Kerja Menelan Usia & Waktu Bekarya

Tahun ini pejabat saya terletak agak jauh dari Melawati. Saya beruntung lebuh raya SPE baru sahaja dibuka; maka saya boleh memandu terus ke Petaling Jaya pada waktu pagi dalam masa lebih kurang 20 minit. Bekerja di sebuah bank telah banyak mengubah cara saya mengatur waktu dan menguruskan diri. Walaupun jadual lebih padat, saya masih sempat mencari waktu untuk menulis esei, novel, dan terbaru, saya selesai menterjemahkan novel Virginia Woolf. Ada orang berhenti terus menulis apabila tekanan kerja terlalu berat; saya sebaliknya, semakin berat tekanan kerja, semakin saya ingin lari ke dalam penulisan. Ke mana lagi saya hendak pergi? Menulis juga membantu apabila hati saya tidak tenang, badan saya gelisah, dan tekak saya mual hendak muntah. Kerja korporat bukan untuk semua orang; namun sebahagian besar mereka yang berada dalam dunia korporat, terutama sekali mereka yang berada di tangga gaji rendah dan sederhana, menelan racun dan memendam perasaan hampir setiap hari demi menyara hidup dan melindungi kerjaya mereka. 

Kenapa jarang ada cereka mengenai tekanan di tempat kerja? Tekanan tempat kerja tidak semestinya terbatas pada dunia korporat. Berniaga di gerai tepi jalan atau memandu bas awam dari pagi hingga ke petang atau menjaga kaunter pendaftaran passport, pasti mempunyai tekanan tersendiri. Padahal sebahagian besar daripada hidup seorang manusia akan dihabiskan di tempat kerja. Saya menemui majikan dan rakan sekerja lebih kerap daripada saya menemui ibu bapa saya di kampung. Katakan anda bekerja sehari 8 jam, anda tidur 8 jam, maka anda akan ada baki 8 jam sahaja untuk melakukan aktiviti lain seperti berkebun, basuh baju, keluar dating dengan pasangan, bersosial, pergi gim, membaca, atau menonton wayang. 8 jam yang dihabiskan di pejabat kerap kalinya tidak menyumbang apa-apa kepada pembangunan diri. Anda hanya membantu syarikat atau majikan mencapai KPI tahunan. Benar, kerja melatih kita menjadi lebih terurus, rajin, dan produktif. Tapi berbaloikah harga yang perlu dibayar? Kita mengorbankan tenaga badan untuk menulis laporan atau membalas e-mel atau memenuhi permintaan ad hoc majikan atau tolong membersihkan kerja orang lain yang tertangguh atau tidak siap. 

Satu novel yang menangkap rutin dan pengalaman bosan di tempat kerja ialah The Pale King (2011) oleh David Foster Wallace. Tapi Brunei melakukannya jauh lebih awal pada tahun 1993 melalui buku A4 yang merupakan himpunan novelet dan cerpen seorang pengarang misteri bernama Mussidi. Kalau buku ini terbit di barat sekarang, ia pasti akan dijulang sebagai karya garda depan terbaik oleh penerbit seperti Dalkey Archive Press atau Coffee House Press. Saya yakin Mussidi pernah menjadi kerani atau hamba sebuah syarikat korporat. Kalau tidak mana mungkin seseorang akan tergerak untuk mengarang sejumlah cerita tentang kertas A4. Saya kongsi di bawah salah satu cerpennya berjudul "Aku Bekerja". 

"AKU BEKERJA

di sini sudah dua puluh tahun. Setiap pagi aku lalui koridor gelap itu kemudian naik ke mari dengan lif. Aku masuk ke bilik mula mengemas-ngemaskannya sedikit kerana setiap pagi aku dapati bilik ini seperti telah digunakan orang pada sebelah malam, kemudian aku mula tunggu arahan-arahan tapi selama dua puluh tahun ini aku belum pernah terima apa-apa arahan. Aku pun buat apa yang kufikirkan patut saja untuk mengisi masa sebelum akhir waktu bekerja."     

"Jadi kenapa kau belum tahu apa sebenarnya kerjamu?"

"Tiada sesiapa di sini diberitahu apa tugasnya. Tanyalah orang di sebelah. Mereka akan beri jawapan sama."

"Barangkali baik juga kalau kita cuba-cuba cari apa sebenarnya tugas kita di sini."

"Untuk apa?"

"Untuk saja-saja". 

"Setelah dua puluh tahun di sini aku mule terfikir. Kita tidak tahu apa-apa sebenarnya. Kita tidak tahu siapa punya bangunan ini, siapa majikan kita, buat apa kita ada di sini dan kalau kau suka boleh saja tambah siapa ini. Kau tahu siapa dirimu sendiri?

"Gajimu dibayar?"

"Setiap awal bulan."

"Aku masih fikir, kita..."

"Aku telah lama berada di sini di tingkat 101 ini tanpa banyak soal dan tanpa banyak fikir."    

Comments

Popular Posts