Masalah Buku Apa Nak Baca?


Di perpustakaan rumah saya ada lebih banyak buku yang belum dibaca berbanding yang sudah dibaca atau sedang dibaca. Ingatan saya tentang sebuah buku juga sangat kabur; saya tidak boleh ingat, misalnya, semua peristiwa yang berlaku dalam My Struggle; namun ada drama, renungan, dan pengucapan dalam siri itu yang meninggalkan kesan kepada saya sebagai pembaca. Saya juga bukan seorang penghafal puisi. Minta saya sebut mana-mana satu puisi Afrizal Malna saya pasti akan gagal menyebut judul apatah lagi baris-baris dalam puisi tersebut. Tetapi saya tahu bagaimana bahasa puisinya berfungsi dan bermain. Justeru saya suka mengikuti fragmen catatan Moyra Davey dalam bukunya Index Cards. Ia semacam himpunan rutin harian dan sisa-sisa ingatan yang dikumpul sebelum tidur untuk disimpan di dalam laci meja. Pendekatan Moyra mirip dengan jurnal gaya fragmen Susan Sontag; Moyra ternyata lebih sentimental dan tidak ada nada bitchy Sontag. 

Saya turunkan di bawah salah satu kad atau fragmen Moyra yang beliau judulkan sebagai Masalah Membaca (terjemahan adalah hasil saya): 

* * *

"Buku apa nak baca?" ialah dilema hidup saya yang berterusan. Ia sering membangkitkan imej: wanita keseorangan di rumah, pakaian asal ada, merayap dari bilik ke bilik, mengutip buku, menyelak beberapa halaman sebelum fikirannya mula melayang lalu berbisik, "Apa benda buku ni, aku patut baca buku lain, aku patut lakukan benda lain." Imej itu mempunyai latar: rak yang sendat dengan buku-buku berhabuk dan berhalaman kuning kusam, sebahagian besar belum dibaca; timbunan buku pada sisi katil atau tertiarap di atas meja; himpunan cetakan fotografi yang juga mengumpul habuk dan tertampal pada dinding studio; bil-bil lama; sinki dengan pinggan mangkuk yang melimpah. Adapun dia sedang cuba untuk memberi tumpuan pada buku di hadapannya tetapi lintasan demi lintasan dalam kepalanya membuat fikirannya melompat-lompat ke tempat berbeza. Ia bukan soal buku mana yang akan menenggelamkan emosinya, adapun ada banyak sekali buku yang mampu melakukan itu, tapi buku mana, seolah ia ditakdirkan di petala langit ketujuh, yang akan memilih dan menyelamatkannya. Sering kali, apa yang menjadi pertaruhan ialah keupayaan buku itu untuk mengisi kekosongan: apakah kalimat paling bijaksana yang mampu menariknya keluar dari lubang kejahilan, sekurang-kurangnya untuk hari ini? Sesungguhnya dia percaya jika dia menelaah buku yang tepat, maka seluruh isi dunia akan kembali tenang dan terletak pada tempatnya.

  

Comments

Popular Posts