Di Manakah Semua Karya Agung?
Salah satu kelebihan karya klasik ialah ia akan diulang cetak sehingga ke akhir zaman. Setiap kali ia dicetak, sampul kulitnya akan berbeza, reka letak dalam dan jenis kertas yang digunakan juga akan berubah dari edisi sebelumnya. Ambil contoh Jane Austen: sudah beratus atau beribu kali Pride and Prejudice diulang cetak hingga orang kenal buku itu tanpa perlu membacanya. Bagaimana novel yang tidak pernah (atau akan) mencapai status klasik? Bagaimana kalau ia tidak pernah diterjemahkan ke bahasa Inggeris? Bagaimana kalau ia hanya pernah ditulis di atas sebuah pulau terpencil dan dicetak lebih kurang 100 naskhah untuk edaran tempatan? Apakah nasib novel itu selepas 100 atau 200 tahun? Barangkali akan dikenang oleh sejumlah pembaca setia di atas pulau itu. Tetapi selamanya ia tidak akan pernah menjadi bahagian daripada sastera dunia kerana apabila pengkritik dan pembaca tegar sastera menyemak kehebatan dan kegeniusan Jane Austen, mereka tidak akan terfikir mengenai novel-novel agung, dalam bahasa-bahasa eksotik dan terancam, yang berada di atas meja rotan atau dalam tangan seorang remaja introvert yang sedang menikmati deru senja di hujung pelabuhan tenggara.


Comments