Petikan Kepada Rumah Api: Kesepian Masa Yang Berlalu


Kepada Rumah Api, karya Virginia Woolf, terjemahan Wan Nor Azriq

4

MAKA rumah itu kosong dan pintunya terkunci serta permaidani digulung. Angin liar, iaitu pasukan garda depan sebuah angkatan hebat, menysur masuk, menyapu lantai yang kosong menggertak, menggigit-gigit, dan menyapu, tidak menghadapi apa-apa tentangan kecuali kepingan kertas dinding yang menggelepar, kayu yang berderit, kaki-kaki meja yang terdedah, periuk dan barang kaca yang sudah berlumut, pudar, dan retak. Barang-barang yang telah manusia tinggalkan – sepasang kasut, topi berburu, skirt dan kot lusuh di dalam almari pakaian – hanya itulah yang memberi rupa manusia dan dalam kekosongan menunjukkan bagaimana ruang ini pernah diisi dan bernyawa; bagaimana dahulu tangan-tangan sibuk dengan cangkuk dan butang; bagaimana dahulu cermin mengandung wajah seseorang; merangkul dunia yang terukir di dalamnya, di mana seseorang berpusing, menghulurkan tangan, pintu terbuka, anak-anak tergesa-gesa masuk; dan keluar semula. Sekarang, hari demi hari, cahaya bergoyang seperti bayang bunga pada muka air, dan rupa jelasnya terlukis pada dinding hadapan. Hanya bayangan pohon-pohon, mekar di sayap angin, bersujud pada dinding, dan untuk seketika menggelapkan kolam di mana cahaya mencerminkan dirinya; atau burung-burung terbang, mencipta tompokan halus yang bergerak perlahan-lahan di atas lantai bilik tidur. 

Adapun suatu keindahan bertakhta disamping ketenangan yang bersama-sama membentuk keindahan itu sendirim sebuah bentuk dari mana kehidupan telah berpisah; ibarat sebuah kolam iseng pada waktu senja, sayup, kelihatan dari tingkap keretapi, lenyap begitu cepat sehingga kolam itu, pucat di bawa bayangan senja, hampir tidak terjejas keisengannya, walaupun ia hanya dilihat sekilas. Keindahan dan ketenangan berpegangan tangan di dalam bilik tidur, dan di antara periuk-periuk yang terselubung dan kerusi-kerusi yang beralaskan kain penutup, bahkan angin yang menyibuk, dan hidung lembap dari laut, menggosok, menghidu, mengulang dan mengulangi lagi pertanyaan mereka – "Adakah kau akan pudar? Adakah kau akan binasa?" – sama sekali tidak menggugah kedamaian, keasingan, keteguhan deru angin, seolah-olah pertanyaan itu hampir tidak perlu mereka jawab: kami sentiasa ada. 

* * *

Masa meninggalkan bayang dan bayang mengisi ruang dan ruang mengandung kesepian dan dalam kesepian tersimpan suara-suara yang terpendam. 

Comments

Popular Posts