Lima Novel Terbaik 2023
Walaupun sudah agak lewat, namun senarai tetap perlu diselsaikan. Saya sedang main satu video game bertajuk The Talos Principle di mana saya mengawal sebuah android dalam kembaranya mengenal siapakah dirinya. Latarnya adalah masa depan di mana manusia seperti sudah tidak wujud. Yang tinggal hanya database maklumat yang juga telah korup kerana terlalu banyak data bertindan di dalamnya. Barangkali di celah-celah data korup terdapat PDF kumpulan puisi penyair kabur, atau risalah eceran Afrizal, atau zine budak-budak Jargon. Suatu hari nanti, mungkin, blog ini akan hilang dalam arus elektronik. Buku akan hancur menjadi debu. Tanpa manusia untuk membacanya, novel akan tinggal judul dan himpunan aksara. Masa depan kita bakal berubah. Sementara ada waktu, kita cuba membaca; kita cuba mengenali pengalaman manusia lain; sebelum pengalaman itu juga hilang ditelan zaman.
5. Angin Timur Laut oleh S. Othman Kelantan
Manusia sentiasa terikat dengan alam. Ia menjadi bahagian daripada identitinya. Tapi apa berlaku apabila alam menjadi ancaman kepada sara hidup dan keselamatan diri? Maka alam menjadi setan. Atau itu yang Othman Kelantan ingin kita rasai melalui watak utamanya, seorang nelayan bernama Saleh. Kalau bukan ancaman ombak dan angin timur laut, ia datang dalam bentuk banjir. Othman Kelantan menulis: "Banjir mengamuk seperti setan. Fikir Salleh - lambat dalam kepalanya. Dia tidak mendengar apa-apa dalam gelita malam itu... Alangkah dasyhatnya setan bekerja dalam angin merisik dan hujan lebat ini."
4. The Left-Handed Woman oleh Peter Handke
Mencipta episod dalam episod; atau membina dunia dalam dunia. Setiap dunia kalau ditarik keluar boleh menjadi imej bergerak yang tergantung di fikiran pembaca. Begitulah kekuatan novel The Left-Handed Woman karangan Peter Handke. Kita diajak duduk termenung dalam sebuah apartmen. Merenung keluar tingkap. Atau mendengar perbualan orang lain. Atau berjalan bersama wataknya, seorang wanita dan suri rumah yang kesepian.
"Late in the afternoon they were at a nearby open-air zoo. A good many people were moving silently through the grounds. A few were standing still and laughing in a hall of mirrors. The sun went down, and most of the visitors headed for the exit. The woman and the child stood looking at one of the cages. It was getting dark and windy; they were almost alone. The child drove an electric car around the circular track, and the woman sat on a bench at the edge of the concrete surface."
3. Beast in the Shadows oleh Edogawa Rampo
Saya sudah lama dengar tentang Edogawa Rampo, bapa novel thriller Jepun. Namun tidak pernah tersempak dengan bukunya. Beast in the Shadows ternyata pengenalan terbaik kepada dunia misteri dan erotik beliau. Ada semacam permainan pascamoden di sini; dua novelis misteri, kononnya, mencintai dan memburu perhatian wanita yang sama. Semakin dalam kita masuk, semakin gelap permainan naratif Rampo. Ternyata ada raksasa yang bersembunyi dalam bayang.
2. Orlando oleh Virginia Woolf
Saya datang lewat kepada Orlando. Selalu ada kekangan waktu. Sesuailah; adapun Orlando adalah novel tentang waktu. Harold Bloom pernah kata Orlando ialah novel yang mengajar kita cara membaca. Barangkali apa beliau maksudkan ialah cara kita membaca dan melihat seorang watak. Dalam kes Orlando, usianya panjang merentas zaman; di pertengahan novel ini, dia bertukar jantina. Tapi sebelum Orlando bertukar jantina lagi, dia mempunyai masa panjang untuk merenung dan berfikir tentang cinta, persahabatan, dan kemasyhuran. Ketika pertengahan umurnya, Orlando cuba mengejar nama sebagai pengarang. Dia bergaul dengan golongan sasterawan; namun kemudian ditikam belakang oleh komuniti iyu sendiri. Walaupun mustahil untuk kita hidup panjang seperti Orlando, namun Woolf sentiasa menunjukkan betapa bernilainya waktu apabila ia diperlahankan; apabila kita berhenti sejenak daripada mengejar segala godaan duniawi; apabila kita duduk di bawah pokok, berfikir, dan membayangkan kehidupan dan diri daripada sudut pandang berbeza.
1. The Museum of Innocence oleh Orhan Pamuk
"Any intelligent person knows that life is a beautiful thing, and that the purpose of life is to be happy," said my father as he watched the three beauties: "But it seems only idiots are ever happy. How can we explain this?"
Rasanya keseluruhan novel The Museum of Innocence ditulis untuk cuba menjawab persoalan ini, dan pelbagai persoalan lagi, seperti, "Kenapa susah untuk kita bahagia?" "Kenapa kebahagiaan hanya sementara?" Dan kalau kita tahu kebahagiaan hanya sementara, kenapa kita bersusah payah mengejarnya? Itulah manusia; jiwa yang polos; diri yang tidak pernah berhenti berharap. Seperti novel klasik Laurence Sterne, yang saya percaya membayangi Pamuk ketika beliau menulis, The Museum of Innocence menunjukkan satu subjek boleh dibincangkan daripada pelbagai sudut. Ia tidak perlu berlaku dalam skala besar. Segalanya boleh berpusat dalam sebuah apartmen. Rutin penghuninya; barang-barang yang mengisinya; hubungan dan perbualan setiap orang; rahsia yang terpendam dalam diri masing-masing. Dan perubahan waktu dalam apartmen itu. Kemal, watak utama novel ini, berulang alik ke apartmen sama selama 8 tahun untuk menemui kekasihnya Fusun. Kita duduk bersama keluarga Fusun untuk makan malam dan menonton TV. Kita melihat keluar tingkap dan memerhati pemandangan kota Istanbul bersama mereka. Kita dengar perbualan dalam gelap Kemal dan Fusun di kamar. Kita mendengar jam antik berdentang. Lapisan demi lapisan pengalaman; bergulung dan melingkar antara satu sama lain. Itulah kehidupan; itulah ciri-ciri sebuah karya agung.
Comments