Clarice Lispector: Sebuah Kehidupan Biasa


Memerlahankan waktu. Berhenti sejenak. Menarik nafas. Dan menjenguk ke dalam kehidupan orang lain untuk menjernihkan kehidupan sendiri.

Pengarang terkenal Brazil, Clarice Lispector menulis:  

"Selalunya saya susah nak tidur, tetapi apabila sudah terlelap pada pukul lapan malam, boleh lajak hingga pukul enam pagi. Sepuluh jam: hati saya berbunga seperti seorang budak. Saya bangun dengan badan segar-bugar. Begitu lumrah kehidupan biasa, bukan? Kalau ya, baguslah!

Dan saya jenis tidak cerewet bab makan, tapi disebabkan nak turunkan beberapa pound kebelakangan ini, saya terpaksa perhati apa saya makan. Maka, di situ, kehidupan terasa sedikit janggal. Saya mengeluh melihat orang lain makan seolah mereka telah merampas hak saya. Justeru atas dasar marah dan lapar, saya kembali menjamah sesuka hati. Dan perasaannya sangat bahagia sehingga saya hampir malu dibuatnya. Dan bangga, kerana badan saya mempunyai keinginan. Sesiapa yang kekurangan makanan, saya mohon maaf ya jika tersinggung (tapi ada kemungkinan mereka bukan pembaca saya). 

Satu lagi perkara yang membuat saya bahagia ialah apabila ilham tiba-tiba jatuh ke riba. Setiap perkataan mengalir di atas kertas: membawa emosi dan pemikiran bersamanya. Betapa bertuahnya terasa saat itu!

Dan bukankah ia turut menggembirakan apabila kita menerima panggilan dari seorang sahabat, suara hati masing-masing berbicara dengan lancar? Saat ganggang diletakkan, kita bersyukur kehadiran seseorang dalam hidup ini, dan bagaimana kita sering menemui diri kita bersama mereka. Adapun saya menemui siapa saya dalam diri orang lain. Kehidupan berjalan seperti biasa. Tapi aneh ya, bagaimana kita terpaksa bersusah-payah untuk menempuh sebuah jalan yang biasa."    

Comments

Popular Posts