempat melihat keindahan dunia.
Malaikat yang sedang memerhati daripada jauh hanya mampu berkata, dengan nada sedih: “Dia memilih untuk lihat dunia, daripada melihat dirinya sendiri.”

Comments

anis sarah said…
bukan setiap masa ada peluang kedua.
Wan Nor Azriq said…
ya, kita mesti hargai peluang kita yang masih ada.

Popular Posts