Menemui Kembali Minat pada RPG

Saya pertama kali membaca City of Thieves ketika umur 9 tahun. Itu pendedahan awal saya kepada genre fantasi dan permainan lakon watak (RPG). Selain itu, City of Thieves juga ialah sebuah RPG solo di mana kita sebagai pembaca menjadi hero cerita. Anda memerlukan pensil, pemadam, dan dua dadu d6 untuk main buku dalam siri pengembaraan Fighting Fantasy. Buku ini sangat berpengaruh dan berbekas pada imaginasi sehingga saya tercetus untuk menulis novel interaktif Di Kala Bulan Bermain Biola pada 2018. 

Dalam City of Thieves, pemain akan mula di pintu pagar kota Port Blacksand. Seorang pengawal diraja menahan anda, dan anda harus pilih apa tindakan seterusnya. Beri rasuah? Serang? Setiap keputusan akan beri kesan berbeza. Selepas anda berjaya masuk ke kota yang sibuk dan terkenal sebagai sarang penyamun ini, anda akan diberi pilihan ke mana anda ingin pergi. Kebebasan untuk meneroka kota itu yang memberi keseronokan kepada saya; setiap jalan dan kedai mempunyai perwatakan sendiri. Saya cuba bawa keseronokan dan kebebeasan itu dalam Di Kala Bulan Bermain Biola.   

Dalam genre RPG yang maha luas, pemain tidak semestinya mendapat latar yang sudah siap seperti dalam City of Thieves. Kerap kalinya apabila kita main solo RPG atau berkumpulan, kita perlu mencipta dunia dari kosong. Serenia (seni reka dunia) sehingga ke hari ini masih terbatas kepada pengarang imaginatif yang menghasilkan cereka fantasi, horor, dan fiksyen sains. Padahal serenia boleh sahaja digunakan untuk membina sebuah kota berdasarkan latar sebenar. Mungkin anda fikir, kalau latar sesuatu tempat sudah ada dalam realiti, kenapa nak cipta semula? Jawapannya mudah: imaginasi pengarang bukan drone. Dia tidak akan boleh melihat sebuah kota dari atas mahupun mengenali setiap ceruk lorong, rumah dan kedai. Peta mahupun google boleh membantu dia merangka latar ceritanya; namun yang memberi nafas bukan fakta, tetapi warna dan suara yang dia berikan kepada tempat tersebut. 

Maka, dalam usaha untuk membangunkan sebuah dunia baru, RPG akan sangat membantu kerana terdapat pelbagai jenis sistem yang dicipta bertujuan untuk membantu pemain mereka dunia dari kosong. Solo RPG misalnya boleh dimain menggunakan jurnal. Sebagai contoh, permainan Whisper in the Walls membawa pemain ke dalam lokasi rumah berhantu. Melalui sistem kad poker yang disusun dan ditarik satu pada setiap pusingan, pemain akan diberi prompt untuk menulis tentang peristiwa misteri yang sedang berlaku. Sambil bermain, sambil melatih imaginasi untuk berfikir. 

Walaupun saya belum pernah menulis sebuah novel fantasi dalam erti kata sebenar, saya fikir RPG akan sentiasa dekat dengan jiwa saya. Setelah kembali meneroka cabang-cabang ajaib dalam lapangan ini, saya percaya saya sudah menemui rumah sebenar untuk imaginas saya berteduh.    

    

Comments

Popular Posts