Rapsodi Nakal Amier Suhaimi



Di Malaysia selalunya ada dua jenis buku debut: ia sangat membosankan sehingga judul dan nama pengarangnya tidak meninggalkan bekas pada pembaca; atau ia terlebih makan gula sehingga setiap baris dan kata-katanya terasa seperti monyet yang terloncat-loncat dalam sangkar. Nah, dalam kes buku Amier Suhaimi Nakal-Nakal, ia bukan sahaja terlebih makan gula, ia terlebih telan pil hormon dan kunyah kismis hitam, sehingga Faisal Tehrani dan Shahnon Ahmad pun akan mengeluh panjang dan tertunduk malu. 

Nakal-Nakal diterbitkan oleh Buku Liar, ia mengandungi 13 buah cerpen yang bersungguh-sungguh ingin menjadi liar sampai ia sanggup celup tangan ke dalam lubang Shit Shahnon Ahmad dan menghasilkan sebuah cerpen (bukan novel, ternyata stamina Amier belum cukup kuat untuk bersaing dengan raja novelis Malaysia) dengan judul sama. Malangnya ia percubaan – atau homage – kepada Shahnon paling teruk saya pernah baca. Amier lebih baik dan selamat bermain dan menari-nari dalam bayang Faisal Tehrani; lagipun siapa sahaja dalam sastera Malaysia yang mampu dan berjaya bersaing dengan gaya kepengarangan Shahnon? Faisal pun tidak mampu, apatah lagi seorang Amier Suhaimi. Membaca karya-karya terbaik Shahnon seperti Sutan Baginda, Srengenge, Patriarch, dan Seluang Menodak Baung, menunjukkan kepada kita bahawa nafsu politik dan dorongan seksual sahaja tidak cukup untuk melahirkan sebuah karya yang bagus dan memikat. Ia mesti disokong oleh gaya bahasa dan retorik pengucapan. 

Retorik sebenarnya bukan masalah Amier kerana berdasarkan cerpen-cerpen Islamik dalam buku ini, kita dapat lihat beliau sudah diasuh dan dicanai dengan sebaiknya oleh permainan-permainan wacana Faisal. Tapi masalah Amier ialah gaya bahasa dan kecelaruan identiti. Dalam cerpen "Mimpi Nabi" dan "Dosa" kita nampak kelibat seorang penulis yang berani bermain dengan bentuk, dan bijak menyerap bahasa pengucapan budak wechat ke dalam penceritaan. Tapi di tempat lain beliau berkelakuan lucah dan memancing sensasi murahan semata-mata untuk mencetus provokasi (cerpen "Nakal-Nakal," "Darul Fakir," dan "Menimbang Yang Molek"). Ukuran bakat seorang penulis fiksyen bukan terletak pada isu yang diangkatnya, tapi pada kemahiran untuk bercerita dan menggoda perhatian pembaca. Justeru, apabila Amier cuba menulis cerpen yang sederhana tanpa unsur-unsur provokasi, seperti dalam cerpen "Sejahtera Maria," maka kita dapat melihat kemahiran beliau sebagai penulis fiksyen masih terlalu mentah. 

Kalau terpaksa memilih antara karya yang membosankan dan provokatif, sudah tentu saya akan memilih karya provokatif. Kebanyakan penulis Malaysia hanya acah-acah berani dan mengaku kononnya mereka menulis untuk masyarakat. Tapi apabila kita selak cerpen dan novel mereka, ia hanya retorik kosong yang dimuntah keluar daripada tubuh cerita yang sudah lama mati dan mereput. Nakal-Nakal ternyata panas, berani, dan bernyawa. Tapi bak kata Clint Eastwood dalam filem Million Dollar Baby: "Girlie, tough, aint enough!"         

Comments

Popular Posts