Melihat Kembali Bacaan Setakat Ogos
Kali terakhir saya kemas kini blog ini adalah pada bulan Jun. Semenjak waktu itu, sudah banyak juga buku saya telah baca, dan sedang baca, dari awal tahun ini. Dalam tempoh lebih 10 tahun, saya bergantung pada blog ini untuk merekod dan menyimpan pengalaman pembacaan saya. Mujur blogspot masih belum dihapuskan; mungkin suatu hari nanti ia akan hilang; seperti mana hilangnya akaun Twitter pertama saya berserta lintasan idea, luahan perasaan, gurau-senda, dan pergaduhan-pergaduhan yang akhirnya tidak membawa ke mana-mana. Sekarang saya ada alternatif lain untuk merekod dan mengarkibkan "kehidupan kedua" saya di alam digital iaitu Evernote dan Google Keeps. Evernote lebih kepada tempat saya campak apa-apa bahan menarik yang saya jumpa di internet; dan juga tempat saya simpan proses kreatif untuk projek penulisan yang sedang berjalan. Google Keeps ialah setiausaha tidak berbayar saya; tempat saya tampal tugas harian dan senarai tugasan dan kerja-kerja tertangguh. Kedua-dua aplikasi ini telah mengubah hidup saya. Lebih-lebih lagi sekarang saya bekerja sepenuh masa di bank; menguruskan waktu dengan bijak menjadi bertambah penting sekiranya saya ingin mencuri ruang untuk menulis.
Namun kenapa saya kembali juga ke rumah lama ini? Mungkin atas dasar sentimentaliti. Mungkin saya belum bersedia melepaskan blog ini. Mungkin saya sudah terbiasa mengarang ulasan panjang di blog berbanding medium lain. Di bawah ialah buku-buku yang sedang berada di atas meja saya. Namun ia tidak menggambarkan sepenuhnya pembacaan saya sepanjang 2023.
Dari bawah:
1. Freeman's: Family (jurnal sastera susunan John Freeman)
2. The Luminious Novel oleh Mario Levrero
3. Too Much of Life oleh Clarice Lispector
4. A Man's Place oleh Annie Ernaux
5. I Am Dynamite: A Life of Friedrich Nietzsche oleh Sue Prideaux
Saya suka mengumpul jurnal kerana ia adalah rujukan berguna untuk jangka masa panjang. Selain diatur mengikut tema tertentu, jurnal menghimpunkan eceran karya daripada penulis yang mungkin saya tidak sempat (atau mampu) baca kalau ia diterbitkan sebagai buku perseorangan. Berfikir melalui tema, seperti keluarga, kadang-kadang mengubah cara kita melihat sesuatu karya, berbanding kalau kita membacanya dalam sebuah kumpulan cerpen atau esei. Ibarat menemui seorang kawan di sebuah parti berbanding berbual dengannya secara berasingan di rumah.
Sesiapa yang mengikuti blog saya pasti tahu kecenderungan saya pada karya dari benua Amerika Latin. Namun bacaan sastera Brazil saya masih terbatas. Mungkin kerana saya belum temui pengganti kepada Machado De Assis. Namun koleksi catatan Lispector adalah antara buku terbaik saya baca tahun ini. Ia menunjukkan sisi Lispector yang lebih sederhana dan dekat dengan keindahan kehidupan harian. Novel pertama Levrero saya baca ialah Empty Words. Dari dulu Levrero ialah nama yang sering disebut di kalangan pengarang muda Amerika Latin, dan The Luminious Novel dikatakan adalah adikarya beliau. Penantian bertahun-tahun ia diterjemahkan ke bahasa Inggeris akhirnya tertunai.
Sebetulnya, saya tidak pernah melihat diri sebagai seorang yang percaya atau mendukung falsafah nihilistik Nietzsche. Namun adakah personaliti falsafah barat yang lebih menarik dikaji daripada beliau? Descartes sangat membosankan; Hume pun sama. Kita membaca Montaigne untuk belajar tentang kehidupan; bukan merasai hangat emosi dan keghairahan pada muzik. Biografi Prideaux memperkukuhkan lagi kedudukan Nietzsche sebagai iconoclast.
Hanya pengarang Perancis seperti Ernaux yang boleh menterjemahkan kehidupan peribadi kepada subjek di bawah mikroskop. Mereka sentiasa bercerita sambil berfikir tentang apa mereka bercerita. Ibarat kucing yang sentiasa ingin menangkap ekornya. Namun mereka sudah sangat cekap bermain dengan autobiografi/memoir, mereka boleh menang Hadiah Nobel tanpa perlu sekali pun pejam mata untuk bermimpi.
Ah, novela: bentuk seni yang orang tidak kenal, namun sering menjadi medan novelis mengambil cuti, atau berlatih untuk menjadi tua. Risko waktu tidak terlalu tinggi seperti novel standard, mahupun terlalu mudah dan singkat seperti cerpen. Kalau novela adalah minuman, maka ia adalah piccolo latte. Saya akan sediakan ulasan lebih panjang untuk novela Mohd Azmen pada hujung tahun. Buat masa ini, secara ringkas, saya boleh kata novela ini bukan sekadar hingar. Ia adalah percakapan menuju eterniti.
Kenapa ramai eseis hebat wujud di kalangan wanita? Ada Virginia Woolf; ada Susan Sontag; ada Natalia Ginzburg; ada Joan Didion. Lebih baru ialah Kate Zambreno, Zadie Smith, dan terbaru saya baca ialah Amina Cain. Mereka ada kepekaan kepada bunyi arus yang mengalir di bawah kata-kata.
Comments