Menuju Senja di Harajuku


Usia mengumpul bukan sahaja pengalaman, memori, dan emosi; usia mengandungi tempat dan objek. Semenjak aktif menangkap gambar, saya mula sedar cuaca dan cahaya yang sering mewarnai sudut pandang peribadi saya. Suasana mendung, suram, dan dingin terasa asing apabila saya mengintai melalui lensa kamera. Saya sebaliknya mencari panas terik, bayang, dan hangat kuning yang berpaut pada kulit daun atau permukaan kayu sebuah bangunan. Justeru kegilaan fotografi kontemporari pada suntingan dan kesan estetik ala Saul Leiter, membuat saya sakit mata; bukan salah Leiter pun sebenarnya, tapi norma yang dibentuk oleh pembuat maklumat dan pencetus budaya di media sosial. Selera fotografi saya sangat konvensional: saya suka penggunaan cahaya semula jadi, komposisi klasik, jelas, warna pekat, dan ia mengandungi tekstur filem. Selera fotografi saya juga mencerminkan jenis puisi yang sering berbekas dalam fikiran. Antaranya puisi ringkas dan pendek ini oleh penyair Yannis Ritsos berjudul "Another Holiday."


Everything was fine. The clouds in the sky.
In the washed water glass. The tree in the room. 
The woman's apron on the chair. 
The words in the poem. And only
a very shiny leaf stood out,
and the key through a feather chain. 

Membaca puisi ini terasa seperti melihat himpunan foto di atas meja penyair.  Kita boleh pegang setiap satu imej objek yang disebut. Kita boleh bayangkan matahari yang masuk melalui tingkap lalu berenang di permukaan gelas yang jernih. Kita boleh hidu bau apron dan rasa tiupan angin di belakang cuping telinga. Terdapat sekeping foto oleh Luigi Ghirri yang menunjukkan secara dekat imej butang baju. Satu butang yang dikancing; bulat butang terletak di tengah gambar dalam garisan simetri berwarna biru. Ketika melancong ke Tokyo tahun lepas, saya bertuah dapat membeli himpunan poskad foto-foto Luigi Ghirri. Saya letak poskad dengan imej butang itu di atas meja kayu yang saya sedang menulis; bersebelahan dengannya ialah poskad foto Koji Onaka yang memaparkan imej seekor anjing di tengah pasar. Cahaya foto Onaka lebih redup namun kaya dengan merah dan jingga berbanding biru dan putih Ghirri. Meneliti foto-foto Ghirri kadang-kadang terasa kosong seolah kita dibersihkan daripada segala beban dan masalah. Sementara foto Onaka menyimpan nostalgia dan kenangan tempat yang sudah terasing dan dilupakan. 

Saya kembali ke Tokyo tahun ini. Saya dan Ainunl berjalan tanpa arah tuju sekitar Harajuku apabila kami tersempak toko buku yang tersorok di sebuah lorong. Sebaik sahaja masuk, mata saya terpandang buku fotografi Todd Hido House Haunting yang sangat besar. Dua orang wanita Jepun diam membuat kerja di belakang kaunter. Cahaya di luar sudah semakin gelap, kami ada masa sekejap sahaja sebelum kedai ditutup. Setiap buku mempunyai pelekat dalam bahasa Jepun yang menceritakan isinya. Ainunl membeli sebuah buku fotografi kucing untuk Rasydan. Antara semua buku yang dipamerkan, saya tertarik pada warna terang biru kuning buku Koji Onaka My Ektachrome. Foto pertama dalam buku itu menunjukkan pandangan sisi seorang gadis Jepun; separuh tubuhnya terpotong; wajahnya kusam; jurufoto meletakkan gadis itu pada penjuru bawah sebelah kanan iaitu lencongan tajam deretan bangunan lama yang menjadi latar belakang dan subjek utama foto Onaka. 

Ketika kami melangkah keluar dari toko, lampu-lampu jalanan mula membuka mata. 

    

Comments

Popular Posts